Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada Khamis memaparkan sebuah tekad untuk menggenggam semula janji kemerdekaan bahawa bahasa Melayu sebagai lambang maruah dan kedaulatan bangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa konvensyen ini dilihat sebagai wadah muhasabah, platform ilmiah dan gelanggang kebangkitan nasional bagi memperteguh iltizam agar kedudukan bahasa Melayu kembali pada paksinya sebagai nadi negara.
“Untuk Malaysia menjadi negara yang hebat, rakyatnya mesti berpaksikan satu perkara utama, iaitu berbangga dengan bahasanya sendiri,” katanya ketika berucap dalam konvensyen berkenaan.
Beliau turut menzahirkan kekesalan terhadap sikap segelintir rakyat Malaysia yang masih canggung dan mencari alasan untuk tidak menggunakan bahasa kebangsaan walaupun dilahirkan dan dibesarkan di negara ini.
Menurut Ahmad Zahid, bahasa Melayu masih memiliki potensi luar biasa untuk diangkat sebagai bahasa ekonomi halal, pendidikan Islam dan diplomasi dunia Islam.
“Kita perlukan keberanian dan keazaman untuk menstruktur semula ekosistemnya agar bahasa ini menjadi bahasa yang berprestij dan bukan bahasa nostalgia,” katanya.
Tegas beliau, tugas memperkukuh bahasa kebangsaan tidak harus diletakkan pada bahu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semata-mata, sebaliknya tanggungjawab bersama rakyat Malaysia untuk merealisasikannya.
“Kita tidak menolak kepelbagaian bahasa yang ada dalam negara, apatah lagi penguasaan bahasa Inggeris dalam medium komunikasi dunia yang memperkaya budaya dan tamadun Malaysia.
“Namun begitu, bahasa Melayu mesti kekal sebagai pusat graviti kebangsaan yang menyatukan kepelbagaian dalam satu orbit negara,” ujarnya.
Tambah Ahmad Zahid lagi, usaha memperkukuh bahasa kebangsaan merupakan tindakan kenegaraan yang membina kuasa lembut (soft power) bangsa, menyemai kesetiaan nasional dan menyuburkan perpaduan rakyat.
Selain itu, beliau menyifatkan cabaran utama bahasa Melayu kini bukan pada dasar yang lemah, tetapi hilangnya penghayatan terhadap bahasa tersebut.
Bahkan, beliau memaklumkan bahawa Audit Bahasa DBP mendapati bahawa terdapat beberapa kementerian dan agensi kerajaan yang masih belum mencapai Aras 5 atau 80 peratus pematuhan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi.
“Kita mesti berani memperkasakan terjemahan karya ilmu, memperluas istilah saintifik dalam bahasa kebangsaan dan membina kecerdasan buatan (AI) linguistik Melayu agar bahasa ini hidup daripada pena kepada data.
“Konvensyen 152 ini tidak boleh terhenti sekadar wacana, sebaliknya mesti menjadi titik tolak kepada satu gerakan nasional bahasa Melayu yang benar-benar merentasi medan besar kehidupan,” tegasnya.
Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan bahasa Melayu diangkat kembali menjadi bahasa ilmu menerusi Pelan Bahasa Melayu IPTA 2023–2030, bahasa autoriti negara dalam pentadbiran negara, bahasa dagang halal di rantau Asia melalui Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035, serta terus diperkasakan dalam dunia digital melalui pembangunan perisian, istilah saintifik dan kandungan.
Sementara itu, beliau turut menyempurnakan majlis penyampaian penghargaan Sanjungan Adiwangsa Bahasa Melayu UiTM kepada enam orang tokoh bahasa terkemuka negara.
Antara tokoh yang menerima penghargaan tersebut termasuklah Yang Berhormat (YB) Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang bin Sariyan, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah binti Abdul Karim, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah binti Haji Omar, Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Profesor Emeritus Dr. Abdullah bin Hassan dan Profesor Dr. Nor Hashimah binti Jalaluddin.

Penghargaan daripada Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa UiTM ini merupakan anugerah berprestij yang dianugerahkan kepada individu yang memberikan sumbangan besar terhadap pemerkasaan kedudukan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan, kesusasteraan, penyelidikan dan pemikiran strategik kebahasaan.
Konvensyen 152 ini turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Haji Dusuki; Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin dan Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari.