Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 10 April 2025, 17:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kepong – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama-sama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) hari ini dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang penerbitan ilmiah dan penyelidikan dalam bahasa kebangsaan.

Menurut YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP, pelbagai inisiatif boleh diusahakan dengan FRIM kerana keutamaan DBP ketika ini adalah untuk melahirkan penulis muda yang mapan yang memanfaatkan keindahan alam seperti di FRIM yang mampu menjadi kekuatan latar dalam menghasilkan karya yang terbaik.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan beliau dalam Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman antara Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Program Bicara Ilmu Tahun 2025.

“Saya sendiri berpengalaman dalam kegiatan penulisan karya. Alam sekitar itulah yang menjadi dorongan dan memberikan inspirasi yang cukup istimewa kepada kita,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman antara Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Program Bicara Ilmu Tahun 2025 di Auditorium FRIM.

Pada masa yang sama, beliau turut menjelaskan bahawa DBP tidak menghalang sebarang hasil penyelidikan yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris bagi tujuan penyebaran ilmu pada pentas antarabangsa.

Walau bagaimanapun, atas keperluan pada peringkat nasional, beliau menggalakkan penterjemahan hasil penyelidikan dalam bahasa kebangsaan supaya rakyat di negara ini mendapat manfaat, selain mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu khususnya dalam bidang perhutanan.

Pendidikan bersifat saintifik termasuklah bidang perhutanan ini juga perlu ditonjolkan dalam bahasa kebangsaan kita.

Beliau turut menekankan bahawa keperluan para penyelidik FRIM yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang untuk berkongsi hasil penyelidikan mereka sama ada secara konvensional melalui majalah DBP atau penerbitan digital di pelantar JendelaDBP.

Dalam aspek pengembangan penyelidikan pula, beliau berkata bahawa kerjasama yang terjalin ketika ini memudahkan hasil penyelidikan tidak hanya disampaikan menerusi penulisan akademik, tetapi boleh dijelmakan dalam bentuk lakonan, pementasan dan pendeklamasian puisi agar dapat dihayati oleh golongan muda dan kanak-kanak.

Kita perlu berfikir dengan lebih luas agar penyelidikan itu tidak terletak dalam catatan yang boleh dibaca oleh segolongan pihak, tetapi dapat dimanfaatkan dan dikembangkan kepada remaja dan kanak-kanak yang juga memerlukan ilmu yang telah dikaji oleh para penyelidik.

Oleh itu, beliau merakamkan penghargaan atas kesediaan FRIM bekerjasama dengan DBP dalam aspek penerbitan dan berharap agar jalinan kolaborasi ini dapat menyatukan kepakaran yang telah digarap oleh para penyelidik sebelum ini. Kerjasama ini juga diharapkan dapat memanfaatkan ilmu pengetahuan dalam penerbitan DBP sebagai warisan bangsa dan negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah FRIM, YBhg. Dato’ Dr. Ismail Haji Parlan pula berkata bahawa pemeteraian MoU berkenaan merangkumi kerjasama dalam skop pendidikan dan penyelidikan, penerbitan, promosi produk penerbitan, pembangunan koleksi penyelidikan dan pendokumentasian, program seminar dan simposium, latihan serta kegiatan lain yang diputuskan bersama oleh kedua-dua pihak dari semasa ke semasa.

Kerjasama ini secara tidak langsung dapat membina dan memperkaya bahasa Melayu dan sastera, khususnya dalam bidang perhutanan dan ilmu yang berkaitan untuk faedah bersama.

Ketua Pengarah FRIM, YBhg. YBhg. Dato’ Dr. Ismail Haji Parlan semasa menyampaikan kata alu-aluan.

“Usaha pihak Bahagian Perkhidmatan Teknikal mewujudkan kerjasama dengan DBP amatlah dipuji kerana memberikan peluang kepada warga FRIM berkongsi aspirasi dengan DBP ke arah memupuk masyarakat kreatif, inovatif, berbudaya, berilmu dan celik bahasa Melayu selaras dengan perkembangan teknologi terkini,” katanya.

Beliau turut mengulas lanjut bahawa Program Bicara Ilmu Bersama-sama DBP Tahun 2025 yang dianjurkan buat kali kelima pada tahun ini menjadi platform perkongsian idea dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan pengurusan bahan rujukan, selain menggiatkan penulisan berkaitan dengan penyelidikan dan pembangunan perhutanan tropika dalam bahasa Melayu mengikut gaya DBP dalam kalangan warga FRIM.

Pihak FRIM juga akan terus menyokong usaha DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, bahasa negara dan bahasa ilmu.

Untuk rekod, FRIM telah menghasilkan lebih daripada 1 000 buah judul di bawah penerbitan bersiri dan menggiatkan lebih 200 penulisan buku mesra ilmu dalam pelbagai judul berkaitan dengan perhutanan dan alam sekitar bagi membolehkan penemuan penyelidikan diketahui oleh khalayak dengan lebih meluas.

Acara pertukaran MoU antara FRIM yang diwakili oleh Ketua Pengarah FRIM, YBhg. Dato’ Dr. Ismail Haji Parlan dengan DBP oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari telah disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FRIM, YBrs. Tuan Haji Mahmudin Saleh serta para hadirin yang hadir.

Ketua Pengarah DBP dan Ketua Pengarah FRIM bergambar bersama-sama dengan pihak pengurusan tertinggi FRIM dan DBP serta ketua-ketua projek kerjasama FRIM dan DBP.

Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan deklamasi puisi oleh YBrs. Dr. Mohamad Nasir Mat Arip, persembahan kebudayaan oleh kumpulan kebudayaan yang diketuai oleh YBrs. Dr. Suhaila Abd Rahman dan pameran hasil penerbitan FRIM.

Ketua Pengarah DBP dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP bersama-sama dengan pihak pengurusan tertinggi FRIM semasa melihat hasil penerbitan FRIM yang dipamerkan.

Program Bicara Ilmu Bersama-sama DBP Tahun 2025 yang turut diadakan bersempena dengan majlis tersebut menampilkan Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa, YBrs. Dr. Norhafizah Mohamed Husin; Ketua Bahagian Buku Bahasa, Puan Noraini Abd Shukor; dan Ketua Bahagian Perkamusan DBP, Puan Zuraini Yeop Ahmad. Bicara tersebut berkisar tentang penerbitan majalah, penyelidikan bahasa, penerbitan buku judul am dan penghasilan kamus oleh DBP.

Ketua Pengarah FRIM bergambar bersama-sama dengan penceramah dari DBP, iaitu Dr. YBrs. Dr. Norhafizah Mohamed Husin (pertama dari kanan), YBrs. Dr. Rosmani Omar (kedua dari kanan), Puan Zuraini Yeop Ahmad (pertama dari kiri) dan Puan Noraini Abd Shukor (kedua dari kiri).

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Encik M Azahari Edin; Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik DBP, Encik Abd Ghani Abu, Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Encik Mohd Fadzli Tajuid; Ketua Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Puan Noriani Yusoff dan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP, Puan Norhasmanalinda Mustapa.

Tetamu yang hadir dalam Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman antara Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Program Bicara Ilmu Tahun 2025 bertempat di Auditorium FRIM, Kepong.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi