Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMenurut Kamus Dewan Perdana, sosiolisasi dalam konteks penulisan ini membawa maksud perihal (perbuatan) bergaul dan bermesra (antara satu sama lain). Akal budi pula dapat dibahagikan kepada dua perkataan yang membawa maksud lain apabila dirangkaikan. Perkataan akal membawa maksud fikiran dan perkataan budi pula membawa maksud kebijaksanaan. Menurut Nor Hashimah Jalaluddin (2014), akal budi bermaksud bukan sahaja mempunyai akal secara lahiriah tetapi menggunakan akal, berfikiran waras, rasional dalam menuturkan bahasa dan bijak mengungkapkan makna.
Seseorang yang berkemampuan berfikir secara rasional semestinya mempunyai pemikiran yang sihat. Pemikiran ini akan menjadi penentu terhadap tindakan yang akan dilakukan oleh seseorang. Masyarakat Melayu suatu ketika dahulu merupakan pemikir yang mempunyai akal budi yang mendalam. Hal ini terlihat pada tutur kata yang dilontarkan dalam bentuk yang unik seperti peribahasa, pantun, syair, sajak, seloka dan mantera. Penulisan ini akan menerangkan tentang bagaimana sosialisasi masyarakat dan akal budi Melayu mempengaruhi pergaulan masyarakat sejak zaman dahulu hingga kini.
Sosialisasi masyarakat terdahulu dan kini mengalami perubahan yang begitu dahsyat. Perubahan yang drastik ini menunjukkan jati diri yang kian rapuh dalam entiti masyarakat di Malaysia. Suatu ketika dahulu dahulu, masyarakat Melayu menyatakan buah fikiran dmelalui pertuturannya dengan begitu baik. Kiasan yang diberikan dalam peribahasa Melayu dan medium sastera yang lain menggambarkan bahawa masyarakat Melayu tidak dapat lari daripada jati dirinya yang bersikap sopan santun dalam tutur katanya bagi mengelakkan pertelingkahan.
Menurut Zaitul Azma Zainon Hamzah dan Ahmad Fuad Mat Hassan (2011), pemikiran dalam peribahasa Melayu turut menyerlahkan satu gambaran nilai sosial, nilai moral, dan fungsi adat dalam kehidupan bermasyarakat sekali gus menonjolkan falsafah bangsa Melayu yang ada kaitannya dengan metafizik, epistimologi, etika, logik, dan estetika hasil interaksi mereka terhadap alam benda, alam flora dan fauna yang ada di sekeliling mereka.
Melihat dari aspek pertuturan ketika memberikan kritikan, teguran dan nasihat kepada masyarakat, masyarakat Melayu terdahulu mempunyai akal budi yang amat bijaksana dan menggambarkan nilai murni, nilai sosial dan adat mereka dalam pergaulan seharian. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat terdahulu hidup saling bergantung antara satu dengan yang lain. Hal ini termasuklah dalam kegiatan ekonomi masyarakat terdahulu yang menggunakan sistem barter. Jika diperhatikan peribahasa yang diperkenalkan oleh masyarakat dahulu yang berbunyi “air dicincang tidak akan terputus”, “cakar ayam”, “bagai menatang minyak yang penuh” dan “seperti api dalam sekam”, dapat dijelaskan bahawa masyarakat terdahulu menggunakan alam semula jadi sebagai unsur dalam komunikasi seharian mereka. Akal budi masyarakat terdahulu dapat dinilai berdasarkan falsafah yang digunakan bagi menghasilkan perumpamaan dalam pertuturan seharian. Penggunaan unsur semula jadi membuatkan nadanya berirama di samping kesantunan mereka dalam berbahasa.
Sosiolisasi masyarakat terdahulu juga dapat dilihat dan digambarkan berdasarkan buah fikiran yang dilontarkan sesama mereka. Nilai keakraban dan penghormatan di antara mereka mempunyai nilai yang sangat tinggi jika berbanding dengan masyarakat kini. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat terdahulu lebih pandai menghargai sesuatu perkara tidak kira sama ada besar atau kecil sesuatu perkara tersebut. Hari ini, tidak begitu ramai yang mempunyai pemikiran dari aspek falsafah seperti masyarakat terdahulu khususnya pada era globalisasi ini. Hal ini berikutan pengaruh Barat yang terlalu ekstrem mulai melekat di dada mereka. Nilai serta norma tradisi yang telah disemai oleh nenek moyang kian pudar. Kita tidak perlu melihat semua aspek, cukup menilai daripada pertuturan seharian mereka yang tidak merasakan apa-apa ketika mengeluarkan kata-kata kesat serta tidak menjaga dan menghormati maruah orang lain. Perkara seperti ini harus dipandang serius oleh masyarakat kerana tidak mustahil hal ini akan menyebabkan adat nenek moyang kita pupus.
Pengaruh budaya hedonisme yang makin berleluasa turut menyebabkan nilai dan norma baik dalam masyarakat semakin menipis. Hal ini demikian kerana mereka alpa tentang warisan yang diturunkan kepada generasi ini dan leka dengan pengaruh negatif yang ada pada hari ini. Peranan generasi ini amat penting agar peninggalan nenek moyang kita kekal terpelihara. Pengekalan khazanah budaya warisan nenek moyang ini dapat menjadi panduan terhadap kehidupan bersosial masyarakat kini. Jelaslah akal budi sesebuah masyarakat mampu mempengaruhi corak sosialisasi masyarakat.
Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil bagi memastikan warisan budaya bangsa ini tidak lekang dek zaman. Antara langkah yang efisien serta efektif harus dilakukan segera termasuklah mencegah pengaruh negatif daripada menguasai pemikiran generasi kini. Hal ini dapat dilakukan bermula dari rumah apabila ibu bapa dapat memainkan peranan untuk menanamkan etika yang baik dan positif dalam diri anakseawal usia kecil mereka. Disiplin yang dicorakkan dalam diri mereka mampu menjana akal budi yang sihat apabila melakukan apa-apa tindakan terutama dalam aspek sosial. Hal ini agar mereka dapat menilai baik dan buruk sesuatu perkara yang hendak dilakukan kelak.
Di samping itu, semua pihak termasuklah pihak kerajaan dan swasta boleh mengadakan program atau kempen yang menjurus ke arah mencintai adat dan warisan negara bermula daripada peringkat rendah sehingga peringkat tertinggi. Sebagai contoh, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia menggalakkan setiap sekolah di Malaysia mengadakan bulan “Cintai Seni, Budaya dan Warisan Negara”. Selain itu Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan boleh menyebarluaskan kempen tersebut ke peringkat antarabangsa agar hal ini ini tidak hanya terdedah kepada masyarakat di Malaysia, sebaliknya dapat ditularkan ke seantero dunia. Usaha ini sedikit banyak mampu mempengaruhi aspek sosial masyarakat di Malaysia.
Kesimpulannya, akal budi masyarakat Melayu terdahulu telah mencorakkan sosialisasi masyarakatnya dengan baik. Pemikiran yang sihat, rasional dan bijaksana telah menyebabkan mereka mempunyai nilai dan norma yang baik dalam kehidupan seharian mereka. Namun begitu, pengaruh negatif pada masa ini telah menyebabkan pudarnya pemikiran yang rasional dan tindakan yang akan dilakukan terhadap sesuatu perkara. Oleh sebab itu, semua pihak harus berganding bahu dalam menyelesaikan masalah sosial dalam kalangan generasi muda agar sosialisasi masyarakat berakal budi tinggi dapat diwujudkan semula.