Diterbitkan pada 5 Februari 2025, 17:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melantik Yang Berhormat (YB) Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan sebagai Penyandang Kursi Raja-Raja Melayu UiTM.

Jawatan kehormat itu disampaikan oleh Naib Canselor UiTM, Yang Berbahagia (YBhg.) Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dalam majlis pada petang 3 Februari 2025 di Shah Alam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Komunikasi Korporat, UiTM di laman Facebook rasmi institusi tersebut,

“Tahniah dan selamat datang kepada YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan atas lantikan sebagai Penyandang Kursi Raja-Raja Melayu UiTM.”

Pelantikan sebagai Penyandang Kursi Raja-Raja Melayu UiTM disampaikan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Menurut YB Senator, beliau akan membantu Raja-Raja Melayu UiTM melalui amanah sebagai Penyandang Kursi Raja-Raja Melayu atas nama penaung dan pelindung teras kenegaraan.

“Raja-Raja Melayu bukan sekadar lambang, tetapi institusi kenegaraan yang menaungi perkara penting dan teras kenegaraan khasnya agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak sah kaum-kaum lain. Konsep dan fungsi Raja-Raja Melayu sebagai “payung negara” perlu direalisasikan oleh semua pihak,” tulis beliau dalam laman Facebooknya yang dikenali sebagai Awang Sarian Kembara Bahasa.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, antara langkah segera yang perlu dilakukan sebaik-baik sahaja melangkah kaki ke UiTM ialah penganjuran perbincangan meja bulat yang dijangka pada minggu ketiga bulan Februari 2025.

Persidangan meja bulat itu nanti, katanya antara pihak UiTM dengan pemegang-pemegang kepentingan di dalam dan di luar untuk membantu mengatur program bersama bagi merealisasikan fungsi Raja-Raja dalam semua sektor kenegaraan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi