Diterbitkan pada 30 September 2025, 15:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pattani – Jurusan Bahasa Melayu dan Pengajian Melayu (JBM−PM), Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial, Universiti Prince of Songkla, Kampus Pattani, Thailand (PSU Pattani) telah menganjurkan Program Kembara Bahasa kali ke-28 di Sekolah Agama Iqamat Ad-din Peringkat Darjah atau dikenali sebagai Sekolah Tadika, Kampung Kamuting pada 26 hingga 28 September 2025 yang lalu.

Program tiga hari dua malam ini bertujuan menyalurkan ilmu pengetahuan berkaitan dengan bahasa dan budaya Melayu kepada masyarakat setempat, di samping menggalakkan pertukaran ilmu dan pengalaman melalui interaksi langsung dengan penduduk kampung.

Menurut ketua projek, Tuan Abdulbaki Tayeh, program ini memberikan peluang kepada pelajar untuk memupuk semangat kepimpinan, tanggungjawab sosial dan kerjasama berpasukan.

Tambah beliau,

Program ini juga menjadi platform untuk memberikan bimbingan kerjaya dan maklumat tentang peluang melanjutkan pengajian dalam bidang Bahasa Melayu dan Pengajian Melayu kepada masyarakat setempat.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti dijalankan termasuklah mengecat tadika, membersihkan bilik, menampal bahan bantuan mengajar, serta mengajar murid tadika bagi melatih kemahiran kepimpinan. Para peserta juga berkesempatan membuat kuih-muih tradisional bersama-sama penduduk kampung dan menghayati kehidupan masyarakat luar bandar seperti aktiviti membajak sawah.

Aktiviti mengecat tadika yang dilakukan oleh pelajar PSU, Thailand.

“Projek ini tidak sekadar berfokus kepada teori, tetapi lebih menekankan amalan sebenar dalam menanam nilai pengorbanan, kepimpinan dan kerjasama untuk kepentingan awam,” jelas ketua projek itu.

Program ini juga memberikan penekanan terhadap pembangunan seseorang pelajar dari aspek fizikal, mental dan spiritual melalui ibadat berjemaah, senaman pagi, serta aktiviti rekreasi seperti persembahan bakat pelajar PSU dan murid di sekolah tersebut.

Aktiviti pembelajaran kaedah membajak sawah bersama-sama masyarakat setempat.

Tambah ketua projek lagi, “Program Kembara Bahasa ini diharapkan dapat melahirkan generasi pelajar yang bertanggungjawab, prihatin terhadap masyarakat dan memiliki jati diri yang kukuh sebagai pewaris budaya Melayu khususnya di Patani, Thailand.”

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi