Diterbitkan pada 30 Januari 2025, 14:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam era digital yang semakin berkembang pesat, kecerdasan buatan (AI) telah menjadi alat yang sangat berpengaruh dalam pelbagai bidang, termasuklah dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) bahasa Melayu. Penggunaan AI dalam pengajaran bahasa Melayu memberikan pelbagai manfaat kepada guru dan pelajar. Guru dan pelajar dapat mengaplikasikan AI dalam proses PdP bahasa Melayu dengan menggunakan teknologi untuk meningkatkan keberkesanan proses tersebut.

Menurut Vesselinov dan Grego (2012), AI membolehkan pembelajaran secara individu dengan menganalisis data pelajar dan menyesuaikan bahan pengajaran berdasarkan tahap penguasaan, kemahiran serta keperluan individu. Selain itu, AI boleh menganalisis gaya pembelajaran pelajar, mengenal pasti kelemahan pelajar dan menawarkan aktiviti yang relevan kepada pelajar bagi membantu mengatasi masalah tersebut. Guru boleh menggunakan perisian AI termasuklah Duolingo yang mengaplikasikan algoritma untuk memberikan latihan yang bersesuaian dengan kemajuan pelajar, sekali gus mempercepatkan proses pembelajaran dan meningkatkan keberkesanan penguasaan bahasa. Sekiranya pelajar sering melakukan kesilapan pada topik tertentu, aplikasi tersebut akan membantu dengan menyediakan latihan tambahan yang relevan bagi memperkukuh pemahaman dan meningkatkan kemahiran mereka.

Menurut Gruber dan rakan-rakan (2018), AI dapat memberikan peluang kepada pelajar untuk menerima maklum balas segera tentang kelemahan mereka seperti kesalahan tatabahasa, sebutan atau penggunaan perkataan. Teknologi pemprosesan bahasa semula jadi (NLP) berperanan dalam menganalisis teks dan pertuturan dengan lebih efektif. Hal ini membolehkan pelajar menerima panduan segera yang berupaya meningkatkan penguasaan dan kemahiran bahasa mereka.

Menurut Wang dan rakan-rakan (2020), teknologi AI seperti aplikasi chatbot dan realiti maya (VR) menyediakan pengalaman pengajaran yang interaktif dan imersif. Pembelajaran imersif ialah suasana pembelajaran bermakna dengan melibatkan pelajar secara aktif dan menghayati kandungan yang dipelajari sama ada dalam konteks simulasi atau keadaan sebenar. Melalui chatbot, pelajar dapat berlatih berbual dalam situasi yang menyerupai interaksi sebenar, tanpa perlu bergantung kepada guru atau rakan sekelas. Pelajar dapat berlatih bercakap dengan AI yang mensimulasikan perbualan dalam bahasa sasaran. Hal ini dapat meningkatkan kemahiran komunikasi mereka dalam situasi yang lebih praktikal dan menarik. Chatbot seperti Replika atau Google Assistant boleh digunakan untuk mencipta perbualan dalam bahasa yang sedang dipelajari. Pelajar boleh berlatih bertanya soalan atau menjawab dalam perbualan interaktif yang dihasilkan secara dinamik oleh AI.

AI boleh digunakan untuk membetulkan kesilapan dalam penulisan dan memberikan maklum balas segera kepada pelajar. Teknologi ini bukan sahaja dapat mengenal pasti kesilapan tatabahasa dan ejaan, tetapi juga dapat memberikan cadangan untuk memperbaiki struktur ayat. Sebagai contoh, aplikasi atau pelantar seperti Grammarly atau Microsoft Editor yang menggunakan AI untuk menganalisis hasil penulisan pelajar, memperbaiki kesilapan dan memberikan saranan mengenai gaya penulisan yang lebih baik.

AI juga boleh digunakan dalam penterjemahan bahasa dengan tepat dan pantas, sekali gus membantu pelajar memahami teks dalam bahasa asing dengan lebih mudah dan berkesan. Melalui AI, penterjemahan teks kini menjadi lebih kontekstual dan mendalam, di samping membantu pelajar untuk melihat perbezaan makna dalam konteks tertentu. Dalam konteks ini, pelajar boleh menggunakan Google Translate untuk menterjemahkan teks dalam bahasa asing serta membandingkan terjemahan automatik dengan terjemahan yang dihasilkan oleh mereka sendiri.

Teknologi AI dapat dimanfaatkan bagi melatih pelajar untuk menyebut sesuatu kata dengan sebutan yang betul dengan menganalisis cara mereka bertutur. Sistem ini boleh mengesan perbezaan dalam intonasi, sebutan dan memberikan maklum balas segera untuk tujuan penambahbaikan. Aplikasi yang boleh digunakan oleh guru termasuklah Elsa Speak yang berfungsi untuk mendengar dan menilai sebutan pelajar. Seterusnya, memberikan maklum balas secara langsung dan menawarkan latihan yang sesuai bagi membantu pelajar meningkatkan kemahiran pertuturan mereka.

Di samping itu, AI dapat mengintegrasikan pendekatan gamifikasi dalam pengajaran bahasa yang menjadikan pembelajaran lebih menarik dan menyeronokkan. Pelajar boleh mendapat anugerah, mencapai tahap baharu dan bersaing dengan pelajar lain. Keadaan ini boleh meningkatkan motivasi mereka untuk terus belajar. Guru boleh memperkenalkan aplikasi AI Memrise bagi membantu pelajar belajar kosa kata baharu dengan lebih cepat dan mengekalkannya dalam ingatan untuk jangka masa yang lebih lama.

Walaupun AI memberikan banyak manfaat kepada guru dan pelajar dalam mempelajari bahasa, namun penggunaannya turut menghadapi cabaran yang tersendiri. Terdapat beberapa isu dan cabaran yang perlu diatasi oleh seseorang guru atau pelajar, khususnya berkaitan dengan isu kualiti, ketepatan sistem AI, etika, privasi dan kebergantungan terhadap teknologi semata-mata.

Menurut Hsu dan raka-rakan (2020), algoritma AI mungkin tidak memahami konteks dan nuansa bahasa yang kompleks. Hal ini boleh mengakibatkan maklum balas yang tidak tepat atau mengelirukan. Di samping itu, AI memberikan maklum balas yang terhad dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan keperluan pelajar yang menyebabkan mereka kehilangan peluang untuk belajar dalam konteks yang lebih luas.

Menurut Sweeney (2013), penggunaan AI melibatkan pengumpulan dan analisis data peribadi pelajar yang boleh menimbulkan isu berkaitan dengan privasi dan etika. Selain itu, amat penting untuk memastikan data pelajar dilindungi dengan baik dan digunakan mengikut piawaian etika dan undang-undang yang ditetapkan. AI tidak selalu tepat dan boleh memberikan maklumat yang salah. Hal ini boleh menyebabkan pelajar mendapat pemahaman yang salah tentang tatabahasa, kosa kata atau penggunaan bahasa.

Menurut Li dan rakan-rakan (2019), kebergantungan pada AI boleh mengurangkan interaksi sosial antara pelajar dengan guru. Interaksi manusia penting untuk pembangunan kemahiran komunikasi dan sosial. Pengajaran bahasa tradisional yang melibatkan interaksi langsung antara pelajar dengan guru masih penting untuk perkembangan kemahiran sosial dan komunikasi pelajar. AI mungkin tidak memahami konteks budaya dan nuansa bahasa secara mendalam. Hal ini boleh menyebabkan pelajar tidak memperoleh pemahaman yang menyeluruh tentang penggunaan bahasa dalam situasi yang berbeza.

Penggunaan AI dalam pengajaran bahasa Melayu dapat membantu pelajar untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka. Namun begitu, bagi mencapai manfaat yang maksimum, cabaran yang wujud perlu diatasi melalui latihan guru yang baik, penilaian berterusan dan kaedah pengajaran yang seimbang. Melalui pendekatan yang betul, AI berpotensi menjadi alat yang bernilai dalam meningkatkan kemahiran bahasa pelajar di seluruh dunia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi