Diterbitkan pada 25 Ogos 2025, 12:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Loghat Kelantan atau lebih tepatnya dialek Melayu Kelantan merupakan satu daripada cabang dialek Melayu yang mempunyai ciri fonologi yang tersendiri. Antara ciri yang paling ketara dan unik bagi dialek ini termasuklah penggunaan “sabdu”, iaitu penggandaan konsonan dalam sebutan. Fenomena sabdu ini tidak hanya memberikan identiti bunyi khas terhadap loghat Kelantan, malah berfungsi sebagai pembeza makna perkataan.

Dalam kajian linguistik, Hassan Ahmad (1994) meyatakan bahawa sabdu disebut sebagai gemination, iaitu penggandaan konsonan dalam satu suku kata yang sama atau antara dua suku kata bersebelahan. Penggunaan sabdu dalam loghat Kelantan bukanlah perkara asing bagi penuturnya. Namun, bagi penutur bahasa Melayu standard atau dialek lain, sabdu ini boleh menjadi cabaran untuk difahami, malah ada yang menganggapnya sebagai “loghat pekat” yang memerlukan latihan untuk dikuasai. Melalui tulisan ini penulis akan membincangkan konsep sabdu dari sudut linguistik, bentuk dan fungsi sabdu dalam loghat Kelantan, contoh sebenar serta kepentingannya sebagai sebahagian daripada identiti budaya dan bahasa masyarakat Kelantan.

Pada dasarnya, loghat Kelantan tergolong dalam kumpulan dialek Melayu Pantai Timur bersama dialek Terengganu dan dialek Pattani (Asmah Haji Omar, 2008). Loghat ini dituturkan secara meluas di negeri Kelantan termasuklah sebahagian besar daerah Besut di Terengganu serta komuniti Melayu di Selatan Thailand seperti Narathiwat dan Pattani. Loghat ini mempenyai beberapa ciri umum yang unik termasuklah:

  • Memjimatkan penggunaan perkataan. Sebagai contoh, soalan “Hendak ke mana?” akan dijawab  “Kkedai” bagi jawapan yang sepatutnya “Hendak ke kedai.”
  • Membezakan makna dan memberikan penekanan pada kata.

Pengaruh sejarah daripada bahasa Sanskrit, Arab, dan Thai juga meninggalkan kesan terhadap bentuk fonologi dialek ini, namun sabdu tetap menjadi satu ciri paling kukuh dalam pertuturan masyarakatnya. Dalam fonetik, sabdu atau gemination merujuk  penggandaan bunyi konsonan.

Misalnya, konsonan /g/ dalam kata “garu” diucapkan sebagai ggaru bagi perbuatan menggaru, mmasok bagi memasak, nnanok bagi menanak,  nnane bagi menanam dan mmusin bagi berpusing.

Menurut Zainal Abidin Ahmad (2007), dalam bahasa Melayu standard, tidak ada sebutan bersabdu. Dalam loghat Kelantan, sabdu adalah unsur asli dan produktif, digunakan secara meluas dalam kata warisan tempatan. Dalam loghat Kelantan, sabdu boleh berlaku pada pelbagai konsonan termasuklah/b/, /c/, /d/, /g/, /k/, /l/, /m/, /n/, /p/, /r/, /s/, dan /t/.

Sabdu ini boleh muncul di tengah kata atau pada sempadan morfem Ciri utama sabdu di ialah durasi konsonan lebih panjang berbanding dengan konsonan tunggal dan ini didengar jelas oleh penutur asli. Contoh sabdu di tengah kata adalah seperti yang berikut:

  • Bbeykok merujuk berseloroh
  • Bbekwoh bagi kenduri
  • BBeysan bagi berbesan
  • Ccoken bagi menegak
  • Ddoso bagi berdosa
  • Ddoli bagi peduli
  • Ggocoh bagi bertumbuk
  • Ggolek bagi bergolek
  • Jjalan bagi berjalan
  • Jjakit bagi berjangkit
  • Jjupo bagi berjumpa/bertemu
  • Kkuat bagi kuatkan
  • Kkoley bagi terkulai
  • Kkeyso’ bagi teralih
  • Mmecok bagi merengus/merajuk
  • Mmongoh bagi meradang dan marah-marah
  • Nnanok bagi menanak
  • Nneyrat bagi meniarap
  • Rrama bagi ramaikan
  • Ssaloh bagi tersalah
  • Ssembey bagi tersembam
  • Sseypak bagi tersepak
  • Ttobat bagi bertaubat

Satu daripada kepentingan sabdu dalam loghat Kelantan ialah kemampuannya membezakan makna perkataan yang hampir sama bunyi. Fenomena ini disebut kontras fonemik, iaitu perbezaan bunyi yang mengubah makna.

Menurut Pillai S. (2014), dalam bahasa Melayu standard, sabdu bukanlah unsur produktif dan jarang mengubah makna kata. Sebaliknya, dalam loghat Kelantan, sabdu adalah unsur fonemik penting. Perubahan sabdu melibatkan konsonan tunggal boleh mengubah makna atau sabdu dalam loghat Kelantan mempunyai status yang lebih tinggi dari segi sistem fonologi berbanding dengan bahasa Melayu standard.

Sabdu dalam loghat Kelantan adalah ciri fonologi unik yang membentuk identiti linguistik masyarakatnya. Ciri ini bukan sahaja berperanan dalam membezakan makna kata, malah menjadi penanda dialek yang membezakan dialek Kelantan dengan dialek Melayu yang lain. Ciri ini juga memberikan warna, irama, dan keaslian pada percakapan. Tanpa sabdu, loghat Kelantan akan kehilangan satu daripada ciri yang membuatkannya unik dalam kalangan ratusan dialek Melayu. Kajian lanjut dan dokumentasi diperlukan bagi memastikan ciri ini tidak pupus akibat tekanan globalisasi bahasa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi