Diterbitkan pada 29 Januari 2025, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada era perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi yang begitu pesat, terdapat banyak guru yang menggunakan teknologi canggih sebagai bahan bantu mengajar dalam penyampaian ilmu. Namun demikian, kecanggihan teknologi masih tidak menjamin penguasaan bacaan pelajar, terutamanya dalam aspek pembacaan, ejaan dan penulisan, sehingga mewujudkan masalah pembelajaran yang spesifik, iaitu disleksia.

Menurut Vijayaletchumy Subramaniam dan Kavenia Kunasegran dalam makalah “Kemahiran Membaca Murid Disleksia dalam Literasi Bahasa Melayu”, disleksia umumnya dikategorikan sebagai kecelaruan bahasa kerana dapat mempengaruhi keupayaan kanak-kanak untuk membaca dan menulis dalam proses pembelajaran. Murid mengalami disleksia bukan disebabkan oleh penyakit patologi, tetapi disebabkan oleh otak yang sukar memproses maklumat apabila menghubungkan simbol, bunyi dan visual seperti yang dinyatakan oleh Nur Syamira Mohamad Nor dan Harun Baharudin dalam makalah “Masalah Murid Disleksia dan Gaya Pengajaran Guru dalam Pembelajaran Bahasa Arab”. Walau bagaimanapun, pelajar disleksia masih mempunyai ruang dan peluang untuk sembuh dan menguasai pembacaan dengan bantuan semua pihak.

Pihak yang paling hampir dengan pelajar disleksia ialah ibu bapanya. Pelajar disleksia memerlukan ibu bapa yang sentiasa prihatin terhadap dirinya seperti yang dinyatakan oleh Suzita Samsudin dan Aliza Alias dalam makalah “Pengetahuan terhadap Disleksia dalam Kalangan Ibu Bapa di Sebuah Sekolah Rendah”. Keprihatinan ibu bapa dapat dizahirkan melalui komunikasi harian yang baik dengan anak yang mengalami disleksia.

Tamsilnya, ibu bapa dapat memberikan kata-kata motivasi yang berfungsi sebagai pendorong untuk menguasai bacaan, selain bertanyakan perkembangan penguasaan bacaan anak tersebut. Keprihatinan yang ditonjolkan ini sedikit sebanyak dapat membantu menyuburkan keyakinan anak disleksia terhadap diri sendiri. Anak ini bukan sahaja tidak akan berasa keseorangan, malah berasa disayangi dan dihargai berbekalkan sokongan dan dorongan ibu bapa. Selain itu, jelaslah bahawa sikap prihatin ibu bapa membantu penguasaan bacaan anak disleksia.

Selain itu, peranan ibu bapa terhadap pembacaan anak disleksia dapat ditunjukkan menerusi penyediaan koleksi bahan bacaan yang sesuai berdasarkan tahap keupayaan kognitifnya. Pernyataan ini disokong oleh Zainiah Mohamed Isa dan Nur Asiah Abdul Hamid dalam makalah “Peranan Ibu Bapa dalam Memastikan Pencapaian Literasi Kanak-kanak Prasekolah semasa Berada di Rumah” yang menyarankan penyediaan bahan bacaan di rumah.

Selanjutnya, ibu bapa perlu mengambil kira jenis dan kandungan buku yang disediakan untuk anak disleksia. Hal ini dikatakan demikian kerana anak disleksia ialah pemikir visual yang akan berfikir melalui imej sensori atau imej mental. Kebiasaannya, anak disleksia ini membayangkan imej bagi kata yang akan disebut sebelum melafazkannya dalam bentuk lisan.

Di samping itu, anak disleksia lebih tertarik pada gambar berwarna berbanding dengan kata yang terpapar pada halaman buku. Bagi mengatasi hal ini, ibu bapa boleh menyediakan koleksi buku Pantas Membaca dan Bacalah Anakku yang menggunakan elemen gambar berwarna. Penggunaan unsur gambar berwarna sedikit sebanyak dapat menarik perhatian anak disleksia untuk belajar membaca bersama-sama ibu bapa di rumah. Tuntasnya, ibu bapa dapat melaksanakan peranan masing-masing menerusi penyediaan bahan bacaan di rumah tanpa menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mengajar membaca kepada guru.

Pelibatan seterusnya ialah peranan pihak sekolah bagi membantu penguasaan bacaan pelajar disleksia. Bagi memastikan pelajar disleksia mendapat pendidikan yang sewajarnya, sesuai dengan keupayaan intelektualnya, pihak pentadbiran sekolah perlu mengadakan kelas pemulihan untuk pelajar yang tidak dapat menguasai bacaan seperti yang dinyatakan oleh Abdul Rasid Jamian dalam makalah “Permasalahan Kemahiran Membaca dan Menulis Bahasa Melayu Murid-murid Sekolah Rendah di Luar Bandar”.

Kelas pemulihan ini penting untuk memastikan pelajar disleksia dapat menguasai kemahiran membaca, kemahiran menulis dan kemahiran mengira. Contohnya, kelas pemulihan boleh diwujudkan oleh sekolah dengan mengasingkan pelajar disleksia daripada pelajar autistik, sindrom down dan pelajar hiperaktif yang lain. Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar ini memerlukan tahap pemerhatian dan pendekatan pembelajaran yang berbeza-beza berdasarkan masalah yang dihadapi. Secara ringkasnya, peranan pihak sekolah dapat terserlah melalui penyediaan kelas pemulihan khas untuk pelajar disleksia.

Peranan terakhir yang dapat membantu meningkatkan aspek penguasaan bacaan kanak-kanak disleksia ialah peranan guru. Guru perlu menggunakan bahan bantu mengajar yang khusus untuk pelajar disleksia. Antara bahan bantu mengajar yang dapat diaplikasikan oleh guru untuk meningkatkan kemahiran membaca termasuklah bahan didik hibur seperti yang dinyatakan oleh Nur Syamira Mohamad Nor dan Harun Baharudin dalam makalah “Masalah Murid Disleksia dan Gaya Pengajaran Guru dalam Pembelajaran Bahasa Arab”.

Bahan didik hibur memerlukan guru berfikir secara kreatif dan kritis untuk merangka gaya pembelajaran yang berpusatkan murid supaya bersesuaian dengan tahap perkembangan intelek pelajar disleksia. Pelajar disleksia yang tertarik dengan gaya pembelajaran tersebut akan berkomunikasi dan memberikan perhatian terhadap aktiviti yang dianjurkan, seperti lakonan dan permainan muzik.

Dalam hal ini, guru boleh melakonkan situasi di pasar malam untuk membolehkan pelajar mengenal pasti kata yang sentiasa digunakan. Selepas itu, guru boleh membimbing dan melatih pelajar disleksia ini untuk menguasai suku kata daripada lakonan tersebut. Ketika melaksanakan kaedah ini, guru perlu mengaplikasikan bahan bantu mengajar yang bersesuaian dengan keupayaan kognitif pelajar disleksia.

Masalah disleksia merupakan masalah yang tidak asing dalam dunia pendidikan dan makin difahami oleh masyarakat setempat. Pengesanan awal ciri disleksia yang terdapat dalam diri kanak-kanak membolehkan masalah disleksia dicegah dengan pantasnya. Oleh ibu, ibu bapa, pihak sekolah dan guru perlu melaksanakan peranan masing-masing agar kanak-kanak disleksia dapat menguasai aspek membaca, menulis dan mengira dengan lancarnya.

Kesimpulannya, kerjasama yang utuh daripada pihak yang terlibat mampu menjadikan pelajar disleksia sembuh. Hal ini melayakkan pelajar disleksia berada pada tahap yang setaraf dengan pelajar normal lain dari segi akademik melalui pendidikan yang berkesan dan berkualiti. Sehubungan dengan itu, hasrat kerajaan melalui Falasafah Pendidikan Kebangsaan dapat direalisasikan dengan cara melahirkan insan yang seimbang dari segi intelektual, rohani dan jasmani untuk kemajuan generasi akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi