Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam konteks pendidikan pada masa kini, keperluan penggunaan alat bantu pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bentuk sokongan material sememangnya tidak dapat dinafikan. Sokongan material dalam pendidikan bahasa Melayu ini merangkumi segala bentuk bantuan fizikal dan bantuan digital.
Antara bentuk sokongan material yang paling asas dan signifikan termasuklah penyediaan bahan bacaan berkualiti seiring dengan teknologi. Bahan ini merangkumi bahan bantu mengajar, seperti buku teks, bahan rujukan, perisian pembelajaran digital, modul interaktif, alat audio visual, dan kemudahan infrastruktur, seperti bilik khas bahasa, projektor, komputer, tablet, papan interaktif dan capaian internet.
Seharusnya, pihak sekolah dan pihak kementerian menyediakan peruntukan tahunan yang khusus bagi pembelian bahan bantu mengajar untuk subjek Bahasa Melayu. Dengan bahan dan peralatan yang mencukupi, guru lebih terdorong untuk mencuba kaedah baharu, seperti pembelajaran berasaskan projek, pembentangan, drama bahasa dan penulisan kreatif.
Bagi menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, interaktif dan relevan untuk generasi pelajar masa kini, warga pendidik memerlukan alatan berteknologi untuk menyediakan aplikasi interaktif, video tatabahasa, pembelajaran dalam talian dan permainan bahasa digital.
Dalam hal ini, pihak kementerian perlu bekerjasama dengan industri kreatif dalam pembangunan aplikasi atau media pembelajaran interaktif berbahasa Melayu. Hal lain yang dapat dilakukan ialah pembangunan modul interaktif dalam bentuk aplikasi atau portal pembelajaran Bahasa Melayu yang mudah diakses oleh guru dan pelajar.
Teknologi ini dapat membantu warga pendidik untuk menyampaikan pengajaran dengan lebih menarik dan pelajar dapat mengakses bahan pembelajaran secara digital di mana-mana lokasi dan pada bila-bila masa, sekali gus menjadikan pengalaman pembelajaran lebih inklusif dan dinamik.
Warga pendidik juga dapat berkongsi sumber dan bahan pengajaran secara aktif dengan warga pendidik di negeri dan negara lain. Sokongan visual dan interaktif ini juga membantu pelajar agar dapat melalui pelbagai gaya pembelajaran.
Selain itu, proses PdP lebih berkesan apabila dilaksanakan dengan alat berteknologi, ditambah dengan kemudahan bilik darjah atau makmal bahasa yang selesa dan lengkap. Pengalaman pembelajaran yang positif ini membentuk keyakinan diri, serta memperkukuh disiplin dan sikap positif terhadap subjek Bahasa Melayu.
Satu daripada cara untuk membantu pelaksanaan usaha ini ialah galakan sumbangan bahan bacaan, seperti buku cerita, bahan bercetak, novel, kamus dan majalah dalam bahasa Melayu kepada perpustakaan sekolah atau pusat komuniti. Sumbangan ini bukan sahaja memperkaya sumber rujukan pelajar, malah membantu guru untuk menyediakan bahan pengajaran yang lebih menarik dan relevan. Bahan bacaan yang pelbagai juga mampu meningkatkan tahap celik huruf dan memperluas kosa kata pelajar secara tidak langsung.
Selain itu, penyediaan sudut atau ruang bahasa di sekolah tidak seharusnya dilupakan. Ruang ini dapat dijadikan pusat aktiviti bahasa, seperti sesi membaca, sesi bercerita atau perbincangan bahasa. Hal ini secara tidak langsung mendorong penggunaan bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada aktiviti harian pelajar yang tidak terhad di dalam bilik darjah sahaja.
Bagi memastikan semua guru Bahasa Melayu mahir menggunakan teknologi, latihan menggunakan teknologi pendidikan diperlukan secara berkala. Latihan ini perlu memfokuskan cara untuk menggunakan bahan digital dan alat bantu visual secara berkesan. Contohnya, penyediaan latihan yang memfokuskan penggunaan aplikasi, seperti Google Classroom, Delimaflix, ChatGPT, Gamma App dan Canva. Latihan seperti ini wajar diadakan secara berkala untuk meningkatkan kecekapan warga pendidik dalam usaha menghasilkan bahan bantu mengajar yang interaktif dan berimpak tinggi.
Masyarakat, sektor swasta atau komuniti setempat juga dapat memainkan peranan sebagai penaja atau penganjur bersama. Penganjuran sesuatu program bahasa dapat membangkitkan suasana penggunaan bahasa yang sihat dan menyeluruh. Antara program bahasa yang dapat dianjurkan di sekolah atau universiti termasuklah bengkel penulisan, pertandingan deklamasi sajak atau lawatan ilmiah pelajar di luar sekolah.
Sumbangan lain yang tidak kurang pentingnya ialah pemerkasaan mekanisme pengiktirafan. Antara pengiktirafan yang dapat diperkasakan termasuklah Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan, Anugerah Khas Bitara Bahasa, Anugerah Guru Arif Budiman. Anugerah ini diberikan untuk menghargai sumbangan guru dalam pemartabatan bahasa Melayu. Moral guru juga meningkat apabila usaha mereka dihargai dan diiktiraf. Hal ini seterusnya dapat mengurangkan tekanan kerja dan meningkatkan kemahiran profesionalisme guru.
Pengiktirafan juga perlu diberikan kepada pelajar sebagai suatu bentuk sokongan. Pengiktirafan ini boleh berbentuk insentif, seperti wang tunai, hadiah, sijil penghargaan atau biasiswa kecil yang disumbangkan oleh pihak pentadbiran, komuniti dan pertubuhan tempatan. Apabila berasa seronok dan tidak terbeban dengan masalah kewangan, pelajar akan lebih bermotivasi untuk belajar. Hal ini akan meningkatkan minat pelajar terhadap subjek Bahasa Melayu dan meningkatkan kualiti pembelajaran.
Gabungan semua sokongan ini dalam pendidikan Bahasa Melayu bukan sekadar pelengkap pengajaran, tetapi juga nadi untuk menyemai semangat dan mengukuhkan moral warga pendidik dan pelajar. Warga pendidik dan pelajar perlu disokong dengan bantuan sokongan material dan bukan material supaya lebih bermotivasi untuk melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlangnya, seterusnya memperkasakan Bahasa Melayu.
Secara tidak langsung, sokongan material dan bukan material ini membantu pihak yang terlibat untuk membina sebuah ekosistem pendidikan yang berasaskan kerjasama, tanggungjawab bersama dan cinta akan bahasa kebangsaan. Sekiranya semua lapisan masyarakat memberikan kerjasama dan bantuan, proses PdP akan berjalan lancar kerana tiada lagi halangan dalam bentuk kekurangan sumber.