Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMiri – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak telah melaksanakan Projek Pangkalan Data Umum Bahasa Sukuan Sarawak (PDBUSS) bagi memperkukuh usaha melestarikan bahasa-bahasa sukuan di negeri ini, sekali gus memastikan warisan linguistik masyarakat pelbagai etnik ini terus terpelihara.
Program yang berlangsung selama dua hari dari 25 hingga 26 Julai 2026 di Kompleks Islam Sarawak, Miri itu melibatkan sebanyak 30 orang rakan penyelidik yang berperanan sebagai Jawatankuasa Pelestarian Bahasa Sukuan Sarawak.
Mereka terdiri daripada penutur jati pelbagai etnik yang bertanggungjawab menjalankan penyelidikan, mengumpulkan dan mengesahkan entri bahasa sukuan serta memastikan setiap entri yang dihimpunkan tepat, sahih dan memenuhi piawaian pendokumentasian bahasa.
Jawatankuasa tersebut mewakili pelbagai etnik, antaranya termasuklah Miriek, Kiput, Saban, Melanau Mukah, Sekapan, Tering, Kedayan, Lahanan, Bisaya dan Kenyah Cebup.
Semua entri yang disahkan akan diterbitkan dalam bentuk daftar kata atau kamus sebelum dimasukkan ke dalam Pangkalan Data Bahasa Sukuan Sarawak. Data tersebut kemudiannya akan diserahkan kepada Bahagian Sistem Maklumat DBP untuk dimuat naik ke laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), sekali gus memudahkan orang ramai, penyelidik dan komuniti bahasa mendapatkan akses kepada maklumat secara dalam talian.
Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Puan Hajah Roslin Haji Majidi berkata, projek tersebut diadakan bertujuan untuk mengumpulkan dan mendokumentasikan entri bahasa sukuan Sarawak secara sistematik sebagai sumber rujukan yang berautoriti.
Menurut beliau, pelaksanaan projek itu turut membuka ruang untuk mengenal pasti lebih banyak rakan penyelidik dan pakar bahasa dalam kalangan penutur jati sebagai persediaan ke arah pelaksanaan projek pemetaan bahasa sukuan Sarawak pada masa hadapan.
Beliau berkata, inisiatif tersebut juga menyokong usaha memperkaya bahasa Melayu melalui penyerapan kosa kata daripada bahasa-bahasa sukuan Sarawak. Pendekatan itu bukan sahaja menambah khazanah leksikal bahasa kebangsaan, malah menyerlahkan kekayaan budaya dan kepelbagaian linguistik yang menjadi identiti negara.
Menurut beliau, pendokumentasian bahasa sukuan merupakan langkah penting bagi memastikan bahasa berkenaan terus terpelihara daripada ancaman kepupusan akibat perubahan zaman dan penyusutan bilangan penutur. Usaha yang berterusan dan sistematik itu membolehkan khazanah bahasa masyarakat peribumi diwariskan kepada generasi akan datang serta dimanfaatkan dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan pembangunan bahasa.
Program tersebut sekali gus memperkukuh peranan DBP sebagai institusi peneraju dalam pembangunan, pemartabatan dan pelestarian bahasa di Malaysia, di samping memperkaya bahasa Melayu melalui penyerapan kosa kata daripada bahasa-bahasa sukuan yang mempunyai nilai budaya dan linguistik yang tinggi.