Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Semua pihak seharusnya sama-sama memikul tanggungjawab dalam pembinaan bangsa dan negara bangsa yang utuh, ampuh dan luhur menerusi bidang kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan kebangsaan kerana ketiga-tiga bidang ini merupakan asas kepada negara bangsa yang terbilang.”
Demikian antara inti pati teks ucaptama Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek bertajuk “Bahasa Asas Tamadun” yang dibacakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, dalam Majlis Perasmian Seminar Perancangan Bahasa Kebangsaan 2024 di Menara DBP, di sini, pagi tadi.

Seminar Perancangan Bahasa Kebangsaan 2024 yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan Bahasa ini berlangsung selama dua hari, iaitu pada 22−23 Oktober 2024 di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Aras 2, Menara DBP dengan mengangkat tema “Bahasa Jiwa Bangsa”.
Menurut YB Fadhlina Sidek, bahasa Melayu dikatakan sebagai bahasa yang penting dalam unsur pembinaan negara, dan perkara ini pernah dijelaskan oleh Perdana Menteri yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman yang mengungkapkan bahawa bahasa kebangsaan umpama roh dan jiwa negara.
Ujar beliau,
Bahasa Melayu perlu menonjolkan fikiran bangsanya melalui pencapaian ilmu pengetahuan yang tinggi, kesusasteraan dan falsafah, dan mampu menjadi perantara yang membina lambang atau citra yang menjadi keperluan kehidupan dan warisan tamadunnya.
Selain itu, bagi memantapkan taraf dan peranan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam pula, setiap penjawat awam perlu cakna untuk menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan bermutu dalam penyediaan dokumen rasmi, sama ada pada peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri atau pihak berkuasa awam.
Tambah beliau lagi,
Pemain industri khususnya sektor swasta seperti dalam media penyiaran, pengiklanan, kewangan dan lain-lain perlu memberikan sokongan dalam usaha peluasan dan peningkatan penggunaan bahasa Melayu yang baik bagi penyampaian maklumat yang berkesan.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa seminar ini bukan sahaja menjadi platform untuk berkongsi ilmu, tetapi juga sebagai wadah menyatukan idea serta merumuskan hala tuju pengukuhan perancangan bahasa kebangsaan.
Ujar Dr. Hazami Jahari lagi,
Sepanjang dua hari, sebanyak 16 kertas kerja akan dan telah dibentangkan termasuklah kertas ucaptama, kertas kerja dasar, tiga kertas kerja khas dan 11 kertas kerja yang merangkumi tiga skop utama, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa negara, bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, dan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi.
Melalui pertemuan ilmiah ini, diharapkan bukan sahaja kertas kajian dapat dikumpulkan, tetapi juga martabat bahasa Melayu dapat ditonjolkan dalam medium atau wahana penyebaran ilmu yang menyeluruh dan berwibawa dalam pelbagai bidang.

Di samping itu, objektif seminar ini diadakan adalah untuk membincangkan isu dan perkembangan penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor utama negara, membincangkan dasar dan polisi perancangan bahasa yang relevan dengan keperluan masyarakat, serta menyatukan idea dan menentukan hala tuju perancangan bahasa agar bahasa kebangsaan dapat terus berperanan sebagai bahasa negara dalam kehidupan masyarakat Malaysia.
Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan; Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad; dan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa.
