Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPuisi Melayu klasik bukan sekadar wahana untuk hiburan semata-mata tetapi merupakan pewacanaan pelbagai citra bagi panduan dalam kehidupan masyarakat. Dalam hal ini, pantun telah dikenali sebagai warisan puisi Melayu yang membawa refleksi kosmologi alam dan ruang lingkup budaya yang akrab dengan kehidupan masyarakatnya serta menggambarkan kehalusan budi dan minda masyarakat Melayu tradisi.
Seperti cuplikan François-René Daillie dalam bukunya Alam Pantun Melayu: A Studies on the Malay Pantun (1988), pantun telah lama diakui oleh peneliti luar sebagai cerminan terbaik dunia Melayu secara keseluruhannya dan juga jiwa Melayu. R.J. Wilkinson dan R.O. Winstedt (1957) mengumpamakan pantun sebagai khazanah untuk menyelami kebijaksanaan akal minda, himpunan idea dan pengalaman dunia kehidupan orang Melayu.
Peribahasa pula menurut Muhammad Haji Salleh (2020) mencerminkan falsafah tradisional bangsa yang menjadi simbol kebijaksanaan sepunya manusia Melayu. Kebijaksanaan sepunya ini merupakan khazanah yang membayangkan apa-apa yang difikirkan dan dirasakan mereka yang kemudiannya menjadi teras akal budi dan jati diri bangsa. Peribahasa Melayu dengan itu membawa gagasan akal fikir yang menyerlahkan gambaran nilai dan fungsi sosial, moral dan adat dalam kehidupan bermasyarakat menerusi interaksi dan pengalaman dengan alam, manusia, flora, fauna dan benda.
Malahan menurut Zaitul Azma Zainon Hamzah dan Ahmad Fuad Mat Hassan (2011), peribahasa Melayu dari sudut pemikiran falsafahnya mempunyai kaitan dengan metafizik (kewujudan), epistemologi (ilmu pengetahuan), etika (moral), logik (penaakulan) dan estetika (keindahan) tentang kosmologi dan alam sekeliling manusia Melayu itu sendiri.
Menurut Aripin Said (1994), pelbagai jenis pantun yang kaya dengan keindahan bahasa dicipta bagi menggambarkan daya fikir dan keintelektualan masyarakat Melayu. Antaranya termasuklah pantun kanak-kanak, pantun budi, pantun dagang, pantun orang muda, pantun nasihat, pantun teka-teki, pantun jenaka, pantun sejarah, pantun agama dan pantun peribahasa.
Pantun peribahasa merupakan wahana menarik yang mewacanakan pelbagai aspek yang berkaitan dengan nilai dan norma hidup serta disampaikan sebagai wadah dalam bentuk tersurat dan tersirat. Merupakan gabungan unik, pantun peribahasa seperti dinyatakan Johari Yahaya (2015), dapat mempamerkan ketajaman dan ketekalan minda yang kritis lagi puitis bagi mentafsir nilai sosiobudaya Melayu sebagai panduan dan pedoman hidup merentasi masa dan zaman.
Pantun peribahasa sebagai warisan budaya yang kaya dan unik, dapat menggambarkan rasa kecintaan dan semangat perjuangan bangsa untuk membela tanah airnya. Tamsilan yang terungkap dalam pantun peribahasa dapat membangkitkan jiwa patriotik masyarakat.
Jiwa patriotik bermaksud perasaan cinta yang mendalam terhadap watan, bangga terhadap negaranya, rela berjuang demi mempertahankan maruah dan menegakkan kebenaran, serta sanggup berkorban demi kepentingan dan kemakmuran negara. Jiwa patriotik juga mendorong seseorang untuk menjadi warga negara yang baik dan menyumbang bakti terhadap tanah air.
Dalam konteks tersebut, makalah ini berhasrat untuk mengangkat pantun peribahasa yang bercitrakan patriotisme menerusi pilihan himpunan pantun peribahasa yang diterbitkan dalam buku Pantun Peribahasa oleh Khadijah Hashim (2015) dan buku Setaman Pantun Bertatah Peribahasa oleh Hilmi Rindu (2017).
Nilai taat setia dulu, kini dan selamanya menjadi tiang seri yang menyokong falsafah hidup manusia Melayu. Lantaran itu, nilai taat setia ini telah dipasakkan sebagai satu daripada penyangga kehidupan bernegara dalam ideologi Rukun Negara menerusi prinsip “Kesetiaan kepada Raja dan Negara”. Negara bangsa bertamadun tinggi lagi madani tidak mungkin dapat tertubuh jika taat setia warganya mulai goyah dan semakin meluntur. Mesej yang membawa nilai taat setia ini terkesan menerusi stanza pantun yang berikut:
Rumput di batas sudah ditajak,
Pokok sirih melilit anjung;
Di mana bumi dipijak,
Di situ langit dijunjung.
(Pantun 1, Khadijah Hashim hlm. 81)
Bukan tak rasa nasi berantah,
Aib orang dijaga juga;
Bergerak sahaya di bawah perintah,
Bagai langit menyungkup kepala.
(Pantun 2, Hilmi Rindu hlm. 86)
Dalam rangkapan pantun pertama tersebut jelas menyampaikan mesej yang kuat agar setiap warga perlu mencurah ketaatan terhadap negara dengan mematuhi peraturan, undang-undang dan nilai serta norma budaya masyarakatnya. Demi menjaga keharmonian masyarakat, sudah pasti setiap ahli dalam sesebuah masyarakat mengharapkan kehidupan yang aman damai serta tenang dan selamat. Namun, keadaan itu tidak akan dapat dinikmati tanpa kepatuhan terhadap peraturan dan undang-undang yang digubal oleh pihak pemerintah negara.
Bait rangkap pantun kedua pula mengandungi manifestasi ketaatan untuk melaksanakan sesuatu arahan daripada pemerintah negara. Bagi memastikan agenda negara tercapai, setiap individu harus memikul peranan untuk mentaati peraturan dan melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.
Sifat gagah berani mencerminkan testimoni semangat keperwiraan. Semangat keberanian perlu ada dalam setiap perjuangan. Keberanian menempuh cabaran merupakan prinsip hidup yang perlu dipertahankan. Gagah berani dalam konteks patriotik merujuk keperkasaan dan keberanian untuk berjuang demi menegakkan maruah negara dan bangsa. Pahlawan yang gagah berani sanggup berjuang untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman luar dan dalam.
Besar gajah sepadan unta,
Diusik manja dipukul marah;
Gagah perwira bersemangat waja,
Dibakar tak hangus direndam tak basah.
(Pantun 3, Khadijah Hashim hlm. 22)
Apalah malang nasib gelenggang,
Bau batangnya orang tak ingin;
Tangkas laksamana di tengah gelanggang,
Bagai helang menyongsong angin.
(Pantun 4, Hilmi Rindu hlm. 6)
Lantana kembang berjambak,
Sayang sekali harum tiada;
Kalau musuh menguji jebak,
Jangan diundur setapak jua.
(Pantun 5, Hilmi Rindu hlm. 47)
Pantun ketiga dan keempat mengungkapkan ciri keperkasaan luar biasa perwira apabila menentang musuh. Pantun tersebut menggambarkan keampuhan dan kekentalan fizikal serta mental seseorang untuk berjuang habis-habisan tanpa takut atau gentar.
Pantun kelima berkaitan dengan perjuangan menghadapi musuh atau petualang dengan membawa mesej biar apa-apa pun helah atau tentangan musuh, perwira negara perlu teguh menentang dan pantang bersurut pulang.
Kesediaan dan kerelaan berkorban ialah kesanggupan seseorang untuk mengutamakan kepentingan nusa dan bangsa tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri. Hal ini merupakan kesanggupan untuk memberikan segala yang dimiliki seperti masa, harta, minda, fizikal malah nyawa sekalipun demi perjuangan mendaulatkan bangsa dan negara. Semangat ini sangat penting dalam memupuk solidariti dan mengukuhkan gerakan bagi mencapai sesuatu objektif atau matlamat.
Berkain samping segak berpending,
Raja ditabal naik takhta;
Bersukat darah bertimbang daging,
Biar berputih tulang jangan berputih mata.
(Pantun 6, Khadijah Hashim hlm. 51)
Pergi ke laut tanpa juragan,
Dipukul ombak lambung-lambungan;
Biar kalah dalam perjuangan,
Jangan menang kerana pembohongan.
(Pantun 7, Hilmi Rindu hlm. 49)
Halus jarang kain kasa,
Dibuat kelambu tidur selesa;
Bahasa itu jiwa bangsa,
Hilang bahasa lenyaplah bangsa.
(Pantun 8, Hilmi Rindu hlm. 114)
Pantun keenam menekankan pentingnya mempertahankan maruah dan prinsip diri meskipun dengan berkorban nyawa, manakala pantun ketujuh membawa maksud biar kalah secara bermaruah dalam perjuangan daripada mencapai kemenangan tetapi dengan menggadaikan prinsip dan harga diri.
Pantun kelapan pula merupakan refleksi usaha mendaulatkan bahasa kerana bahasa menunjukkan bangsa. Sememangnya identiti dan jati diri seseorang itu terletak pada bahasanya.
Konsep kasihkan watan merujuk rasa kecintaan yang mendalam dan kesetiaan terhadap tanah air. Dalam Islam, kasihkan watan itu telah diangkat sebagi tuntutan agama sehingga menjadi sebahagian daripada iman. Hal ini bukan sekadar semangat atau sentimen, tetapi meliputi tuntutan tanggungjawab demi mempertahankan kedaulatan negara, mematuhi segala undang-undang dan memacu negara menuju ke mercu ketamadunan. Konsep mencintai tanah air ini sering kali menjadi semboyan bagi menyeru anak bangsa agar kembali berbakti demi kemajuan ibu pertiwi.
Pisang emas dijual orang,
Jual bersikat di pekan sari;
Hujan emas di negeri orang,
Tak akan sama di negeri sendiri.
(Pantun 9, Hilmi Rindu hlm. 7)
Bawang bakung dibuat ubat,
Memecah bisul sebelum bernanah;
Tika hidup dikandung adat,
Bila mati dikandung tanah.
(Pantun 10, Hilmi Rindu hlm. 113)
Pantun kesembilan bermaksud walau sehebat dan semewah apa-apa pun kehidupan yang dinikmati di negara lain, tidak akan setanding dengan kebahagiaan tinggal di negara sendiri. Pantun peribahasa ini menekankan rasa cinta dan bangga terhadap negara sendiri meskipun terdapat kekurangan jika dibandingkan dengan negara lain.
Pantun kesepuluh pula mencerminkan falsafah kehidupan orang Melayu selama masih hidup haruslah menghormati peraturan, hukum-hakam dan adat resam di mana bumi dipijak, manakala setelah meninggal dunia, terserahlah hukum dan ketentuan Tuhan pula.
Dalam tradisi budaya Melayu, terdapat peribahasa berbunyi “hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berjasa”. Peribahasa ini memberikan dorongan agar setiap orang mencurahkan jasa bakti semasa hidup untuk kepentingan masyarakat. Setiap orang dituntut agar berbuat baik, memberikan manfaat dan berbakti kepada orang lain, masyarakat dan negara.
Berbuat jahat jangan diulang,
Berbudi berjasa perlu diumpama;
Harimau mati meninggalkan belang,
Manusia mati meninggalkan nama.
(Pantun 11, Hilmi Rindu hlm. 11)
Lama berjemur di tengah hari,
Badan letih mata berpinar;
Selagi hayat menabur bakti,
Umpama matahari memberikan sinar.
(Pantun 12, Khadijah Hashim hlm. 32)
Pantun kesebelas dan kedua belas memberikan gambaran tentang kepentingan untuk berbuat bakti semasa hidup. Orang yang budiman akan dikenang kerana kebaikan dan sumbangannya kepada orang lain. Kedua-dua pantun peribahasa ini menekankan kepentingan dan kesan positif dalam hidup lantaran perbuatan baik yang dilakukan sehingga meninggalkan nama yang harum menjadi sebutan.
Bahasa mencerminkan bangsa dan tradisi sastera lisan menjadi pantulan kehidupan masyarakat. Justeru pantun dan peribahasa yang berjalan seiring dalam tradisi masyarakat Melayu sejak dahulu membawa pemerhatian tajam tentang alam dan kehidupan, termasuklah untuk mengobarkan citra patriotisme dalam kalangan anggota masyarakatnya.
Pantun peribahasa yang bertemakan perjuangan ini merupakan wadah pemikiran orang Melayu yang menjadi wahana penyampai erti nilai patriotik yang tajam lagi bijaksana agar individu lebih berani, memiliki jati diri, sanggup berkorban dan memberikan sumbangan bermakna demi kepentingan negara.