Diterbitkan pada 27 Januari 2025, 15:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Prasekolah merupakan institusi pendidikan awal kanak-kanak yang penting di Malaysia sebagai persediaan murid sebelum memasuki peringkat sekolah rendah. Murid prasekolah terdiri daripada individu yang berumur empat hingga enam tahun. Pada peringkat umur tersebut, penguasaan kemahiran terutamanya berbahasa Melayu amat diperlukan. Namun begitu, masih terdapat sebilangan murid prasekolah di Malaysia yang menghadapi kesukaran untuk menguasai kemahiran asas bahasa Melayu termasuklah mendengar, menulis, membaca, bertutur dan berfikir.

Menurut Noor Mohamad Shakil Hameed dalam rencana “Rombakan Sukatan Pelajaran Pastikan Murid Kuasai Bahasa Melayu”, menyatakan bahawa usaha meningkatkan penguasaan bahasa Melayu perlu dilaksanakan pada peringkat prasekolah lagi (Berita Harian Online, 28 November 2023). Pelaksanaan strategi tersebut sudah tentu memerlukan pelibatan dan komitmen daripada pelbagai pihak.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berperanan sebagai tunjang utama dalam memastikan penguasaan bahasa Melayu murid prasekolah. Pelaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) semakan 2017 diwajibkan di semua tadika termasuklah prasekolah KPM, tadika di bawah agensi kerajaan, tadika swasta dan tabika bermula pada 1 Januari 2017. Pindaan ini bertujuan untuk memastikan keseragaman, khususnya dalam pengajaran bahasa Melayu pada peringkat prasekolah di Malaysia.

KSPK semakan 2017 mempunyai standard pembelajaran yang membolehkan murid prasekolah berumur 4 tahun mampu mendengar dan menyebut ayat mudah bahasa Melayu secara bertatasusila. Manakala, murid prasekolah berumur 5 tahun pula mampu bersoal jawab menggunakan ayat mudah bahasa Melayu berdasarkan bahan rangsangan. Jelaslah bahawa standard pembelajaran prasekolah yang seragam ini menekankan kemahiran mendengar, memahami dan memberikan tindak balas yang merupakan asas utama dalam penguasaan bahasa Melayu.

KPM turut melaksanakan program berkaitan dengan peningkatan kualiti pendidikan bahasa Melayu prasekolah. Sebagai contoh, Program Intervensi Bersepadu (Kemahiran Membaca) Literasi Prasekolah. Menurut Mahzan Arshad (2016) dalam penulisan bukunya yang bertajuk “Prinsip dan Amalan dalam Pengajaran Literasi Bahasa Melayu”, menyatakan bahawa literasi merujuk kemampuan seseorang untuk membaca dan menulis. Pengenalan program tersebut sangat berkait rapat dengan usaha untuk menekankan aspek penguasaan literasi bahasa Melayu pada peringkat awal umur kanak-kanak.

Penekanan terhadap aspek ini bertujuan untuk merapatkan jurang tahap penguasaan bahasa Melayu antara murid prasekolah dengan murid sekolah rendah. Pemerolehan pendidikan awal literasi bahasa Melayu yang terancang pada peringkat prasekolah membolehkan murid lebih bersedia untuk menghadapi tahap pendidikan yang lebih tinggi. Murid prasekolah berkemungkinan gagal mencapai tahap penguasaan berbahasa Melayu yang memuaskan sekiranya tiada pendedahan literasi pada peringkat awal, sekali gus menjejaskan kelancaran pembelajaran mereka.

Selain itu, guru prasekolah juga perlu menggunakan Amalan Bersesuaian dengan Perkembangan (ABP) dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) untuk memastikan pendekatan yang digunakan sesuai dengan tahap perkembangan murid. Menurut Norhaizian Seman dan rakan-rakan (2022) dalam artikel yang bertajuk “Implementasi Amalan Bersesuaian dengan Perkembangan Murid dalam Kalangan Pendidik Awal Kanak-Kanak di Malaysia, ABP yang berkualiti dapat meningkatkan potensi murid secara menyeluruh.

Dalam konteks ini, guru prasekolah memulakan pengajarannya dengan unit yang mudah terlebih dahulu bagi memastikan murid menguasai asas pembelajaran sebelum beralih ke unit yang lebih kompleks. Sebagai contoh, guru prasekolah hendaklah memastikan muridnya mampu menggunakan perkataan asas dengan makna yang betul sebelum menghasilkan ayat yang mudah. Selain itu, pembelajaran ini turut memerlukan maklum balas daripada murid sebagai penilaian keberkesanan terhadap pelaksanaan proses PdP di dalam bilik darjah.

Hasil maklum balas yang diterima membolehkan guru untuk mengambil tindakan susulan termasuklah melaksanakan program pemulihan untuk murid yang tidak mencapai tahap penguasaan pengajaran. Sementara itu, murid yang telah menguasai kemahiran asas bahasa Melayu memerlukan tindakan pengukuhan dengan melaksanakan aktiviti yang bertujuan untuk menguji dan meningkatkan kefahaman mereka.

Teknik pengajaran guru prasekolah yang berkesan hendaklah seiring dengan pendekaatan proses PdP abad ke-21. Menurut Abdul Halim Masnan dan Nor Masjitah Mohd Radzi (2015) dalam artikelnya yang bertajuk “Pengetahuan Persediaan Pengajaran Guru Prasekolah Baru”, teknik pengajaran guru dianggap sebagai elemen penting dalam persediaan sebelum melaksanakan proses PdP. Hal ini demikian kerana aspek persediaan guru prasekolah dalam pengajaran berkait rapat dengan tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid prasekolah. Dalam keadaan ini, guru prasekolah boleh menggunakan set induksi termasuklah Alat Bantu Mengajar (ABM) dan Bahan Bantu Mengajar (BBM) dalam proses PdP bagi meningkatkan keberkesanan dan menarik minat murid.

Sebagai contoh, penceritaan kisah rakyat sebagai set induksi yang dapat menarik minat murid dan mewujudkan interaksi dua hala antara guru prasekolah dengan murid. Melalui interaksi tersebut, murid dapat menggunakan ayat mudah semasa berdialog sebagai respon pemahaman terhadap penceritaan guru. Oleh hal yang demikian, murid prasekolah dapat meningkatkan kemahiran asas mendengar dan bertutur dalam bahasa Melayu.

Di samping itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid prasekolah. Menurut Paezah Abd. Halim dan Faridah Yunus (2015) dalam artikelnya yang bertajuk “Kepentingan Pelibatan Ibu Bapa dalam Aktiviti Pembelajaran Kanak-kanak di Prasekolah”, pelibatan ibu bapa yang aktif dalam pembelajaran kanak-kanak akan meningkatkan penguasaan kanak-kanak terhadap sesuatu pembelajaran. Melalui pelibatan tersebut, ibu bapa dapat memahami konsep sebenar proses PdP di prasekolah.

Kesinambungan pengajaran di prasekolah dapat diteruskan oleh ibu bapa sewaktu anak-anak berada di rumah. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menggunakan modul asas membaca yang mengandungi pelbagai suku kata bahasa Melayu yang mudah untuk dikuasai pada peringkat awal kanak-kanak. Kesannya, murid prasekolah akan lebih yakin dan selesa mempraktikkan penggunaan suku kata bahasa Melayu yang dipelajari di prasekolah semasa berkomunikasi dengan ibu bapa di rumah.

Kesimpulannya, aspek penguasaan bahasa Melayu murid prasekolah perlulah dititikberatkan oleh semua pihak. Oleh itu, pelaksanaan strategi yang berkesan dan berterusan seharusnya menjadi tanggungjawab setiap pihak yang terlibat. Melalui pendekatan ini, slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” dapat direalisasikan sepenuhnya sekiranya usaha tersebut dimulakan pada peringkat prasekolah lagi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi