Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSintok – Program Ceramah Umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) yang diadakan pada 7 Oktober 2025 di Kompleks Konvensyen Universiti Utara Malaysia (UUM) menarik kehadiran sebanyak 200 peserta pelbagai latar belakang termasuklah pelajar, ahli akademik dan penyelidik.

Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), UUM ini bertujuan menyebarluaskan maklumat tentang fungsi, peranan dan tanggungjawab JKTBM.
Menurut YBrs. Tuan Haji Md Johari bin Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP dalam ucapan alu-aluannya,
Rakan kerjasama kali ini bukanlah pemilihan secara kebetulan tetapi pemilihan tepat disebabkan oleh UUM menyediakan program Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat yang selari dengan objektif program Ceramah Umum JKTBM.

Sementara itu, menurut YBhg. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah yang merupakan penceramah jemputan dalam siri Ceramah Umum JKTBM pada kali ini, kandungan bahasa Melayu dalam Common Crawl hanya mempunyai 0.07 peratus data yang dapat dilihat sebagai keterpinggiran digital. Hal ini kerana jurang yang besar antara jumlah penutur bahasa dengan perwakilan kandungan digital telah mengekalkan status bahasa Melayu sebagai bahasa kurang sumber.
Tambah beliau,
Keadaan ini mengancam untuk mewujudkan penghomogenan linguistik apabila bahasa global utama meminggirkan bahasa yang lebih kecil dan ini disifatkan sebagai kolonialisme teknologi serta menggugat kedaulatan AI negara.
Kedaulatan AI adalah vital dalam menangani kolonialisme teknologi dan digital dengan mengambil berat kedaulatan data, kedaulatan model dan budaya serta kedaulatan infrastruktur khususnya seperti kilang AI dalam negara yang amat diperlukan untuk mengurangkan pergantungan terhadap platform warga asing.
Sementara itu, menurut YBrs. Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Haji Rofie, Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah UUM, bahasa adalah jiwa bangsa kerana bahasa bukan sekadar alat komunikasi tetapi juga wadah budaya, pemikiran dan falsafah hidup yang bukan sekadar lambang perpaduan, tetapi juga teras kepada pembinaan negara bangsa.
Beliau menegaskan bahawa kecerdasan buatan kini memainkan peranan yang semakin besar dalam kehidupan kita. Walau bagaimanapun tanggungjawab dalam memelihara, menghargai dan meluaskan bahasa Melayu juga tidak boleh diabaikan kerana bahasa merupakan jati diri kita sebagai sebuah bangsa yang mampu berdiri sama tinggi dengan kemajuan teknologi era moden.
Yang turut hadir dalam ceramah umum ini termasuklah YBrs. Encik Sharul Rizal bin Hashim, Pengarah DBP Wilayah Utara; YBrs. Encik Mohd Fadzli bin Tajuid, Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP; YBrs. Dr. Maizatul Azura binti Yahya, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, UUM; dan YBrs. Dr. Phat a/l Awang Deng, Pengerusi Program Ijazah Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif, UUM.