Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 23 Oktober 2024, 22:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seminar Perancangan Bahasa Kebangsaan 2024 pada hari kedua di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini menyaksikan tumpuan diberikan kepada hala tuju dan kelangsungan bahasa Melayu pada masa hadapan.

Fokus tersebut melibatkan tiga perkara utama, iaitu pemerkasaan projek perkamusan dan peristilahan, pendidikan bahasa Melayu serta bahasa Melayu dalam seni teater dan filem.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin selaku pembentang pertama dalam sesi kedua menekankan peranan penting DBP untuk melaksanakan perancangan korpus bahasa Melayu menerusi aktiviti penyelarasan dan pembakuan ejaan, penggubalan dan penyelarasan istilah, pembakuan tatabahasa, perkamusan dan peningkatan kepustakaan ilmu dalam bahasa Melayu.

Beliau berkata,

Era digital membawa cabaran dan peluang yang unik kepada bahasa Melayu. Perancangan bahasa yang strategik amat penting untuk memanfaatkan peluang yang ada sambil menangani cabaran yang wujud.

Oleh itu, terdapat tiga cabaran dalam era digital yang perlu dihadapi oleh DBP, iaitu kepesatan perkembangan ilmu dan teknologi, penguasaan bahasa asing dalam platform digital serta jurang generasi dan literasi digital.

Antara strategi pemerkasaan projek perkamusan dan peristilahan yang  dilontarkan oleh beliau termasuklah pemanfaatan teknologi bahasa untuk membantu DBP menyusun kamus dan membentuk istilah, kerjasama strategik dan perkongsian data serta pembangunan kandungan digital berkualiti tinggi dalam bahasa Melayu seperti kamus digital interaktif dan aplikasi pembelajaran bahasa.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin ketika membentangkan kertas kerja beliau yang bertajuk “Strategi Perancangan Korpus Bahasa Melayu dalam Era Digital: Memperkasakan Projek Perkamusan dan Peristilahan di DBP.”

Dalam pada itu, pembentang kedua yang menampilkan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), YBrs. Dr. Zanariah Ibrahim menyatakan bahawa Pelan Hala Tuju Pendidikan Bahasa Melayu 2016-2025 menetapkan sasaran bahawa 90 peratus murid perlu mencapai kepujian bagi mata pelajaran bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2025.

Ujar beliau,

Pada tahun 2016, (pelajar yang mencapai) kredit SPM ialah 76 peratus sehingga tahun lepas (2023) kredit SPM Bahasa Melayu Tingkatan 5 telah mencapai 80.2 peratus dan kita sasarkan kredit SPM 85 peratus untuk tahun 2024.

Oleh itu, untuk membangunkan murid untuk mencapai piawai tersebut, guru perlu dibangunkan (kecekapan terlebih dahulu).

Lantaran itu, penyediaan Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) telah memberikan rujukan piawai berkaitan dengan kecekapan bahasa Melayu yang tidak terbatas kepada murid sekolah semata-mata, tetapi kepada semua warga KPM sama ada guru ataupun pensyarah.

Kajian mendapati lambakan guru bahasa Melayu bukan opsyen pada tahun 2024 ialah sebanyak 33.37 peratus di sekolah rendah dan sekolah menengah serta  56.4 peratus guru bahasa Melayu bukan opsyen yang telah menduduki Ujian Penguasaan Bahasa Melayu Guru pada tahun 2022 tidak mencapai piawai kecekapan bahasa Melayu Tahap 5.

Lantas, pemerkasaan profesionalisme guru bahasa Melayu dilaksanakan menerusi latihan pembangunan profesionalisme guru secara berterusan dan penyediaan latihan intervensi kecekapan berbahasa anjuran IPGM selama 80 jam.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Institut Pendidikan Guru Malaysia, YBrs. Dr. Zanariah Ibrahim semasa membentangkan kertas kerja beliau yang bertajuk “Pembangunan Profesionalisme Guru Bahasa Melayu: Hala Tuju Pendidikan Bahasa Melayu.”

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Seni Persembahan, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, YBrs. Dr. Nor Shuradi Haji Nor Hashim sebagai pembentang terakhir bagi sesi tersebut menegaskan bahawa bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam membentuk identiti budaya dan kesenian Malaysia khususnya dalam industri kreatif seperti filem dan teater.

Jelas beliau,

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan medium penting untuk menyampaikan cerita, emosi dan nilai budaya tempatan.

“Bahasa Melayu memiliki kekuatan tersendiri sebagai bahasa kebangsaan yang mempunyai peranan signifikan untuk menyatukan masyarakat Malaysia melalui kesenian walaupun terdapat kelemahan berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu dalam industri kreatif,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan tentang peluang perkembangan platform digital dan penstriman yang memberikan ruang kepada karya berbahasa Melayu untuk mencapai penonton global perlu dimanfaatkan sepenuhnya, di samping cabaran globalisasi dan pengaruh bahasa asing yang semakin ketara yang mesti diberikan perhatian.

Oleh itu, pelbagai langkah strategik boleh dilaksanakan bagi memastikan bahasa Melayu kekal relevan dan kompetitif dalam industri kreatif dengan peningkatan sokongan infrastruktur yang diperlukan, pendekatan proaktif dalam pasaran global melalui kerjasama antarabangsa dan strategi pemasaran yang berkesan serta pemerkasaan pendidikan seni dan bahasa yang menekankan penggunaan bahasa Melayu yang bermutu dalam karya kreatif.

Pensyarah Jabatan Seni Persembahan, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, YBrs. Dr. Nor Shuradi Haji Nor Hashim ketika membentangkan kertas kerja beliau, iaitu “Bahasa Melayu dalam Seni Teater dan Filem: Analisis SWOT terhadap Masa Depan Industri Kreatif di Malaysia”

Pembentangan kertas kerja sesi kedua tersebut dipengerusikan oleh Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa, Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Dr. Norhafizah Mohamed Husin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi