Diterbitkan pada 18 September 2025, 23:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kemahiran bertutur merupakan antara kemahiran teras berbahasa yang perlu diterapkan dalam diri pelajar, khususnya pada peringkat sekolah menengah. Selain penumpuan terhadap pembelajaran akademik, para pelajar juga disarankan agar menguasai kemahiran berhujah yang secara langsung akan menjadikan pelajar memiliki daya berfikir secara kendiri dan kritis serta berkomunikasi dengan yakin dan berkesan. Kesan langsung daripada kemahiran ini termasuklah para pelajar berkebolehan untuk berinteraksi tentang hal ehwal masyarakat dan negara. Hal ini bermaksud, para pelajar seharusnya mempunyai kefasihan dan keyakinan untuk mengungkapkan tentang isu sosial dalam pelbagai konteks harian. Persoalannya, di manakah dan bagaimanakah para pelajar dapat memperoleh kemahiran bertutur dengan baik dan berkesan? Jawapannya tentulah melalui wahana berbahas, berdebat dan berpidato.

Selain membina keterampilan berhujah, aktiviti berbahas atau berdebat dapat mewujudkan pembelajaran secara kolaboratif melalui penyelidikan fakta bersama-sama ahli kumpulan dan mewujudkan interaksi serta membina kepercayaan untuk saling bertukar hujah sesama rakan sepasukan. Kemahiran ini dilihat mampu memperkasakan pengalaman pembelajaran pelajar.

Format, peraturan dan elemen yang terdapat dalam pertandingan bahas atau debat pula menuntut pelajar untuk bersikap lebih cakna terhadap isu semasa. Penyampaian hujah harus dilakukan secara intelektual dan meliputi fakta yang bernas, bukannya mewujudkan sentimen sensitif yang melibatkan kaum, agama dan bangsa. Usul (tajuk perbahasan atau perdebatan) yang diberi dalam pertandingan adalah untuk melatih pelajar berfikir secara kritis dan analitik, selain memahami dan mendefinisikan usul dengan tepat dan berfakta.

Melihatkan betapa berkesannya aktiviti perbahasan atau perdebatan terhadap pembinaan karakter, kemahiran dan kemenjadian pelajar, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyediakan platform untuk pelajar menampilkan kemahiran berbahas, iaitu melalui pertandingan bahas. Penganjuran pertandingan bahas diadakan saban tahun, khususnya pertandingan peringkat sekolah dan universiti. Bahas merupakan suatu kegiatan lisan yang teratur antara dua pihak, iaitu pasukan pembangkang dan pasukan pencadang untuk mempertahankan pendirian masing-masing tentang sesuatu usul.

Menyedari kepentingan menguasai seni berbahas dan manfaat aktiviti berbahas, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek mengumumkan bahawa Akademi Bahas MADANI bakal ditubuhkan secara berperingkat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Menurut beliau, Akademi Bahas MADANI bukan sekadar ruang latihan, sebaliknya menjadi platform bagi melatih pelajar menyusun serta menyampaikan pandangan dengan penuh keyakinan, kematangan dan beradab. Penubuhan Akademi Bahas MADANI diumumkan oleh YB Fadhlina Sidek dalam ucapannya semasa merasmikan Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 pada 26 Julai 2025 yang lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Agenda penubuhan Akademi Bahas MADANI akan dilakukan secara berperingkat di semua SBP bermula pada tahun 2026. Akademi bahas ini akan menjadi platform latihan kemahiran berbahasa dan pengucapan awam, khususnya bagi pelajar yang menyertai Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri. Berdasarkan ucapan YB Fadhlina Sidek, Akademi Bahas MADANI akan melatih pelajar menyusun hujah secara kritis dan beradab, selaras dengan aspirasi memperkasakan generasi muda melalui ilmu, disiplin, akhlak dan adab dalam berhujah.

Pengumuman penubuhan Akademi Bahas MADANI disokong dengan beberapa tujuan yang signifikan, selain tujuan utamanya untuk melatih pelajar dalam pelbagai aspek kemahiran berbahasa dan pengucapan awam, serta menjadi platform kepada pelajar untuk mengembangkan kebolehan mereka berucap di khalayak ramai. Melalui akademi ini, gerak kerja yang melibatkan latihan secara khusus akan dilaksanakan dengan menyasarkan pelajar yang akan menyertai Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri sebagai persediaan dan pembangunan kemahiran berhujah.

Akademi Bahas MADANI menjadi tumpuan KPM Cberikutan objektifnya yang membawa aspirasi besar, iaitu sebagai satu daripada agenda terbaik negara dalam memperkasakan generasi muda.

“Akademi Bahas MADANI akan memberikan tumpuan terhadap latihan, pendayaan dari sudut intelektual, hujah yang kritis dan latihan yang berterusan bagi memastikan anak-anak kita, khususnya di 72 SBP mendapat ruang dan peluang yang sama untuk dilatih dalam akademi.” Demikian petikan ucapan YB Fadhlina semasa mengulas lanjut tentang pengumuman penubuhan Akademi Bahas MADANI.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberikan respons yang positif terhadap hasrat penubuhan akademi tersebut dengan menyatakan bahawa agenda penubuhan tersebut sangat baik kerana fungsinya untuk melatih lebih ramai pendebat serta membuka ruang untuk berbahas secara intelektual dan beradab. Hal ini bermaksud pelajar akan dilatih dengan kaedah menggunakan segala keupayaan ilmu untuk berhujah dan yang paling utama adalah akhlak dan adab, khususnya dalam situasi berbeza pandangan.

Susulan daripada pengumuman penubuhan Akademi Bahas MADANI, pada 4 September 2025, agenda penubuhan akademi tersebut dibangkitkan oleh Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan lantas dibahaskan dalam Dewan Negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh menjelaskan bahawa Akademi Bahas MADANI akan dilaksanakan secara berperingkat di semua SBP bermula pada tahun 2026. Langkah ini dilihat sebagai usaha melatih lebih ramai pelajar agar tampil sebagai pembahas berkualiti sekali gus melahirkan pemimpin masa hadapan yang berfikiran kritis, berintegriti dan berkepemimpinan tinggi.

Menurut beliau, pelaksanaan peringkat pertama akan melibatkan 38 SBP dengan kerjasama alumni pembahas Pertandingan Piala Perdana Menteri peringkat kebangsaan. Sinergi ini diwujudkan melalui penyediaan latihan komprehensif dan berstruktur kepada pelajar SBP. KPM turut menjalinkan kerjasama erat dengan institusi pendidikan tinggi (IPT) serta Dewan Bahasa Pustaka (DBP) bagi memastikan Akademi Bahas MADANI dilaksanakan secara mantap, berkesan dan memberikan impak yang meluas kepada pelajar di seluruh negara.

Selain itu, Akademi Bahas MADANI dilihat berpotensi sebagai pusat rujukan serantau dalam bidang perbahasan dan mampu mengangkat martabat pendidikan negara ke peringkat antarabangsa. Aktiviti perbahasan melalui penubuhan Akademi Bahas MADANI akan muncul sebagai suatu kaedah pengajaran yang memberikan pengalaman pembelajaran yang autentik kepada para pelajar. Melalui akademi tersebut juga, pelajar akan merasai suasana yang seronok dan berkesan dalam mempelajari dan menguasai kemahiran berhujah. Secara tidak langsung, suasana tersebut akan merangsang minat pelajar untuk bertukar-tukar idea dalam laras yang formal tentang isu sosial yang sering dijadikan tajuk atau usul bahas.

Kaedah pengajaran bahas perlulah berstruktur dan disusun sesuai dengan matlamat pengajaran yang ingin dicapai oleh guru. Penggunaan teknologi dan aplikasi digital perlu dimanfaatkan, khususnya dari aspek pencarian maklumat dan perbincangan secara berkolaboratif dalam kalangan pelajar. Dengan perancangan dan penerapan alat bantu yang betul, akademi bahas yang dihasratkan oleh YB Menteri Pendidikan dilihat menghimpunkan banyak elemen pengajaran dan pembelajaran yang bertujuan untuk mencapai hasil pendidikan yang berkualiti.

Letizia Cinganotto, pengkaji dari Itali yang pakar dalam pembelajaran dan pengajaran telah menjalankan satu kajian tentang pelaksanaan aktiviti perbahasan dalam pembelajaran bahasa Inggeris di sebuah sekolah di Itali pada tahun 2019. Kajian beliau memaparkan tentang kepentingan dan kesan positif bahas sebagai alat mengajar kemahiran berkomunikasi dalam subjek bahasa. Maka itu, yang paling utama ialah Akademi Bahas MADANI mampu meningkatkan keyakinan pelajar dalam penggunaan bahasa Melayu apabila diberi ruang dan peluang menjadi pembahas dalam apa-apa juga medan perbahasan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi