Diterbitkan pada 25 Julai 2026, 12:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Teluk Intan – Kumpulan Ogak-ogak muncul sebagai juara Pertandingan Perang Kata bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2026 Peringkat Negeri Perak yang berlangsung di Dataran Udang Galah, Teluk Intan, semalam.

Kemenangan itu melayakkan kumpulan berkenaan membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi dan sijil penyertaan. Kumpulan Laksar Halidah meraih tempat kedua sekali gus menerima wang tunai RM800, trofi dan sijil penyertaan, manakala Kumpulan Wacana Mutiara menduduki tempat ketiga serta membawa pulang RM600, trofi dan sijil penyertaan.

Ketua Kumpulan Ogak-ogak turut dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik. Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Yang Berusaha (YBrs.) Encik Sharrul Rizal Hashim.

Berlangsung sebagai satu daripada pengisian Temasya Budaya Perak 2026, pertandingan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak dengan kerjasama DBP Wilayah Utara itu mengangkat tema “Bahasa Jiwa Bangsa” menerusi pendekatan baharu yang menggabungkan seni berpantun dengan persembahan kumpulan.

Berbeza daripada pertandingan pantun konvensional, Perang Kata mengetengahkan konsep berpantun dengan gabungan persembahan dikir barat. Pendekatan itu bukan sahaja menuntut setiap kumpulan mahir berpantun, malah memiliki kreativiti untuk mengolah persembahan serta menampilkan keserasian sebagai satu pasukan.

Dalam pertandingan tersebut, setiap kumpulan diketuai oleh seorang Tukang Pantun yang dibantu oleh Pembantu Ketua Kumpulan, manakala ahli lain bertindak sebagai awak-awak yang menghidupkan persembahan melalui gerak, suara dan pengulangan pantun.

Setiap pasukan perlu menyempurnakan satu pusingan yang mengandungi tiga pantun jual dan tiga pantun beli bagi menguji kecekapan peserta berbalas pantun serta mengolahnya menjadi persembahan yang menarik.

Dengan penyertaan antara enam hingga 15 orang bagi setiap kumpulan, pertandingan itu membuktikan bahawa kekuatan sesebuah pasukan bukan sahaja terletak pada keindahan pantun, malah pada kesepaduan persembahan yang merangkumi suara, gerak dan semangat berpasukan.

Aspek Kekuatan Pantun menjadi komponen utama pemarkahan sebanyak 30 markah. Kemudian, diikuti oleh Kreativiti Persembahan (25 markah), Teknik Persembahan Ketua Kumpulan (20 markah), Keserasian dan Kerjasama Ahli Kumpulan (15 markah) serta Kostum (10 markah).

Penganjuran pertandingan itu membuktikan bahawa bahasa kebangsaan mampu diraikan melalui pendekatan yang kreatif dan dekat dengan masyarakat. Pantun yang sinonim sebagai warisan tradisi lisan turut diketengahkan dalam bentuk persembahan berkumpulan yang menggabungkan seni kata, muzik dan gerak.

Usaha tersebut sekali gus memperluas ruang apresiasi terhadap bahasa Melayu, di samping menyemarakkan semangat generasi muda untuk terus menggunakan, menghayati dan memartabatkan bahasa kebangsaan.

 

Para pemenang merakamkan gambar kenangan bersama-sama dengan Pengarah DBP Wilayah Utara, YBrs. Encik Sharrul Rizal Hashim.
Kredit Foto: Media rasmi JKKN Negeri Perak
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi