Diterbitkan pada 31 Oktober 2024, 07:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Bahasa Terengganu 2024 dalam majlis Anugerah Bahasa Terengganu dan Penangguhan Bulan Bahasa Kebangsaan Sektor Awam Negeri Terengganu yang diadakan di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Profesor Madya Dr. Adi Yasran merupakan pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, dan Timbalan Dekan (Akademik dan Pelajar) di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Anak kelahiran Besut, Terengganu ini telah menghasilkan sekurang-kurangnya 105 penerbitan dan menjadi pengarang bersama dalam 56 buah jurnal.

Ketika ditanya tentang cabaran yang dihadapi untuk mengekalkan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, beliau berkata,

Perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan tercabar dengan sistem pendidikan yang ada sekarang.

Sewajarnya semua medium pengajaran bermula pada peringkat prasekolah hinggalah pada tahap pendidikan tertinggi diajar dalam bahasa Melayu.

Hal ini selaras dengan usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu.

Penerima Anugerah Tokoh Bahasa Terengganu 2024, Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz.

Tambah beliau, penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan di media sosial, terutamanya oleh generasi muda pada masa ini boleh menyebabkan lama-kelamaan bahasa Melayu tidak dilihat ada kewibawaannya dan dipandang rendah.

“Jadi, medium inilah yang sepatutnya digunakan untuk membaiki bahasa  dan berkongsi idea dengan menggunakan bahasa yang betul kerana media sosial menjadi ikutan orang muda sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, Anugerah Tokoh Persuratan Terengganu 2024 pula dianugerahkan kepada Profesor Dr. Abdul Halim Ali, iaitu Profesor Kesusasteraan Melayu di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Anak kelahiran Kampung Merchang, Terengganu ini merupakan seorang penyair dan penulis yang telah menempa nama pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Profesor Dr. Abdul Halim Ali ketika menerima Anugerah Tokoh Persuratan Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Beliau telah menghasilkan lebih daripada 60 buah buku akademik, buku kajian tokoh, kumpulan puisi dan antologi puisi.

Sebagai seorang yang memperjuangkan bahasa dan sastera Melayu, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap nasib mata pelajaran Kesusasteraan Melayu yang dilihat semain pupus.

“Matlamat saya adalah untuk menjadikan sastera sebagai jati diri kerana  generasi muda dan generasi yang sedia dilihat tidak begitu bersungguh-sungguh memperjuangkan bahasa dan sastera Melayu.

“Dalam hal ini, semua pihak bermula dari peringkat atasan hingga peringkat bawahan perlu melaksanakan pengupayaan semula pengajaran mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dengan mewajibkan mata pelajaran tersebut di sekolah, bukan sekadar mata pelajaran elektif,” katanya.

Tambah beliau,

Yang paling penting, perlu ada kesedaran yang sangat radikal dan menyeluruh terhadap kepentingan bahasa dan sastera Melayu yang perlu ditanam dalam generasi baharu, bermula dari sekolah rendah hingga institusi pendidikan tinggi.

Sumbangan penting Profesor Dr. Abdul Halim dalam bidang akademik adalah mengasas dan memperkenalkan teori Estetika Bersepadu (2010) sebagai sebuah teori kritikan estetik dan kesusasteraan.

Teori itu kini digunakan oleh para pelajar di pusat pengajian tinggi bagi tujuan kajian ilmiah dan digunakan oleh ahli akademik bagi tujuan kajian dan kritikan.

Kedua-dua anugerah ini merupakan penghargaan khusus yang diberikan kepada pakar bahasa dan ilmuwan pelbagai bidang (selain bidang bahasa Melayu) kelahiran negeri Terengganu yang telah menyumbangkan tenaga dan fikiran untuk mengembangkan dan menyebarluaskan ilmu, serta memberikan sumbangan terhadap pembangunan pemikiran masyarakat dan peradaban bangsa sama ada di Terengganu ataupun pada peringkat kebangsaan.

Kedua-dua penerima anugerah membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3 ribu dan watikah penghargaan.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi