Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada era globalisasi kini, bahasa memainkan peranan penting dalam ekonomi moden. Bahasa bukan sahaja berperanan sebagai medium komunikasi, malah bahasa juga menjadi pemacu terhadap transaksi perdagangan, penyebaran maklumat, dan pembangunan sumber manusia. Malaysia, sebagai negara berbilang kaum dan bahasa memiliki kelebihan linguistik yang unik untuk dimanfaatkan dalam sektor ekonomi. Justeru, artikel ini bertujuan meneliti sejauh manakah bahasa menyumbang ke arah daya saing ekonomi negara dan bagaimanakah aspek linguistik dapat dijadikan strategi pembangunan ekonomi yang berkesan.
Bahasa tidak boleh lagi dilihat semata-mata sebagai alat komunikasi antara individu atau kelompok, tetapi harus dilihat sebagai instrumen pembangunan negara. Dalam dunia ekonomi yang berasaskan pengetahuan (knowledge-based economy) kini, kecekapan bahasa merupakan penentu terhadap keupayaan sesebuah negara untuk bersaing dalam pelbagai sektor termasuklah perdagangan antarabangsa, perkhidmatan, pelancongan dan pendidikan. Dalam konteks Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian bahasa, hal ini menjadi kelebihan yang harus ditransformasikan demi kekuatan ekonomi melalui perancangan linguistik yang strategik.
Bahasa sebagai Modal Linguistik, Insan dan Ekonomi
Konsep modal linguistik merujuk keupayaan seseorang atau sesuatu komuniti dalam menguasai dan menggunakan bahasa demi manfaat ekonomi. Dalam konteks Malaysia, bahasa Inggeris berfungsi sebagai bahasa perniagaan dan perdagangan antarabangsa. Penguasaan bahasa Inggeris yang baik membuka peluang pekerjaan dan pelaburan. Bahasa Melayu pula berfungsi sebagai bahasa kebangsaan yang memainkan peranan penting dalam pentadbiran, integrasi sosial dan komunikasi domestik yang efisien. Bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa komunikasi dalam bidang ekonomi terutamanya di rantau Nusantara dan negara ASEAN. Selain itu, bahasa Melayu turut menjadi bahasa perniagaan dalam negara yang dilihat memiliki kepentingan dalam urusan perniagaan melalui bahasa persuasif, iklan dan media. Sebagai contoh, pekerja yang menguasai pelbagai bahasa mempunyai kelebihan dari segi pasaran kerja dan komunikasi dengan pelanggan dari pelbagai latar belakang.
Konsep modal linguistik juga merujuk nilai ekonomi yang terkandung dalam penguasaan sesuatu bahasa. Dengan cara ini, secara tidak langsung dapat meningkatkan modal insan dan nilai ekonomi seseorang pekerja. Pekerja yang mampu berbahasa Mandarin, Inggeris, Jepun, Korea dan Melayu dapat mengakses lebih banyak peluang pekerjaan, terutamanya dalam sektor eksport dan perbankan antarabangsa. Kelebihan yang ada pada pekerja terutamanya modal linguistik menjadikan majikan cenderung memilih calon yang mempunyai kebolehan berbahasa yang pelbagai. Disebabkan oleh kelebihan ini, calon yang terpilih dapat memudahkan komunikasi dengan pelanggan dan rakan kongsi dari luar negara yang menggunakan bahasa yang berbeza. Dalam ekonomi digital dan perniagaan global yang semakin pesat kini, keupayaan untuk berkomunikasi secara fasih dengan rakan dagang dari pelbagai negara merupakan satu kelebihan daya saing. Syarikat multinasional menilai tahap penguasaan bahasa sebagai satu daripada kriteria dalam pengambilan pekerja dan pelaburan modal insan.
Bahasa dan Sektor Pelancongan
Sektor pelancongan menyumbang secara langsung terhadap ekonomi negara. Keupayaan dalam penggunaan pelbagai bahasa menjadikan sesuatu destinasi bersifat mesra pelancong. Penggunaan multibahasa dalam sektor pelancongan secara tidak langsung dapat membantu pelancong untuk memahami budaya, bahasa dan keunikan sesuatu negara atau negeri. Selain itu, penggunaan multibahasa dapat memberikan panduan kepada pelancong, bahan promosi dan papan tanda bagi memudahkan pelancong antarabangsa melawat ke Malaysia. Penghasilan brosur dan laman sesawang pelancongan dalam pelbagai bahasa seperti Jepun, Arab dan Korea memudahkan pelancong membuat perancangan untuk melancong ke Malaysia. Selain brosur, penghasilan papan tanda dwibahasa atau multibahasa dapat meningkatkan aksesibiliti dan kebolehfahaman.
Penggunaan bahasa yang pelbagai juga dapat membantu kerajaan untuk mempromosikan budaya dan warisan melalui bahasa. Hal ini secara tidak langsung dapat menarik minat pelancong yang ingin memahami identiti tempatan secara lebih mendalam. Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu dalam promosi budaya tradisional Malaysia dapat menjadi aset unik yang menyumbang terhadap sektor ekonomi pelancongan.
Selain itu, bahasa juga berfungsi sebagai medium pemindahan budaya. Apabila pelancong memahami makna sesuatu istilah budaya seperti pantun, adat bersanding atau wayang kulit, nilai warisan yang disampaikan menjadi lebih mendalam dan berkesan sekali gus mewujudkan pengalaman ekonomi (experience economy) yang bernilai tinggi.
Dasar Bahasa dan Implikasi Ekonomi
Dasar bahasa yang inklusif dan strategik dapat merangsang pertumbuhan ekonomi. Dasar bahasa yang mesra ekonomi mampu menyokong pertumbuhan jangka panjang negara. Dasar ini merangkumi dasar pengajaran bahasa asing di sekolah secara strategik berdasarkan keperluan pasaran antarabangsa, dasar insentif kepada sektor swasta yang menawarkan latihan bahasa kepada pekerja, dan dasar pelaksanaan dwibahasa. Kegagalan dalam dasar yang dibuat akan menyebabkan ketidaksepadanan antara kemahiran pekerja dan kehendak pasaran kerja. Negara seperti Belanda dan Switzerland menunjukkan bahawa sistem pendidikan yang mengutamakan pelbagai bahasa membolehkan rakyat mereka lebih fleksibel dan kompetitif pada peringkat global.
Penjenamaan Bahasa dan Budaya
Bahasa sangat berperanan sebagai duta dalam bidang ekonomi terutamanya dalam bidang pemasaran. Bahasa dapat dijadikan sebagai jenama dalam menjual produk dan budaya tempatan ke peringkat antarabangsa. Penjenamaan bahasa merupakan usaha meletakkan bahasa sebagai sebahagian daripada identiti dan nilai tambah terhadap produk atau perkhidmatan. Strategi ini melibatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai alat pemasaran yang menonjolkan keaslian identiti tempatan termasuklah produk makanan seperti dodol, rendang dan keropok lekor yang mempunyai nilai eksotik bagi pasaran luar negara. Selain itu, pengeksportan budaya melalui bahasa seperti filem, drama, lagu dan karya sastera yang membawa mesej dalam bahasa asalnya. Sebagai contoh, kejayaan filem Korea Selatan dan Jepun pada peringkat antarabangsa turut mengangkat bahasa ibunda mereka sehingga mewujudkan permintaan global untuk menpelajari bahasa tersebut. Jika diperhatikan, Korea Selatan yang berjaya menduniakan budaya Hallyu boleh dijadikan sebagai model dalam mempromosi budaya Malaysia. Hal ini membolehkan Malaysia bukan sahaja mengeksport produk fizikal, tetapi juga menjual budaya dan bahasa yang menjana pendapatan melalui industri kreatif dan industri pelancongan budaya.
Cabaran Bahasa dalam Usaha Meningkatkan Ekonomi Negara
Kekurangan perancangan linguistik jangka panjang yang menjadikan usaha untuk memajukan bahasa bersifat sporadik dan terhad terhadap sektor tertentu sahaja. Terdapat beberapa cabaran yang dilihat memberikan kesan terhadap pemartabatan bahasa Melayu ke peringkat global.
Malaysia mengalami konflik struktural antara memartabatkan bahasa Melayu sebagai lambang identiti nasional dengan penguasaan bahasa Inggeris sebagai alat mobiliti ekonomi global. Bahasa Melayu cenderung dilihat sebagai bahasa yang bersifat simbolik dan terbatas kepada sektor awam, manakala bahasa Inggeris sebagai praktikal dan dominan dalam sektor swasta dan profesional. Kewujudan persepsi umum bahawa dengan menguasai bahasa Melayu tidak memberikan sebarang kelebihan dalam pasaran kerja yang berpendapatan tinggi. Hal ini menyebabkan kesukaran terhadap usaha untuk membina satu identiti ekonomi nasional yang berpaksikan bahasa kebangsaan. Secara tidak langsung hal ini akan memberikan kesan terhadap peluang ekonomi bagi mereka yang mahir dalam satu bahasa terutamanya yang berasal dari luar bandar.
Sistem pendidikan bahasa di Malaysia sangat bergantung pada lokasi geografi dan status sosioekonomi pelajar. Pelajar di bandar mempunyai akses kepada guru bahasa asing yang berkualiti, kelas tambahan, dan teknologi pembelajaran interaktif. Pelajar di luar bandar pula sering ketinggalan dari segi pendedahan terhadap bahasa Inggeris dan bahasa asing yang lain, lantas mengehadkan peluang mereka dalam sektor yang memerlukan penguasaan bahasa pasaran. Kesan daripada ketidaksamarataan akses ini menyebabkan lahirnya generasi pekerja yang tidak seimbang dari aspek kemahiran komunikasi dan daya saing antarabangsa.
Dasar bahasa – ekonomi yang kurang menyebabkan penyatuan pembangunan bahasa dan strategi ekonomi nasional tidak dapat dilaksanakan dan diperkukuh. Perancangan bahasa dan ekonomi berlaku dalam silo berasingan tanpa penyelarasan sinergistik. Sebagai contoh, dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) lebih fokus terhadap dimensi pendidikan, tetapi tidak mengintegrasikan pelaburan dalam bahasa dengan strategi eksport atau pembangunan tenaga kerja. Tambahan lagi, tiada indikator yang mengukur sumbangan bahasa terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), produktiviti atau pelaburan asing.
Hakikatnya, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, namun menjadi aset strategik yang berpotensi mengangkat ekonomi negara melalui pelbagai saluran termasuklah pendidikan, pelancongan, perniagaan dan diplomasi. Bahasa juga menjadi aset strategik pada abad ke-21, khususnya dalam ekonomi pascaperindustrian yang menilai kreativiti, komunikasi dan mobiliti global sebagai kriteria utama kejayaan ekonomi.
Malaysia sebagai negara yang kaya dengan warisan bahasa dan budaya perlu menjadikan bahasa sebagai instrumen utama pembangunan dan daya saing negara. Malaysia juga perlu memperkukuh nilai bahasa sebagai sebahagian daripada kerangka pembangunan ekonomi nasional. Pelaburan dalam penguasaan pelbagai bahasa bukan sahaja meningkatkan mobiliti tenaga kerja, malah membina identiti negara yang berdaya saing di mata dunia. Pengharmonian antara dasar bahasa kebangsaan dengan dasar ekonomi negara merupakan kunci utama untuk mencipta ekosistem ekonomi linguistik yang seimbang, berkeadilan dan berdaya saing pada peringkat global.
Penulis ialah pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh, Muar, Johor.