Diterbitkan pada 16 Oktober 2025, 22:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi perlu diberikan penekanan yang seimbang di setiap kementerian dan jabatan kerajaan bagi memastikan kedaulatan bahasa kebangsaan terus terpelihara, tanpa menafikan kepentingan kompetensi bahasa Inggeris pada era pentadbiran moden.

Menurut Encik Mohamad Ikhwan Al Syahid bin Abdullah Tahir, Munsyi Muda Bahasa Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), langkah segera perlu diambil bagi memperkukuh peranan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan.

Encik Ikhwan ketika membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Keseimbangan Linguistik Fungsional dan Ideologi Kerangka TLBM-PA” sebagai Perwajaran Kompetensi Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam.

Urusan rasmi bukan semata-mata melibatkan komunikasi sebaliknya melibatkan segala urusan yang berkaitan dengan pelaksanaan dasar, pentadbiran, penyampaian perkhidmatan awam, atau komunikasi rasmi antara kerajaan dengan rakyat, organisasi, atau agensi lain.

Beliau menegaskan bahawa keseimbangan linguistik antara kedua-dua bahasa amat penting bagi melahirkan penjawat awam yang kompeten dan berpaksikan identiti nasional.

Namun begitu, bahasa Melayu seharusnya menjadi keutamaan  penggunaannya dalam setiap urusan rasmi kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Keseimbangan Linguistik Fungsional dan Ideologi: Kerangka TLBM-PA sebagai Perwajaran Kompetensi Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam” sempena Konvensyen Munsyi Muda Bahasa Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna INTAN dari 14 hingga 16 Oktober 2025.

Berpegang pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963, bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan wajib digunakan bagi semua maksud rasmi.

Walau bagaimanapun, bahasa Inggeris tetap diiktiraf sebagai bahasa sumber yang penting dalam bidang sains, teknologi, pentadbiran dan perundangan.

Encik Ikhwan turut menzahirkan kebimbangan terhadap trend penggunaan bahasa Inggeris yang semakin meluas dalam urusan rasmi seperti surat-menyurat, penggunaan istilah teknikal serta komunikasi dalaman kementerian.

Tegas beliau,

Bahasa Melayu perlu dikembalikan sebagai bahasa utama dalam segala urusan rasmi kerajaan, manakala bahasa Inggeris berperanan sebagai keperluan strategik.

Model TLBM-PA (Tiga Lingkaran Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam) yang dibangunkan oleh beliau diadaptasi daripada Model Tiga Lingkaran Bahasa Inggeris Dunia, namun disesuaikan secara inversi konseptual bagi memperkukuh fungsi bahasa Melayu sebagai teras utama perkhidmatan awam negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi