Diterbitkan pada 26 Mac 2025, 14:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kebanyakan pihak beranggapan bahawa bahasa Melayu sekadar digunakan sebagai bahasa pertuturan harian dalam kalangan masyarakat. Hakikatnya, sejarah yang terpahat utuh membuktikan bahawa bahasa Melayu telah lama dimartabatkan sebagai wadah ilmu dan pendidikan di rantau Nusantara ini. Peranan penting bahasa Melayu dalam perkembangan ilmu ini turut diperakui melalui kewujudan pelbagai manuskrip lama, kitab-kitab agama, karya sastera dan dokumen rasmi yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Jelaslah bahawa peranan bahasa Melayu dalam bidang keilmuan bukan suatu perkara baharu, sebaliknya telah berakar kukuh dalam sejarah peradaban bangsa.

Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970 merupakan kemuncak usaha pihak pemerintah untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada peringkat pengajian tinggi. Sejak penubuhannya, UKM terus melangkah maju ke hadapan dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu apabila segala bentuk aktiviti pengajian dan penyelidikan dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa tersebut.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai wadah ilmu dan pendidikan tidak hanya bermula pada era 1970-an hingga kini. Sekiranya ditelusuri dengan jujur dan berani, sejarah lampau membuktikan bahawa bahasa Melayu telah memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu sejak kedatangan Islam ke rantau ini. Penyebaran agama Islam secara langsung memperluas penggunaan bahasa Melayu sebagai medium penyampaian dakwah dan ilmu pengetahuan kepada masyarakat.

Dengan kata lain, usaha penyebaran Islam telah memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan harian, bahasa perdagangan dan seterusnya berkembang menjadi bahasa ilmu yang dinamik dan berwibawa. Perkembangan ini telah mewujudkan pelbagai laras bahasa dan istilah baharu dalam bahasa Melayu. Oleh sebab itu, penyampaian ilmu agama kepada masyarakat memerlukan bahasa yang mudah difahami, sekali gus menyumbang kepada pengembangan bahasa Melayu yang lebih sistematik dan luas.

Impak langsung daripada perkembangan ini dapat dilihat melalui kebolehan bahasa Melayu menyerap pelbagai kosa kata asing secara harmoni dan berkesan. Hal ini membuktikan bahawa bahasa Melayu memiliki keistimewaan yang tersendiri sebagai bahasa ilmu yang fleksibel dan mampu berkembang mengikut peredaran zaman. Oleh itu, sebarang tanggapan yang memandang rendah terhadap keupayaan bahasa Melayu sebagai wadah ilmu dan pendidikan berpunca daripada sikap sambil lewa terhadap fakta sejarah yang agung.

Bahasa Melayu mempunyai kekuatan yang menepati ciri-ciri bahasa penyampai ilmu dan pendidikan. Bahasa Melayu tidak pernah ketinggalan dari segi ketepatan fungsi dan keupayaannya menyampaikan ilmu. Selain berperanan sebagai bahasa komunikasi lisan dalam kalangan masyarakat, bahasa Melayu juga telah membuktikan kecemerlangannya sebagai bahasa intelektual tinggi dalam bidang keilmuan.

Merujuk semula penubuhan UKM yang dimasyhurkan sebagai ‘Gedung Ilmu’ yang berperanan penting dalam memartabatkan bahasa Melayu, institusi ini menjadi saksi kepada usaha memperkasakan bahasa Melayu dalam dunia akademik. UKM juga boleh dianggap sebagai gudang ilmu yang berjaya melahirkan para graduan yang berminda global tetapi berjiwa lokal. Kejayaan ini membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu bersaing dan digunakan dalam semua bidang pengajian pada peringkat tertinggi, sekali gus menangkis segala tohmahan yang merendah-rendahkan kedudukan bahasa Melayu.

Keyakinan terhadap keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu telah dibuktikan secara konsisten. Menurut Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan (2011), bahasa ilmu ialah bahasa yang berbudaya, kaya dengan kandungan ilmu dan berperanan mengembangkan ilmu dalam kalangan masyarakat dan bangsanya. Berdasarkan pandangan tersebut, jelaslah bahawa bahasa Melayu memenuhi semua ciri dan keperluan sebagai bahasa ilmu yang berwibawa.

Mengapakah fakta cemerlang yang dimiliki oleh bahasa Melayu sejak sekian lama sanggup disembunyikan begitu sahaja? Sebagai rakyat Malaysia, semua lapisan masyarakat hendaklah berbangga terhadap bahasa Melayu. Golongan pembina dasar negara dan cendekiawan juga wajar mempergiat usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam semua lapangan kehidupan dan pembangunan negara.

Pada masa kini, terdapat lebih 140 institusi pengajian tinggi di seluruh dunia yang menawarkan kursus pengajian bahasa Melayu. Antaranya termasuklah negara Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Rusia, Belanda, China, Mesir, Iran, Thailand dan Pakistan. Institusi pengajian tinggi di negara tersebut telah membuka ruang dan memberikan peluang kepada pelajar mereka untuk mengikuti pengajian Bahasa Melayu.

Namun begitu, amat menghairankan apabila masih wujud segelintir rakyat Malaysia yang kurang yakin untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai wadah ilmu walaupun negara luar begitu bersemangat mengiktiraf kedudukan bahasa ini sebagai bahasa ilmu. Sikap sebegini bukan sahaja mengecewakan tetapi mencerminkan pengabaian terhadap warisan bangsa yang sangat bernilai. Sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan, tidak mustahil kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan terus dipinggirkan di Malaysia, sekali gus menjejaskan usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam arus pembangunan negara.

Golongan yang menafikan keutuhan dan kehebatan bahasa Melayu wajar dianggap sebagai golongan yang tidak bertanggungjawab terhadap negara. Penafian terhadap perkara yang telah termaktub secara rasmi dalam Perlembagaan merupakan satu bentuk pencabulan terhadap identiti nasional dan maruah bangsa. Tindakan sebegini bukan sahaja menggugat usaha dalam memartabatkan bahasa Melayu tetapi menunjukkan kurangnya rasa cinta dan bangga terhadap warisan negara sendiri. Oleh itu, setiap rakyat bertanggungjawab untuk menghormati kedudukan bahasa Melayu dan memperkasakannya dalam semua aspek kehidupan sebagai lambang jati diri dan kedaulatan negara.

Sebagai kesimpulan, bahasa Melayu perlu terus kekal relevan, segar dan berwibawa dalam arus pembangunan negara, khususnya dalam bidang penyampaian ilmu dan pendidikan. Bahasa Melayu merupakan simbol jati diri bangsa, wahana keilmuan dan tonggak kebangsaan yang wajib dipelihara serta dijulang sepanjang zaman. Oleh itu, setiap rakyat perlu menghargai dan mengutamakan penggunaan bahasa Melayu dalam setiap urusan sebagai tanda cinta akan bahasa dan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi