Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSebagai rakyat Malaysia yang dididik dengan kesantunan berbahasa, kita telah didedahkan dengan sejarah bahasa Melayu yang mampu membentuk corak hidup masyarakat melalui nilai yang menjadi asas bagi perkembangan tamadun. Dalam konteks masyarakat Malaysia, nilai budi bahasa merupakan nilai peradaban yang tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan masyarakat. Sebagai contoh, masyarakat pada zaman dahulu mengawal pembentukan akhlak dan sahsiah melalui kiasan sebagai kaedah didikan sekaligus menyedarkan masyarakat dengan pengajaran yang terkandung dalam kiasan tersebut.
Menurut Darus Ahmad dalam penulisannya yang bertajuk “Alam Puisi Melayu”, dapat dilihat bahawa masyarakat Melayu memberikan kritikan tanpa menyinggung perasaan orang lain. Dalam perkembangan kesantunan berbahasa, pelbagai perubahan yang timbul dapat dilihat dek kerana pengaruh globalisasi sehingga menimbulkan isu tentang penggunaan laras bahasa sarkastik dalam kalangan masyarakat.
Bahasa sindiran adalah ragam bahasa yang digunakan mengikut konteks situasi yang sesuai. Bahasa sindiran merujuk bentuk kata yang mengandungi makna tersirat dan sering digunakan oleh masyarakat Melayu pada zaman dahulu untuk menegur. Menurut Za’ba dalam bukunya yang berjudul Ilmu Mengarang Melayu, sindiran disampaikan secara berkias dan mempunyai maksud yang berlawanan. Sebagai contoh, seseorang mungkin tidak menyebut nama orang yang dimaksudkan ketika berkata sesuatu.
Bahasa sindiran terbahagi kepada tiga kategori, iaitu ironi, sinisme, dan sarkasme. Keraf dalam bukunya yang berjudul Diksi dan Gaya Bahasa menyatakan bahawa sarkasme adalah ujaran yang mengandungi cemuhan dan celaan yang kasar.
Dalam era kebangkitan intelektual kini, tanpa disedari masyarakat telah dihidangkan dengan senario penghakisan kesantunan berbahasa. Penggunaan sindiran kasar semakin meluas dan telah membuka lembaran baharu dalam peradaban kita. Jika dahulu bahasa sindiran disampaikan dengan sopan, tetapi kini sindiran disampaikan dengan lebih tepat dan kasar. Pendapat Ratna dalam bukunya Stilistika: Kajian Puitika Bahasa, Sastera, dan Budaya menyatakan bahawa sinisme adalah sindiran yang lebih kasar berbanding dengan ironi. Penggunaan sindiran yang bersifat sarkasme bertujuan untuk memarahi seseorang dengan kata-kata yang kasar. Kini, sindiran sarkasme lebih banyak digunakan untuk mengekspresikan ketidakpuasan hati terutamanya dalam kalangan masyarakat yang lantang bersuara akibat dipengaruhi emosi. Sebagai contoh, lontaran sarkastik sering dilakukan dalam laman maya termasuklah melalui video atau komen yang menyindir. Dalam interaksi nyata pula, lontaran sarkastik kerap terjadi dalam kalangan keluarga, di tempat kerja dan antara rakan sebaya.
Isu penggunaan bahasa sarkastik atau sindiran kasar kini telah melangkaui dimensi tradisi dan menghakis kesantunan berbahasa yang sepatutnya mencerminkan imej masyarakat yang sopan dan berbudi bahasa. Penggunaan bahasa sindiran atau sarkastik kini juga sukar diterima kerana sifatnya yang lancang dan kasar.
Keraf dalam bukunya Diksi dan Gaya Bahasa turut menyatakan bahawa sarkastik lebih kasar berbanding sindiran jenis ironi dan sinisme kerana sarkastik mengandungi cemuhan dan celaan yang kesat. Meskipun pada asalnya bahasa sindiran digunakan untuk menegur sesuatu kesalahan, kini bahasa sindiran lebih cenderung untuk menghina. Secara realitinya, sindiran bukan sahaja digunakan untuk menegur, tetapi juga untuk menghina fizikal dan menyakitkan hati seseorang. Oleh hal yang demikian, kata-kata eksplisit lebih banyak digunakan untuk membangkitkan kemarahan individu yang disindir. Jelas kelihatan bahawa niat utama penggunaan bahasa sarkastik adalah untuk menghina dan memaki seseorang demi kepuasan emosi.
Dalam konteks yang lebih mendalam, lontaran sarkastik yang digunakan pada masa ini amat memberikan kesan kepada individu yang disindir. Hal ini dikatakan demikian kerana lontaran sarkastik boleh melemahkan mental dan membangkitkan emosi negatif pendengar yang menerima kata-kata tersebut. Seperti yang dipetik daripada artikel “Tingkah Laku Buli dalam Kalangan Pelajar Kolej Komuniti Bandar Darulaman” oleh Rosmawati D., tingkah laku buli secara verbal berlaku apabila individu mengeluarkan kata-kata kesat dan menyakitkan hati yang akhirnya mengakibatkan gangguan emosi kepada mangsa. Walaupun tidak melibatkan kekerasan fizikal, tingkah laku buli verbal ini tetap memberikan kesan negatif terhadap emosi seseorang. Impaknya, masalah kesihatan mental timbul akibat penderaan lisan. Siti Norsyahida dan Nor Azuwan dalam jurnalnya yang bertajuk “Jenis Bahasa Sindiran dalam Ujaran Vlog” pula menyatakan bahawa lontaran sarkastik boleh memberikan kesan yang mendalam apabila penutur menyentuh peribadi individu yang disindir. Secara umumnya, kita menyedari bahawa setiap individu mempunyai tahap ketahanan mental yang berbeza terhadap kata-kata kasar, dan tidak semua orang mampu menahan dan bertahan dengan perbuatan tersebut.
Sebagai masyarakat yang peka akan isu bahasa, langkah proaktif perlu diambil bagi memulihkan pencemaran bahasa yang berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini.
Penggunaan lontaran sarkastik sememangnya sukar untuk dihapuskan namun penggunaannya berdaya untuk dikurangkan serta dibendung melalui pendekatan ibu bapa. Peranan ibu bapa amatlah penting kerana mereka bertanggungjawab dalam membentuk sahsiah dan kesantunan berbahasa anak-anak. Abdul Munir Ismail et.al. dalam makalahnya yang bertajuk “Analisis Bentuk Didikan Ibu Bapa Bagi Membentuk Sahsiah Cemerlang: Kajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka” menyatakan bahawa pembentukan akhlak anak-anak berlaku apabila mereka mengikuti tingkah laku ibu bapa dan keluarga, serta dipengaruhi oleh suasana yang ada di rumah. Sebagai contoh, ibu bapa yang berkomunikasi dan memberikan teguran dengan cara yang sopan akan mempengaruhi anak-anak mereka untuk turut berbahasa sopan walaupun ketika melontarkan sindiran kepada orang lain. Jelaslah, peranan ibu bapa dalam mengurangkan penggunaan lontaran sarkasme adalah kunci bagi perubahan yang positif dalam kalangan anak-anak.
Kesimpulannya, tidak dapat disangkal lagi bahawa lontaran sarkastik yang digunakan oleh masyarakat pada hari ini lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding dengan kebaikan kepada masyarakat. Bahasa sindiran yang sering digunakan semasa berkomunikasi sememangnya berfungsi untuk mempengaruhi pemahaman, sikap, dan tindakan pendengar. Seperti yang dinyatakan oleh Abdul Aziz Yusuf dalam artikelnya yang berjudul “Komunikasi untuk Pengurus”, komunikasi bertujuan untuk mempengaruhi pandangan pendengar terhadap sesuatu isu. Penggunaan bahasa sindiran, khususnya dalam masyarakat Melayu telah wujud sejak dahulu dan masih berterusan hingga kini. Maka, amat penting bagi kita untuk mengamalkan budi bahasa dalam memberikan teguran atau sindiran sebagai cerminan budaya masyarakat kita yang mengutamakan kesopanan. Oleh hal yang demikian, semua pihak haruslah bekerjasama dalam memantapkan dan melestarikan amalan berbudi bahasa dengan menggunakan kata-kata yang sopan semasa memberikan teguran.