Diterbitkan pada 10 Oktober 2025, 00:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang disambut pada bulan Oktober setiap tahun adalah lebih daripada sekadar kempen bahasa. Sambutan ini merupakan pengukuhan terhadap satu agenda taruhan penting negara yang berakar umbi dalam sejarah dan perundangan Malaysia. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan BBK bertindak sebagai platform utama untuk merealisasikan matlamat perlembagaan ini dalam kehidupan seharian. Penganjurannya secara konsisten pada setiap tahun bagi memastikan bahawa kesedaran terhadap kedudukan unggul bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sentiasa segar dalam minda dan amalan setiap warganegara, mengatasi cabaran globalisasi dan pengaruh bahasa asing yang pesat.

BBK berperanan sebagai wahana berterusan untuk memartabatkan bahasa Melayu, menjadikannya bukan sekadar bahasa komunikasi harian tetapi juga bahasa ilmu, bahasa pentadbiran dan bahasa perundangan. Komitmen untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa perpaduan memerlukan usaha yang tidak putus-putus. Sebagai contoh, melalui penganjuran pelbagai aktiviti seperti bengkel penulisan ilmiah, forum bahasa dan pertandingan pidato atau deklamasi puisi, BBK memastikan bahasa Melayu terus relevan dan mampu berfungsi sebagai medium pengucapan bagi isu kontemporari yang kompleks, di samping memupuk semangat cintakan bahasa dalam kalangan generasi muda.

Penganjuran BBK dipelopori oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebuah badan berkanun yang menjadi tunjang bagi pembangunan bahasa dan sastera di Malaysia. Peranan DBP adalah kritikal dalam merancang, melaksanakan dan menyelaraskan program BBK pada peringkat kebangsaan dan negeri. Hal ini bagi memastikan keseragaman matlamat dan keberkesanan pelaksanaan. Sebagaimana yang kita sedia maklum, DBP sering bekerjasama dengan kementerian, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk meluaskan liputan BBK. Sebagai contoh kerjasama tersebut dapat dilihat dalam penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi Sains dan Teknologi Peringkat Negeri Kelantan 2025 yang dibuat dengan kerjasama Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) mulai 15 Jun hingga 23 Ogos 2025 yang lalu, telah menunjukkan komitmen kolektif seluruh entiti dalam negara.

Di samping itu, BBK mempunyai matlamat yang sangat mendalam, iaitu untuk memperkukuh dan mempamerkan jati diri serta citra bangsa Malaysia. Bahasa adalah jiwa bangsa kerana menjadi penentu  identiti sesebuah masyarakat. Apabila rakyat berbilang kaum menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan memahami budayanya, secara semula jadi, hal ini akan menguatkan ikatan perpaduan. Citra bangsa yang dimaksudkan adalah pembentukan masyarakat Malaysia yang bangga dengan bahasa ibundanya serta mempamerkan keindahan dan kekayaan bahasa Melayu pada mata dunia sekali gus menangkis tanggapan bahawa bahasa kebangsaan hanya relevan pada peringkat tempatan.

Justeru, penganjuran BBK yang berimpak daripada pelaksanaan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) (2020-2030) dapat memberikan lonjakan momentum lebih besar. DBK ialah inisiatif jangka panjang bagi memastikan kesinambungan usaha memartabatkan bahasa dan BBK bertindak sebagai kemuncak tahunan bagi aktiviti tersebut. Hal ini bertujuan untuk mempersegar kecintaan dan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan hingga mampu mencetuskan kesedaran baharu bahawa bahasa Melayu merupakan warisan yang perlu dijaga dan disanjung. Kejayaan BBK 2025 menjadi batu loncatan penting dalam merealisasikan matlamat besar DBK menjelang akhir dekad tersebut.

Bahasa Melayu sebagai Tunjang Negara dan Identiti Kebangsaan

Sementara itu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia adalah isu yang tidak dapat dipertikaikan kerana hal ini telah ditetapkan secara jelas di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Ketetapan undang- undang ini meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang wajib digunakan dalam urusan pemerintahan, pentadbiran dan sistem pendidikan. BBK 2025 berfungsi sebagai peringatan tahunan tentang tanggungjawab ini sebagai pengukuhan dasar yang menjadikan bahasa ini teras utama bagi identiti kedaulatan negara. Tanpa tonggak perundangan dan kesedaran yang berterusan ini, kedudukan bahasa Melayu akan terancam oleh arus globalisasi.

Hal ini disebabkan oleh fungsi BBK 2025 yang turut menekankan bahasa Melayu sebagai tonggak pembinaan negara bangsa. Dalam konteks masyarakat majmuk, bahasa kebangsaan menjadi titik pertemuan yang merentas jurang etnik dan budaya. Bahasa Melayu sebagai “lingua franca” moden yang membolehkan interaksi dan persefahaman yang lancar antara kaum, menjadikannya kunci bagi kestabilan sosial. Sebagai contoh, dalam majlis rasmi kebangsaan, penggunaan bahasa Melayu yang seragam dan betul secara automatik akan menyemai semangat kebersamaan dan kekitaan dalam kalangan hadirin, di samping menegaskan bahawa perpaduan bermula daripada penggunaan bahasa yang sama.

Lebih daripada itu, bahasa Melayu adalah lambang jati diri rakyat Malaysia di persada dunia. Jati diri bangsa merujuk ciri unik yang membezakan kita daripada negara lain dan bahasa memainkan peranan utama dalam membentuk keperibadian tersebut. BBK menggalakkan penggunaan bahasa yang berhemah dan baku dalam mencerminkan kekayaan budaya dan kemuliaan tamadun Melayu yang telah diwarisi. Apabila warganegara Malaysia, tanpa mengira latar belakang menggunakan bahasa Melayu dengan bangga di mana-mana forum antarabangsa, hal ini bukan sahaja menunjukkan identiti tetapi juga martabat negara.

Dalam pada itu, bahasa Melayu juga penting sebagai medium penyatuan pelbagai kaum yang perlu dihayati. Bahasa ibunda ini bukan hanya alat komunikasi tetapi juga wadah pemikiran negara untuk menterjemahkan ideologi, falsafah dan wawasan negara yang dikongsi bersama. Dalam konteks BBK, pelbagai aktiviti termasuklah bengkel sastera atau pameran warisan Melayu dianjurkan bagi membolehkan masyarakat berbilang bangsa menyelami dan menghargai kepelbagaian nuansa bahasa. Apresiasi bersama terhadap bahasa Melayu inilah yang mendorong semangat toleransi dan muhibah sehingga berupaya mengukuhkan semangat patriotik di segenap lapisan masyarakat.

Dengan itu, inisiatif seperti BBK memberikan peluang kepada setiap warganegara untuk menunjukkan solidariti terhadap bahasa kebangsaan. Pelibatan aktif semua pihak, iaitu sektor awam, sektor swasta sehinggalah individu dalam program BBK adalah petunjuk jelas tentang komitmen terhadap pemeliharaan identiti negara. Contoh terdekat apabila syarikat swasta memilih untuk menggunakan papan tanda dan komunikasi korporat dalam bahasa Melayu yang gramatis, hal ini secara langsung menyokong usaha memartabatkan bahasa dengan menunjukkan bahawa tanggungjawab ini bukan terletak di bahu DBP semata-mata. Alternatif tersebut menjadi pergerakan sosial yang didorong oleh kesedaran kolektif.

Peranan Teras DBP dalam BBK

Pada zaman pascakemerdekaan ini, umum mengetahui bahawa DBP berdiri sebagai badan berkanun utama yang memikul amanah untuk memartabatkan bahasa Melayu. Amanah tersebut telah dipikul melalui pemberian kuasa di bawah Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Kedudukan ini membolehkan DBP memiliki kuasa autonomi yang kritikal untuk menggubal dasar dan menyusun strategi jangka panjang dalam pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera. Dalam konteks BBK 2025, DBP bertindak sebagai arkitek dan pelaksana yang memastikan setiap program adalah selari dengan DBK dan mencapai matlamat untuk mengangkat darjat bahasa Melayu sebagai bahasa moden yang dinamik dan berwibawa.

Untuk merealisasikan matlamat ini, DBP melaksanakan fungsi utamanya yang merangkumi pengukuhan dasar, pemantauan, pemupukan dan penyebaran. Fungsi pengukuhan dasar melibatkan usaha pembakuan ejaan dan sebutan serta pembentukan istilah baharu dalam pelbagai ilmu termasuklah dalam bidang sains dan teknologi.

Sementara itu, fungsi pemantauan memastikan penggunaan bahasa Melayu yang betul dipatuhi dalam urusan rasmi kerajaan dan sektor awam. Melalui fungsi ini, BBK menjadi wadah untuk menyampaikan hasil kerja peristilahan DBP kepada masyarakat, sekali gus membuktikan keupayaan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa ilmu yang lengkap.

Dalam pada itu, BBK 2025 menyusun aktiviti pemupukan dan penyebaran bahasa dan sastera yang paling padu. Berbeza daripada rutin harian, sambutan sepanjang Oktober ini disemarakkan dengan pelbagai program yang direka untuk menarik penyertaan awam secara meluas. Antaranya termasuklah Majlis Pelancaran BBK pada 12 Oktober 2025 kelak di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Melawati yang diiringi dengan pengisian program seperti Langkahan Bahasa Jiwa Bangsa, Majalah dalam Kelas, Program Didik Hibur, Ekspresi Muzik Bahasa Jiwa Bangsa, Ziarah Bahasa, Singgah Bahasa Jiwa Bangsa, Kongsi Cerita, Eksplorasi Bahasa dan lain-lain. Jelas sekali bahawa semua program diatur bertujuan menyuntik semangat dan minat dalam sastera dan bahasa Melayu secara santai tetapi mendidik.

Selain program pada peringkat nasional, DBP melalui cawangan dan wilayahnya memainkan peranan penting dalam menyemarakkan BBK di seluruh negara. Majlis pelancaran pada peringkat negeri menunjukkan usaha DBP dalam mendesentralisasikan program BBK agar manfaatnya dapat dirasai oleh komuniti tempatan. Lazimnya acara ini digabungkan dengan sambutan kemerdekaan bagi memperkukuh lagi naratif bahawa bahasa kebangsaan adalah sebahagian integral daripada identiti dan kedaulatan negara. Pelibatan pemimpin negeri dan komuniti setempat dalam majlis ini turut memberikan pengiktirafan rasmi terhadap BBK.

Jelaslah bahawa DBP menggunakan BBK sebagai mekanisme untuk meningkatkan kesedaran masyarakat secara menyeluruh tentang kepentingan bahasa kebangsaan. Matlamatnya bukan hanya tentang penguasaan tatabahasa, tetapi lebih kepada pembinaan sikap megah dan bangga terhadap bahasa Melayu. Dengan pelbagai program yang diatur, iaitu daripada seminar akademik yang melibatkan golongan profesional hingga ke pertandingan puisi dan pantun yang menarik minat pelajar, DBP memastikan BBK 2025 berfungsi sebagai pemangkin bagi pemupukan minat yang berpanjangan dalam sastera dan bahasa Melayu bagi menjamin kelestarian bahasa untuk masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi