Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSandakan – Dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama, Jabatan Penguatkuasaan, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Penguatkuasaan serta DBP Cawangan Sabah melaksanakan pemantauan penggunaan bahasa kebangsaan di sekitar kawasan pentadbiran MPS pagi tadi.
Hasil pemantauan menerusi inisiatif Pantau Tegur Bahasa di tempat awam mendapati bahawa tahap penggunaan bahasa kebangsaan di kawasan tersebut berada pada tahap sederhana kerana terdapat beberapa masalah utama yang dikenal pasti termasuklah penggunaan bahasa rojak, kesalahan tatabahasa dan istilah.
Menurut Ketua Jabatan Penguatkuasaan MPS, YBrs. Encik Imran Osman, permohonan iklan seperti papan tanda premis sememangnya mempunyai format tersendiri yang perlu dipatuhi oleh pemohon lesen perniagaan dari Jabatan Pelesenan.
Jelas beliau, segala kriteria dan aspek teknikal permohonan tersebut perlu merujuk Jabatan Pelesenan terlebih dahulu.
“Penggunaan bahasa kebangsaan akan lebih dimartabatkan sekiranya diberikan keutamaan dari segi kedudukan, saiz dan warna serta penggunaan bahasa itu sendiri jelas menggambarkan bahawa kita sememangnya berada di negara Malaysia, bukan di negara lain,” ujarnya.
Kerjasama (DBP dan MPS) ini juga merupakan langkah yang sangat baik bagi memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan berkesan dalam sektor pengiklanan.
Tambah beliau lagi, setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) mestilah cakna akan isu penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan bagi menyahut seruan kerajaan berkaitan dengan penggunaan bahasa kebangsaan.
Beberapa dapatan tentang penggunaan bahasa di tempat awam diperoleh daripada hasil sesi lawatan dan pemantauan yang dilaksanakan di kawasan pentadbiran MPS.
Oleh itu, usaha menambah baik tahap penggunaan bahasa kebangsaan akan dilaksanakan oleh MPS demi memartabatkan bahasa Melayu pada tempat yang sewajarnya.

Sementara itu, inisiatif Pantau Tegur Bahasa merupakan sebahagian daripada program pemerkasaan bahasa Melayu yang telah dirancang bersempena dengan lawatan kerja Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek ke Sandakan pada 21 hingga 22 Mac 2025.
Pelaksanaan usaha ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan dari segi tatabahasa, terjemahan dan peristilahan di beberapa buah lokasi terpilih sekitar kawasan pentadbiran MPS selain memastikan keselarasan penggunaan bahasa kebangsaan yang tepat dan betul.
Turut terlibat dalam pemantauan tersebut termasuklah Pegawai Penguatkuasa MPS, Puan Dayang Nur Izyan dan Encik Yan @ Yang Abdul Karim, manakala pihak DBP diwakili oleh Ketua Bahagian Penguatkuasaan DBP, Encik Rahimi Arifin; Pegawai Unit Audit dan Pemantauan DBP, Encik Mohamad Norshafuwan Ramlan serta pegawai DBP Cawangan Sabah, Puan Maslijan Abd. Rasad, Puan Nada Haifa Remlle dan Encik Mohd. Hafizee Affiq Japar.