Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFasal 152, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Perlembagaan Malaysia 1963, menyebutkan bahawa, ‘Bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan akan kekal seperti itu seperti yang diperuntukkan oleh Parlimen, dengan bahawa (a) tidak ada seseorang pun yang akan dihalang dari menggunakan (kecuali hal-hal rasmi), atau mengajar atau mempelajari bahasa-bahasa lain dan (b) tidak ada sebarang peruntukan dalam fasal ini yang boleh mengganggu hak kerajaan Persekutuan atau sebarang kerajaan negeri untuk memelihara dan memperkembangkan penggunaan dan pengkajian bahasa komuniti lain.’ (Malaysia, 1972. Perlembagaan Persekutuan (Terjemahan), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Cetak Kerajaan, K. Lumpur, hlm. 171-172).
Secara harfiah majoriti rakyat Malaysia sedar bahawa Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu tetapi benarkah warganya sederap bersumpah setia dan berjanji dengan ikrar. Jika ditanya, tercapaikah sudah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan diletakkan di mercu paling tinggi berbanding bahasa lain? Tercapai atau belum tercapai adalah dua (2) konotasi jawapan yang perlu dijawab dengan melihat senario, suasana dan situasi kini.
‘Bahasa Jiwa Bangsa’ merupakan satu kata hikmah yang tepat bagi menggambarkan kedudukan bahasa dalam hubungannya dengan kekuatan sesebuah bangsa atau negara. Malah lebih luas dari itu, bahasa bagi seseorang adalah cerminan alam yang ada di sekelilingnya sebagaimana yang diungkapkan oleh Ludwig Wittgenstein, ‘the limits of my language are the limits of my world.’
Kehebatan sesuatu bahasa akan menjadi bahasa nan berwibawa dan martabatnya pasti di mercu apabila nilai dan ciri-ciri kewibawaan dan keindahannya diiktiraf oleh sejarah. Ini kerana bahasa yang berwibawa dan indah mampu menyampaikan sesuatu isi pemikiran yang besar dan tinggi dengan lebih menarik dan berkesan serta berkeupayaan untuk menampung pemikiran yang sarat dengan makna-makna yang halus dan rumit. Sesuatu bahasa juga akan menjadi lebih unggul apabila mampu tercitra sebagai satu peradaban besar yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Hakikat sejarah panjang yang alami oleh bahasa Melayu tidak boleh tidak kita menolaknya. Setelah kedatangan Islam ke Nusantara, bahasa Melayu telah digunakan dengan begitu meluas sebagai lingua franca lebih 200 juta penduduk rantau ini, malah begitu penting berperanan sebagai bahasa perantaraan dalam perniagaan, perundingan dan perjanjian. Kesahihan ini terbukti apabila bahasa Melayu menjadi bahasa para pedagang Arab, Cina dan India yang datang berdagang di Kepulauan Melayu sekitar abad ke-13.
Seorang pelayar dan pedagang Inggeris yang bernama Thomas Bowrey telah menulis kamus Bahasa Inggeris-Melayu pada tahun 1701, membuat kenyataan bahawa “ …in all the the islands of Sumatera, Java, Borneo, Maccassar, Balee, Cumbava, Sallayer, Bootoon, Booro, Ceram and Mollucas, the Malay language is received and generally used in all the Trading Ports of those islands.”
Seyogia bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa ilmu dan intelektual. Penggunaannya bukan sekadar terbatas sebagai bahasa ilmu oleh para mubaligh yang menjalankan dakwah dan guru-guru yang mengajar di sekolah, malah juga menjadi alat untuk menyampaikan pemikiran intelektual yang tinggi seperti falsafah teologi dan tasauf Islam oleh para ilmuan Islam tersohor yang berperanan membina akal dan jiwa ilmiah masyarakat di Nusantara.
Antara faktor kekuatan bahasa Melayu ialah kaitannya yang amat rapat dengan peradaban Islam yang merupakan sebuah tamadun ilmu yang telah sedia menguasai tiga perempat dunia ketika sampai ke Alam Melayu dan juga telah maju ke hadapan dalam perkembangan ilmu pengetahuan di pelbagai bidang melalui perantaraan bahasa Arab. Bahasa Melayu sendiri banyak dipengaruhi oleh perbandaharaan kata bahasa Arab yang secara tidak langsung telah meningkatkan keupayaannya sebagai bahasa ilmu yang bersifat antarabangsa sebagaimana bahasa Arab berperanan mengembangkan pelbagai ilmu dalam tamadun Islam.
Realiti Semasa
Namun begitu, setelah Malaysia mencapai kemerdekaan yang bakal mencecah angka 70 sekitar dua (2) tahun lagi, masih ramai warganegara Malaysia yang tidak fasih bercakap dalam bahasa Melayu. Masih banyak syarikat yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam urusan pentadbiran mereka. Masih banyak papan tanda yang terpampang tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan baik. Masih banyak ejaan bahasa Melayu yang tidak dieja dengan betul dan salah tatabahasanya, malah wujud jua di mana-mana saja terutama dalam majalah, buku dan sebagainya. Media massa pula terutamanya televisyen dan stesen-stesen radio masih banyak menghidangkan rancangan dengan tidak menggunakan bahasa Melayu yang betul. Secara sedar dan menjadi tular drama-drama yang tajuknya bercampur-aduk dengan bahasa Inggeris. Bahkan tanpa sedan silu pengacara program dan para penyampai rancangan bercakap menggunakan bahasa rojak.
Paling menyedihkan apabila ada kajian-kajian yang dibuat yang hasil dapatnya menatijahkan dengan jelas wujud kelompangan demi kelompangan terutamanya generasi z, alfa serta juga segelintir kaum tidak tahu berbahasa Melayu. Malah banyak pula jawatan pekerjaan yang memerlukan kefasihan dalam bahasa Cina dan Inggeris berbanding bahasa Melayu dalam sektor swasta. Keadaan semakin galau apabila ada golongan yang memperjuangkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik. Pandangan mereka diberi ruang dalam akhbar tempatan tertentu hingga ada suara yang berpendapat bahasa Inggeris adalah bahasa penyatuan untuk negara ini.
Bahasa Melayu merupakan jati diri bangsa yang perlu diperteguhkan terus menerus, manakala kemahiran berbahasa Inggeris atau mempelajari bahasa-bahasa tambahan lain akan menambahkan lagi daya saing bangsa Malaysia di persada global. Kita harus sedar bahawa dunia satu bahasa atau monolingual sudah tiada lagi. Maka memanglah bangsa kita akan kerugian jika rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa asing yang diperlukan itu dengan baik.
Persepsi dan perspektif yang betul dan jelas amat-amat diperlukan dalam hal ini. Apabila kita mengatakan bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa itu penting, kita perlu memperteguhkan pegangan bahawa bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu itu lebih penting lagi dan itulah yang perlu didukung oleh kita semua. Belajarlah bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa tetapi jangan lupa akan bahasa kebangsaan. Kita memerlukan gerakan psikologi kesedaran berbahasa, selain daripada perlunya meneguhkan dan menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara di wilayah nusantara ini.
Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan dalam hasrat meninggikan lagi tahap kesedaran terhadap bahasa dan persuratan bangsa terutama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Selama ini, pelbagai program seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita, Bulan Bahasa Kebangsaan, Bulan Bahasa dan Sastera Negara, Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan, Minggu Sastera Negara dan lain-lain lagi telah menjana sikap rakyat pelbagai kaum ke arah kenal dan cinta terhadap bahasa kebangsaan. Lagu ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ berkumandang di segala ceruk rantau negara setiap kali program dan kegiatan kebahasaan dilaksanakan. Natijah daripada setiap pelaksanaan program ini, adalah bertujuan bagi mengangkat kesedaran setiap lapisan rakyat menghayati dan menjulang keperkasaan sebuah bahasa negara.
Stratifikasi Sosial
Sikap pengagungan bahasa Inggeris atau anglophile turut merendahkan martabat penggunaan bahasa Melayu. Wujudnya arah aliran penggunaan bahasa yang seolah-olah berasaskan ‘stratifikasi sosial’ menganggap bahasa Melayu digunakan oleh hanya golongan berpendidikan rendah dan rakyat biasa, manakala golongan atasan, elit, profesional, komuniti korporat dan yang berpendidikan tinggi dari luar negara lebih mesra menggunakan bahasa Inggeris.
Demikian juga sesetengah warga Malaysia lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris atau ‘bahasa rojak’ termasuk ketika diwawancara media tempatan, majlis umum, persidangan dan sebagainya. Sedangkan rata-rata orang yang menghadiri wawancara atau majlis tersebut adalah orang Malaysia sendiri. Sepatutnya apabila berbicara bersama-sama masyarakat Malaysia dalam mana-mana majlis sebegini sewajibnya bahasa Melayu digunakan sebagai komunikasi.
Sesungguhnya, banyak lagi kepincangan dan ‘perogolan’ terhadap bahasa Melayu berlaku di negara kita. Bahasa Melayu seolah-olah tidak wujud dalam perlembagaan Malaysia.
Polemik Berterusan
Polemik kedudukan bahasa Melayu sering berlaku dan tidak putus-putus mengalami tamparan dan bual bicara pelbagai pihak. Harus diakuri, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang mengikuti piawaian ditetapkan Perlembagaan Negara. Bahasa Melayu lebih 80% kognitif dengan Bahasa Indonesia dan dituturkan secara asli lebih 10 juta penutur. Bahasa Melayu dituturkan sebagai bahasa kedua oleh 18 juta orang, sebahagian besar daripada etnik minoriti Malaysia dan angka ini semakin hari semakin bertambah jumlahnya.
Sesungguhnya, kepentingan bahasa Melayu sebagai wadah pendidikan dan kebudayaan kebangsaan bagi membentuk identiti keperibadian bangsa Malaysia bersemboyankan gagasan ‘satu bahasa, satu bangsa, satu nusa’, tidak sewajarnya disangsikan oleh sesiapa pun dan mana-mana pihak. Sebabnya ialah bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan itu bukanlah bahasa asing atau bahasa ibunda yang mampu mencuarkan semangat satu bangsa, menyerapkan roh sebangsa, senegara dan menyemarakkan jati diri kebangsaan di samping pendaulatan bahasa kebangsaan yang menjadi bukti ketaatsetiaan, penghormatan dan pemuliaan kepada nusa tercinta. Malah bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa ilmu dalam segenap bidang, bahasa pentadbiran, bahasa ekonomi, bahasa sosial dan bahasa peradaban moden.
Kita harus sedar bahawa wasilah terpenting untuk membentuk bangsa Malaysia ialah bahasa kebangsaan kerana ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Ini bermakna, bahasa apa yang kita daulatkan, maka bahasa itulah yang akan membentuk jiwa kita. Dalam konteks pembinaan bangsa Malaysia dan kemajuan negara menurut acuan kemalaysiaan sendiri, pendaulatan hanyalah kepada bahasa kebangsaan, bukannya bahasa-bahasa asing. Inilah prinsip umbi yang seharusnya kita junjung dan pegang teguh, jika benar kita serius untuk menghakikatkan gagasan pembentukan bangsa Malaysia, seperti kata pepatah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Bahasa Melayu telah diperkukuhkan melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang menetapkannya sebagai bahasa rasmi tunggal. Pindaan dalam Akta Perlembagaan 1971 pula menetapkan status bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak boleh dipersoalkan. Mereka yang berbuat demikian boleh didakwa di bawah Akta Hasutan 1984. Bahasa rasmi negara juga tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Akta Pendidikan menetapkan kedudukan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam semua sistem pendidikan negara baik di peringkat sekolah mahupun pengajian tinggi.
Semakin Mantap
Jadi, kenapa harus ada lagi kedegilan untuk meletakkan bahasa Melayu di puncak sewajarnya? Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah asas keterampilan sesuatu bangsa boleh digambarkan melalui bahasa yang dituturkan oleh masyarakatnya. Kekuatan sesuatu bangsa boleh dilihat melalui kesatuan masyarakat terhadap budaya yang diwarisi sejak turun-temurun terutamanya aspek bahasa. Maka tidak hairanlah kita lihat pada hari ini, banyak negara maju kekal menggunakan bahasa masing-masing yang diwarisi sejak turun-temurun. Rakyat negara Perancis, German, Itali, Jepun, Korea Selatan, Denmark dan lain-lain lagi membuktikan bahawa bahasa mereka berupaya menjadikan mereka masyarakat yang berdaya saing, maju dan dikagumi masyarakat di seantero dunia.
Yakinlah bahawa bahasa Melayu mampu menyatupadukan rakyat Malaysia seterusnya merealisasikan gagasan Malaysia MADANI. Bahasa Melayu mampu menjadi teras perpaduan bangsa Malaysia apabila diyakini dan digunakan secara bersama-sama dengan meluas. Bukannya bahasa Melayu rojak yang diselang-seli dan dicampuradukkan dengan bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa.
Bersikap Terbuka
Sedarlah bahawa Bahasa Melayu bukan sahaja berfungsi sebagai bahasa basahan, tetapi juga sebagai bahasa rasmi dan tidak rasmi. Bahasa Melayu bukan sahaja dijadikan bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan universiti tetapi penggunaannya menjangkau ke peringkat antarabangsa. Perdana Menteri kita harus lebih berani bertutur dalam bahasa Melayu sepenuhnya pada persidangan antarabangsa.
Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan utama mempunyai masa depan yang cerah jika kita semua sedar ruang dan faham nilai lalu bersikap terbuka kepada bahasa lain. Sesuatu bahasa yang terlalu rigid, terpencil dan statik tidak akan mampu mengadaptasikan dirinya dengan perubahan semasa.
Kendatipun begitu, untuk merealisasikan ini, terlebih dahulu kita perlu memperbetulkan beberapa kesilapan mengenai konsep bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda. Pertama, sejak Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, bahasa Melayu bukan lagi menjadi milik tunggal peribumi Melayu. Malah, bahasa Melayu menjadi milik bersama seluruh warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Oleh itu, bahasa Melayu dengan sendirinya menjadi hak milik orang Cina, India, Kadazan, Iban, Murut, Mahmeri, Dayak, Semai, Senoi, Rungus dan semua bangsa yang menghuni mandala yang bernama Malaysia. Bahasa berwibawa martabat di mercu.