Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBahasa kiasan merupakan satu daripada ciri istimewa dalam bahasa Melayu yang mencerminkan pemikiran, adat dan budaya masyarakatnya. Bahasa kiasan sering digunakan dalam peribahasa, pantun, syair dan perbualan harian sebagai kaedah halus untuk menyampaikan maksud tersirat. Menurut Hassan Ahmad, melalui keindahan metafora dan simbolisme, bahasa kiasan bukan sahaja menggambarkan kesiratan makna tetapi turut mengandungi nilai estetika, moral dan kebijaksanaan yang diwarisi oleh orang Melayu. Namun begitu, dalam dunia moden yang berkembang pesat, penggunaan bahasa kiasan mengalami evolusi yang menarik. Sekiranya dahulu bahasa kiasan digunakan secara meluas dalam komunikasi lisan dan tulisan tradisional, kini bahasa kiasan mula mengalami perubahan dari segi bentuk dan makna, terutamanya dalam konteks digital dan media sosial.
Sejak dahulu, bahasa kiasan telah digunakan secara meluas dalam komunikasi masyarakat Melayu. Bahasa ini hadir dalam pelbagai bentuk termasuklah peribahasa, simpulan bahasa, pantun, gurindam dan syair yang sering dikaitkan dengan kebijaksanaan dan akal budi bangsa Melayu. Sebagai contoh, simpulan bahasa seperti kaki botol, kaki judi, kaki perempuan, kaki lawan dan kaki umpat menunjukkan bahawa orang Melayu mampu mencipta makna tersirat walaupun dengan menggunakan dua patah perkataan sahaja. Selain itu, peribahasa seperti bagai aur dengan tebing menggambarkan nilai kerjasama yang erat dalam masyarakat, manakala seperti enau dalam belukar merujuk sifat mementingkan diri sendiri. Hal ini menunjukkan bahawa bahasa kiasan bukan hanya sekadar elemen linguistik tetapi turut mencerminkan nilai dan norma dalam kehidupan masyarakat Melayu.
Dalam komunikasi tradisional, bahasa kiasan sering digunakan untuk menyampaikan teguran secara berlapik dan bersopan. Orang Melayu bijak menyusun kata dengan indah, sebagaimana yang dapat dilihat dalam bait-bait pantun yang bukan sahaja menarik tetapi mempunyai makna tersirat. Sila lihat contoh yang berikut:
Contoh 1:
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.
Contoh 2:
Pokok cempedak di tepi tangga,
Berbuah sebiji gugur terbuang;
Janganlah mudah berasa bangga,
Bilalah hidup dipuja orang.
Sumber: Kurik Kundi Merah Saga, 2013
Kedua-dua pantun di atas menunjukkan bahawa orang Melayu sangat menitikberatkan adab dan kesantunan dalam memberikan nasihat agar tidak menyinggung perasaan pihak yang ditegur. Oleh hal yang demikian, fungsi utama bahasa kiasan dalam budaya Melayu adalah sebagai medium untuk menyampaikan mesej secara halus, namun tetap berkesan dan mudah difahami oleh pendengar.
Seiring dengan peredaran masa, bahasa kiasan mengalami perubahan dan adaptasi mengikut konteks semasa. Dalam era moden, penggunaannya dalam sastera dan media masih kekal relevan, namun mengalami sedikit perubahan dari segi bentuk dan cara penyampaian.
Sebagai contoh, bahasa kiasan digunakan untuk memperindah penulisan dan menarik minat pembaca dalam akhbar dan majalah. Ungkapan seperti politik tahi minyak dan katak di bawah tempurung sering digunakan dalam wacana media bagi menggambarkan pelbagai fenomena sosial dan politik. Penggunaan bahasa kiasan dalam media bukan sahaja menambah nilai estetika dalam penulisan tetapi juga membantu menyampaikan maksud secara halus dan mendalam.
Namun begitu, terdapat juga cabaran dalam memastikan bahasa kiasan terus digunakan dalam penulisan dan pertuturan. Dalam komunikasi harian, terutamanya dalam kalangan generasi muda, penggunaannya semakin berkurangan kerana kebanyakan mereka lebih cenderung kepada bahasa yang ringkas dan bersifat langsung. Hal ini menyebabkan penggunaan bahasa kiasan semakin terpinggir dalam masyarakat Melayu. Selain itu, terdapat juga kecenderungan dalam kalangan generasi muda untuk mencipta pantun secara main-main sebagai gurauan. Fenomena ini boleh menjadi ikutan dalam kalangan pelajar dan anak muda, sekali gus mengubah fungsi pantun dalam konteks tradisional. Sila lihat contoh yang berikut:
Contoh 1
Pergi ke kedai membeli rokok,
Rokok habis.
Contoh 2
Pergi ke kedai membeli kereta,
Kereta meletup.
Pantun di atas merupakan contoh yang pernah tular sebelum ini. Penulis berasa terkilan apabila mendengar pantun sebegini dicipta kerana pantun tersebut tidak menepati ciri-ciri pantun Melayu yang sebenar. Dari segi susunan rima, pantun tersebut tidak mengikuti pola yang betul, manakala dari segi kiasan, pantun tersebut tidak mengandungi nilai ilmu atau pengajaran yang dapat disampaikan. Oleh itu, langkah yang sewajarnya perlu diambil bagi memastikan pantun terus berkembang dalam bentuk yang sejajar dengan warisan sastera Melayu yang autentik.
Perkembangan teknologi dan media sosial telah membawa satu dimensi baharu kepada penggunaan bahasa kiasan. Dalam dunia digital, bahasa kiasan mengalami transformasi yang unik kerana peribahasa tidak hanya digunakan dalam bentuk teks semata-mata sebaliknya turut disampaikan melalui meme, video pendek dan kapsyen media sosial. Sebagai contoh, beberapa bahasa kiasan baharu muncul dalam media sosial seperti tebuk atap, tin kosong dan sampai ke bulan yang masing-masing membawa makna tertentu dalam konteks politik dan sosial. Ungkapan ini menggambarkan bagaimana bahasa kiasan terus berkembang dan disesuaikan dengan isu semasa, di samping menjadikannya lebih relevan dalam komunikasi moden.
Selain itu, penggunaan emoji juga telah menjadi sebahagian daripada bentuk bahasa kiasan moden. Sebagai contoh, ikon api sering digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang menarik, hebat atau sedang bersemangat membara, manakala emoji tengkorak pula digunakan untuk menyatakan sesuatu yang sangat kelakar. Walaupun perubahan ini mencerminkan keupayaan bahasa kiasan untuk terus berkembang dan menyesuaikan dengan peredaran zaman, cabaran utamanya adalah memastikan generasi muda terus memahami dan menghargai keindahan bahasa kiasan tradisional. Sekiranya kesedaran terhadap nilai dan kepentingannya tidak dipupuk, kiasan lama berisiko lenyap daripada penggunaan harian. Oleh itu, usaha pemuliharaan perlu dilaksanakan melalui pendidikan, kesusasteraan dan media agar generasi muda dapat mengenali dan mengamalkan bahasa kiasan dalam kehidupan seharian.
Cabaran utama dalam mengekalkan bahasa kiasan ialah kurangnya pendedahan kepada generasi muda. Dalam dunia yang bergerak pantas, kebanyakan individu lebih gemar menggunakan bahasa yang mudah dan bersifat langsung. Tambahan pula, pendidikan bahasa di sekolah lebih menumpukan kepada aspek tatabahasa dan kosa kata tanpa memberikan penekanan yang mendalam terhadap penggunaan bahasa kiasan secara aktif dalam komunikasi harian. Hal ini mengakibatkan pemahaman terhadap bahasa kiasan dalam kalangan pelajar sering terbatas kepada keperluan akademik semata-mata tanpa menghayati keindahannya.
Selain itu, media digital dan budaya globalisasi juga memberikan kesan kepada penggunaan bahasa kiasan. Kebanyakan remaja lebih cenderung menggunakan bahasa slanga atau campuran bahasa yang dipengaruhi oleh budaya luar. Sebagai contoh, penggunaan istilah seperti flex, lowkey dan vibes dalam perbualan harian telah menggantikan bahasa kiasan tradisional yang lebih kaya dengan maksud tersirat.
Namun begitu, masih ada harapan untuk memastikan bahasa kiasan terus relevan dalam masyarakat. Penggunaannya dalam penulisan kreatif, media dan pendidikan boleh membantu mengekalkan warisan ini. Di samping itu, pembelajaran secara pengalaman langsung didapati lebih berkesan dalam membantu pelajar menghayati bahasa kiasan. Melalui aktiviti seperti deklamasi puisi, pementasan teater, pertandingan pantun dan permainan bahasa, pelajar dapat mendalami maksud tersirat yang terkandung dalam bahasa kiasan dengan cara yang lebih menarik dan interaktif. Pendekatan ini bukan sahaja menghidupkan kembali warisan bahasa kiasan tetapi juga memastikanbahasa ini terus digunakan dalam komunikasi harian.
Evolusi bahasa kiasan dalam masyarakat Melayu menunjukkan perubahan yang ketara dari zaman tradisional hingga ke era digital. Daripada peribahasa dan pantun kepada meme dan emoji, bahasa kiasan terus berkembang seiring dengan perubahan zaman. Walaupun terdapat cabaran dalam mengekalkan penggunaannya, usaha berterusan perlu dilakukan agar bahasa kiasan tidak hilang ditelan arus moden.
Sebagai sebuah masyarakat yang kaya dengan budaya dan bahasa, menjadi tanggungjawab setiap individu untuk terus menghargai dan menghidupkan bahasa kiasan dalam komunikasi harian. Melalui pemahaman yang mendalam tentang evolusi bahasa kiasan, perkembangan bahasa Melayu dapat diperhatikan dengan lebih jelas. Perubahan ini bukan sahaja mencerminkan dinamika bahasa tetapi juga menggambarkan identiti dan pemikiran bangsa Melayu yang kaya dengan kebijaksanaan dan kehalusan seni bahasa. Oleh itu, usaha berterusan perlu dilakukan agar bahasa kiasan terus dihargai dan tidak terpinggir dalam arus permodenan.