Diterbitkan pada 9 Mac 2025, 18:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Dua judul buku terbitan Bahagian Buku Umum, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah terpilih untuk disenaraikan dalam 50 Judul Terbaik Malaysia bagi Dagangan Hak Cipta Antarabangsa 2023-2025. 

Pemilihan dua judul buku terbitan DBP ini membuktikan bahawa keunggulan penerbitan tempatan dalam mengangkat nilai ilmu dan warisan negara ke peringkat antarabangsa diperakui.

Judul buku yang terpilih ialah Feudalisme: Sejarah dan Pensejarahan karya Azmi Arifin suntingan Zalimah Yahaya dan Lada Hitam Permata Sarawak karya Izzah Abd Hamid @ Ghazali dan Wan Asrina Wan Yahaya suntingan Louisa Hoya Anak Janta. Pengiktirafan ini diumumkan pada Selasa (4 Mac 2025) yang lalu.

Judul buku ini akan dipromosikan ke pasaran antarabangsa melalui penyertaan dalam Pesta Buku Beijing, sekali gus membuka peluang kepada penerbit dan penulis tempatan untuk menembusi pasaran global.

Menurut Zalimah Yahaya, Feudalisme: Sejarah dan Pensejarahan merupakan buku yang menghimpunkan perbincangan secara mendalam tentang konsep feudalisme, perkembangan sejarah dan persejarahannya dalam skop yang luas. 

Buku ini merupakan penelitian feudalisme dalam konteks di Eropah Barat dan di beberapa negara Asia pada Zaman Pertengahan, khususnya di Jepun dan Tanah Melayu. Perbahasan utama dalam buku ini berkisar pada persoalan sejauh mana feudalisme wujud dalam masyarakat Melayu sebelum zaman kolonial. Persoalan ini merupakan suatu topik yang sering menjadi perdebatan dalam kajian sejarah Malaysia. 

Kandungan buku ini juga memberikan penjelasan yang lebih mendalam dan akademik, sekali gus menangkis kekeliruan serta propaganda politik yang sering mengaitkan feudalisme dengan gambaran negatif semata-mata.

Sementara itu, Lada Hitam Permata Sarawak merupakan sebuah buku panduan lengkap tentang penanaman lada hitam, termasuk pemilihan benih, pengurusan tanaman, pengecaman serta kawalan penyakit dan perosak, proses penuaian, dan kaedah pemprosesannya. 

Menurut Louisa Hoya Anak Janta, buku ini turut mengetengahkan penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) bagi menilai kesuburan tanah dan memberikan cadangan penyelesaian terhadap cabaran dalam industri lada hitam termasuklah peningkatan kos pengurusan dan hasil yang rendah. Buku ini menjadi rujukan penting kepada pengusaha pertanian, pelajar dan agensi berkaitan pertanian, seperti Lembaga Lada Hitam Malaysia.

Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia menerbitkan katalog 50 Judul Terbaik Malaysia bagi Dagangan Hak Cipta Antarabangsa pada setiap tahun. Katalog ini bertujuan untuk mempromosikan karya tempatan terbaik ke pasaran domestik dan antarabangsa, terutamanya dalam penganjuran pesta buku. 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi