Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSandakan − Bandar ini menjadi lokasi seterusnya pelaksanaan Kajian Tahap Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) pada 8-11 Oktober 2024 yang lalu.
Sebelum ini, kajian yang sama telah diadakan di daerah Kudat, iaitu lokasi pertama pada tahun ini selepas kajian rintis yang dilaksanakan di Kota Kinabalu, Wilayah Persekutuan Labuan dan Keningau.

Setiausaha Perbandaran MPS, Encik Irman Tajuddin Edy berharap agar hasil dapatan kajian ini dapat dijadikan sebagai garis panduan dalam usaha pihak MPS menambah baik aspek penguatkuasaan dan pemartabatan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam pada masa hadapan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah II DBP Cawangan Sabah, Puan Julianah Kuli berkata,
Melalui pelaksanaan kajian ini, sikap masyarakat terhadap penggunaan bahasa kebangsaan mahupun bahasa sukuan dapat diketahui, selain mengusulkan saranan dan cadangan kepada Pihak Berkuasa Tempatan sebagai penambahbaikan bagi memantapkan penggunaan bahasa kebangsaan selaras dengan Perkara 152 (1) yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
Objektif kajian adalah untuk mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan di daerah Sandakan, khususnya pada papan tanda dan paparan awam, seperti papan premis perniagaan, kain rentang, gegantung, papan iklan luar, poster dan brosur yang terdapat di taman rekreasi, taman perumahan, bangunan kerajaan, sekolah, pusat beli belah dan nama jalan.
