19 Disember 2024, 16:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam lipatan sejarah, dunia bahasa Melayu telah mengharungi pelbagai situasi rencam yang sedikit banyak telah mencalarkan di samping melonjakkan imej bahasa Melayu selaku bahasa ilmu. Suatu ketika dahulu, bahasa Melayu telah diangkat darjatnya sebagai lingua franca, iaitu bahasa yang dituturkan oleh pedagang semasa kemuncak kegemilangan kerajaan Melayu termasuklah kerajaan Kesultanan Melayu Melaka, Kesultanan Melayu Johor-Riau-Lingga dan Kesultanan Melayu Acheh.

Dalam tempoh tersebut juga naskhah sastera serta ilmu pelbagai bidang dalam bahasa Melayu yang menggunakan askara Jawi turut muncul. Hal ini menjadi bukti bahawa bahasa Melayu telah menjadi bahasa ilmu sejak lama dahulu. Walaupun begitu, perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bukanlah melalui jalan yang mudah. Hal ini kerana berlaku pertindihan bahasa asing yang lain sehingga menjadi suatu kesukaran kepada masyarakat pada ketika itu.

Kewujudan Kamus

Pertindihan bahasa berlaku tatkala proses penterjemahan naskhah ilmu dunia luar kepada naskhah baharu dalam bahasa Melayu. Oleh hal yang demikian, lahirlah idea penghasilan kamus bahasa asing demi memudahkan para penterjemah untuk melakukan penterjemahan tersebut. Selain itu, kewujudan kamus turut menjadi suatu inisiatif bagi pedagang luar khususnya pedagang yang digelar sebagai ”Benggali Putih” atau dari timur untuk menghasilkan suatu kamus bahasa Melayu demi kemudahan mereka dalam proses komunikasi dengan masyarakat alam Melayu.

Satu daripada kamus Melayu yang dicatatkan sebagai kamus berbahasa Melayu terawal ialah Kamus Melayu-China yang telah disusun pada tahun 1403 Masihi. Kamus itu hanya mengandungi sekitar 500 entri yang berkaitan dengan perdagangan. Kamus Melayu susunan orang Eropah yang pertama kemudiannya disusun pada tahun 1522 oleh Antonio Pigafetta yang mengikuti pelayaran Ferdinand Magellan mengeliling dunia. Dipercayai bahawa Figagetta mengumpul perkataan Melayu untuk berniaga rempah-ratus di Maluku, Sulawesi. Kamusnya mengandungi 426 entri yang ditulis dalam bahasa Melayu-Itali.

Setelah itu, dunia perkamusan bahasa Melayu seakan sepi sementara tatkala masyarakat Melayu tidak memberikan penekanan yang lebih terhadap penghasilan kamus. Hal ini berkemungkinan atas faktor berlakunya konfrontasi perdagangan antara kerajaan Melayu termasuklah kuasa luar yang berlarutan sekian lamanya sehingga membantutkan perkembangan ilmu pengetahuan dalam bidang perkamusan.

Pada penghujung kurun yang ke-19, lahirlah seorang ahli bahasa yang sangat besar usahanya terhadap perkembangan bahasa Melayu, iaitu Allahyarham Syed Mahmud Abdul Kadir Al-Hindi. Usaha beliau banyak dicurahkan untuk mengarang buku pelajaran bagi sekolah Melayu. Usaha beliau yang menghidupkan legasinya zaman-berzaman adalah dengan penyusunan sebuah kamus yang diberi nama Kamus Mahmudiyyah. Kamus ini dicetak pada tahun 1894 dan diulang cetak pada tahun 1925. Kamus ini dikatakan sebagai kamus ekabahasa bahasa Melayu yang julung-julung kali dihasilkan oleh orang Melayu. Za’ba dalam artikelnya yng bertajuk “Modern Developments” (1939) menyatakan bahawa, “… Kamus Mahmudiyyah, a Malay vocabulary published in 1894 … was the first completed effort in the line, it will remain unique in the history of Malay lexicography.” Seterusnya, penghasilan beberapa kamus bahasa Melayu tercetus kembali semasa zaman sebelum kemerdekaan sehinggalah penghasilan Kamus Dewan Perdana cetakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kini.

Kepentingan Leksikologi

Usaha penghasilan kamus bahasa Melayu tidak akan berhasil sekiranya ilmu leksikologi tidak dikuasai oleh pekamus, iaitu individu yang bertanggungjawab menyusun kamus. Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan bidang leksikologi itu sendiri? Untuk mengetahui bidang tersebut dengan lebih  lanjut, kita terlebih dahulu perlu memahami definisinya. Menurut Kamus Dewan Perdana,  leksikologi bermaksud cabang ilmu linguistik yang mengkaji dan menganalisis kosa kata dan makna dalam sesuatu bahasa; dan kajian tentang makna dan penggunaan perkataan. Bidang ini turut mengkaji asal usul, struktur, makna dan hubungan antara kata dalam bahasa.

Fokus utama leksikologi ialah leksikon, iaitu himpunan kata atau kosa kata dalam sesuatu bahasa. Kajian leksikologi melibatkan beberapa aspek penting termasuklah morfologi (pembentukan kata), semantik (makna kata), etimologi (asal usul kata) dan sintaksis (hubungan kata dalam ayat). Berdasarkan pengalaman penulis dalam mempelajari bidang bahasa Melayu atau lingusitik Melayu, leksikologi sering dikaitkan dengan bidang semantik serta pragmatik bahasa Melayu itu sendiri.

 Hubungan atau perkaitan antara leksikologi dengan perkamusan khususnya perkamusan Melayu dapat diibarat bagai isi dengan kuku. Hal ini kerana dalam penyusunan kamus Melayu, leksikologi berperanan dalam menentukan kata yang sesuai untuk dimasukkan ke sebagai entri kamus. Kata-kata tersebut dipilih berdasarkan kajian tentang penggunaannya dalam masyarakat, kekerapan penggunaannya dan keperluan semasa. Tambahan lagi, leksikologi juga membantu memberikan penerangan tentang asal usul kata, iaitu etimologi terutamanya bagi kata pinjaman daripada bahasa Arab, Sanskrit, Tamil, Inggeris dan bahasa-bahasa lain. Perkamusan menggunakan kajian ini untuk memberikan maklumat tentang cara sesuatu kata itu diserap ke dalam bahasa Melayu dan kaedah maknanya yang mungkin berubah. Kewujudan korpus bahasa Melayu adalah hasil sumbangan ilmu leksikologi dan dapatan korpus tersebut dimanfaatkan untuk penambahbaikan bagi kamus yang sedia ada kepada edisi yang terbaharu.

Kesimpulannya, ilmu perkamusan Melayu ini telah melalui sejarah yang sangat panjang dan giat diteruskan sehingga kini. Bidang leksikologi pula menjadi satu daripada cabang ilmu yang kian kehilangan ahlinya dek perubahan zaman serta disiplin ilmu yang sedikit ketat berbanding dengan cabang lingusitik lain. Kebimbangan kita pada hari ini adalah sekiranya bidang ini terus dihuni kemalapan, tidak mustahil ilmu perkamusan khususnya dalam bahasa Melayu akan mengalami zaman kegelapan yang mampu merobohkan tiang bahasa Melayu selaku bahasa ilmu. Justeru, pihak yang terlibat dalam bidang ini dan usaha mereka untuk mempertahankan bidang ilmu ini usahlah dipandang remeh kerana tanpa mereka bahasa Melayu akan menjadi kaku serta tidak dapat berkembang menongkah arus peredaran zaman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.