Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Dirgahayu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Usia 70 tahun, bukan suatu jangka masa yang singkat, malah bertikas hanya setahun dengan kemerdekaan negara yang mengecap angka 69 pada 31 Ogos tahun ini.
“Restu jiwa pahlawan.” Sungguhlah benar ehwal yang dikata. Maka, 70 tahun menawarkan juzuk yang sangat istimewa tentang penghayatan maksud ungkapan “menoleh untuk melangkah.” Sebabnya sederhana. Untuk mengorak langkah, kita perlu menoleh kepada yang sudah, agar “restu” yang ditadah tekal lestari dalam sukma para pencinta bahasa, sastera dan budaya.
Hakikat menoleh bukan tanda pikun seperti yang disesalkan oleh Arena Wati dalam Warna Sukma Usia Muda. Menoleh bermaksud kita mahu mencari denai silam untuk melangkah ke hari muka dengan penuh yakin diri.
Hal ini bukan bererti denai yang sedia dirintis itu bersulam dengan semak samun. Bahkan sebaliknya. Denai yang tersedia sememangnya sudah ditata dengan baik.
Kita menoleh hanya kerana kita inginkan petunjuk buat merangka rencana untuk berhadapan dengan cabaran mendatang.
Selama tujuh dekad DBP telah membina, memperkasakan dan melestarikan bahasa, sastera dan budaya watan. Tiada yang dapat menafikan kejayaan DBP dalam upayanya itu. Namun demikian, persoalan tetap timbul di sebalik pencapaian yang dikecap.
Menurut hemat penulis, satu daripada persoalannya terkait dengan kefahaman kita sebagai pengguna bahasa Melayu tentang sari pati bahasa yang kita tuturkan zahir batin saban hari. Persoalan ini kelihatan “biasa-biasa” sahaja, tetapi sebenarnya sangat asasi.
Hakikat yang perlu disedari ialah sari pati bahasa Melayu bukan sekadar tentang ehwal peranannya sebagai wahana yang menyatukan masyarakat tutur di bawah sistem lambang yang serupa dan piawai. Benarlah keselarasan sistem lambang sangat penting. Perkara ini membolehkan bahasa Melayu disukat kejayaan, keperkasaan dan kelestariannya melalui jumlah penutur, kewibawaan perundangan, taraf serta penggunaannya dalam ranah rasmi dan tidak rasmi.
Semua yang dinyatakan itu penting. Akan tetapi, kesemuanya sekadar bersentuhan dengan lapisan permukaan. Dalam falsafah “reti bahasa” yang sedang penulis bangunkan, maujud bahasa tidak difahami hanya semata-mata sebagai himpunan bunyi, perkataan, ayat dan makna yang ditata dengan prinsip tatabahasa.
Bahasa sebaliknya ditanggapi sebagai wahana pengislahan akal, penanaman adab dan pembentukan lakuan bahasa yang menautkan hubungan timbal balik antara manusia yang menuturkannya dengan dunia kenyataan yang dihidupinya.
Sehubungan dengan itu, selepas 70 tahun, pertanyaan yang perlu diajukan ialah adakah kita hanya berjaya memperluas penggunaan bahasa Melayu ke dalam segenap ranah berpandukan prinsip tatabahasa yang piawai, ataupun kita juga telah berjaya menyuluh cara berfikir, menata adab serta memandu lakuan bahasa dengan hukum tatabahasa piawai yang tertib dengan makna yang betul?
Bahasa Islah Manusia
Sejak awal penubuhannya, DBP terlibat dalam usaha pembinaan bahasa melalui gerak kerja tiga serangkai, iaitu pengekodan, pemupukan dan penilaian. Kita boleh mengertikan ketiga-tiganya secara ringkas seperti yang berikut:
Pengertian ringkas ini menunjukkan bahawa gerak kerja tiga serangkai yang menjadi tujahan penubuhan DBP masih tertekap pada ehwal struktural dan penjelmaannya dalam ranah penggunaan. Tekapan ini sudah tentunya membataskan keterangkuman makna “bahasa” yang dihayati menurut kebudayaan jati masyarakat tutur.
Falsafah “reti bahasa” menawarkan suatu kerangka yang berpaksikan pada pernyataan bahawa pembinaan bahasa tidak pernah terpisah daripada pembinaan watak manusia yang menuturkannya. Maka itu, gerak kerja yang melibatkan ehwal tiga serangkai tersebut ternyata belum mencukupi kerana tidak bersentuhan secara terus dengan pembinaan watak manusia.
Secara lebih rinci, falsafah “reti bahasa” terbina daripada empat teras penting. Penulis menggelarkannya sebagai tatabahasa, tatafikir, tataadab dan tataberbahasa. Secara ringkas, tatabahasa ialah prinsip peraturan bahasa; tatafikir ialah pengaruh prinsip tatabahasa terhadap fikiran; tataadab ialah pengaruh prinsip tatabahasa terhadap akhlak; dan tataberbahasa ialah penjelmaan tatabahasa, tatafikir dan tataadab dalam lakuan bahasa santun.
Sememangnya teras tersebut menunjukkan dimensi falsafah “reti bahasa” yang sangat terangkum sifatnya. Hal ini dikatakan demikian kerana semuanya berpangkal pada suatu kefahaman yang benar tentang ehwal yang disebutkan oleh Za‘ba dalam Pelita Bahasa Melayu sebagai “tabiat sejati bahasa Melayu” yang terbit daripada unsur dalaman dan luaran linguistik secara bersamaan.
Perkara inilah juga yang dikatakan oleh Raja Ali Haji sebagai tujuan “pengetahuan bahasa” yang sepatutnya dikuasai dan diamalkan oleh para pengguna bahasa Melayu. Terkait dengan ehwal ini falsafah “reti bahasa” sebenarnya terbangun daripada premis yang menetapkan bahawa bahasa yang baik ialah (i) bahasa yang mematuhi “tertib hukum” tatabahasa untuk menerbitkan makna yang “betul”.
Dalam masa yang sama bahasa yang baik juga merupakan (ii) bahasa yang menautkan “ketertiban hukum” tatabahasa dengan penataan fikiran, pembaikan akhlak penutur dan pelahiran lakuan bahasa yang mematuhi aturan kesantunan.
Fakta yang tidak boleh dinafikan ialah bahasa yang baik merupakan bahasa yang lahir daripada fikiran yang teratur dan adab yang elok. Inilah semangat yang terkandung dalam ungkapan “…yang baik budi, yang indah bahasa.”
Maka, ehwal asasi yang perlu difikirkan ialah kaedah menata fikiran yang teratur sebagai gerak daya pengislahan pemikiran dan adab yang elok sebagai upaya penanaman adab menerusi “jalan basa” sebagaimana yang tersirat dalam ungkapan yang digunakan oleh Said Suleiman dalam salah satu karya penting beliau tentang nahu bahasa Melayu.
Penulis telah dan sedang membuktikan bahawa warisan linguistik bahasa Melayu sebagai tradisi ilmu yang tidak kontang dengan gagasan besar justeru asasi. Cuma, kita perlu mahir menilik dan menyingkapnya di sebalik khazanah kepengarangan tentang bahasa Melayu yang asasnya boleh dijejaki sejak abad ke-16 lagi.
Berkaitan dengan perkara tersebut, projek penyelidikan yang penulis sedang jalankan sebagai “Karyawan Tamu Dewan” umpamanya berhujung pada hasrat untuk merumuskan gagasan besar dan asasi yang berteraskan pewujudan warisan linguistik bahasa Melayu.
Penulis menggelarkannya sebagai falsafah “reti bahasa”. Mungkin “falsafah” merupakan satu ungkapan yang sangat berat. Maka itu, mungkin bukan “falsafah” seutuhnya, tetapi lebih kepada kerangka atau acuan.
“Reti bahasa” bertujuan untuk merintis denai yang penulis anggap berdaya menghala ke arah pembinaan atur cara penyelidikan dan pengoperasiannya bagi menghubungkan unsur struktural bahasa Melayu dengan pembinaan pemikiran dan watak masyarakat tutur yang sesuai dengan sistem nilai yang dianuti sejak zaman berzaman.
Oleh sebab itu, pemartabatan bahasa tidak boleh dibatasi kepada ungkapan indah yang diulang-ulang saban tahun, misalnya bersempena dengan sambutan bulan bahasa, namun tidak membekas kemas dalam sukma masyarakat tutur.
Pemartabatan bahasa Melayu juga tidak sepatutnya hanya menyentuh ehwal membetulkan kesalahan bahasa semata-mata, walaupun tetap diakui kepentingannya.
Pemartabatan bahasa Melayu sebaliknya mesti merangkumi pembudayaan “akal terpimpin” kalau kita menggunakan ungkapan Hamka yang dikaji dengan bagus oleh Profesor Syed Muhd. Khairuddin Aljunied dan penanaman adab (bandingkan dengan konsep “kehilangan adab” yang diutarakan oleh Almarhum Syed Muhammad Naquib al-Attas) bagi melahirkan masyarakat yang berbudaya, berilmu dan bertamadun.