Diterbitkan pada 31 Oktober 2025, 07:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pagoh– “Penguasaan bahasa Melayu bukan sekadar lambang kecintaan terhadap warisan bangsa, tetapi menjadi asas pembentukan jati diri, integriti profesional dan daya saing dalam dunia pekerjaan moden.”

Demikian menurut YBhg. Datuk Haji Abang Sallehuddin bin Abg Shokeran, iaitu Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sewaktu menyampaikan ceramah dalam program “Bahasa dan Kerjaya: Memartabatkan Bahasa Melayu, Mencorak Masa Depan”. Program anjuran Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh itu telah berlangsung dengan jayanya di Auditorium 6, Kemudahan Gunasama, Edu Hub Pagoh semalam.

Ceramah disampaikan oleh YBhg. Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.

Tambahnya lagi, dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 dan 5.0, penguasaan bahasa serta kecekapan berkomunikasi kekal sebagai elemen penting dalam menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan tuntutan global. Beliau turut menegaskan bahawa bahasa Melayu bukan hanya sebagai alat komunikasi, tetapi wadah penyampaian nilai, budaya dan etika kerja bangsa.

Apabila seseorang pekerja berbahasa dengan baik, dia bukan sahaja berkomunikasi secara berkesan, malah mengangkat maruah bangsa ke persada antarabangsa.

Sementara itu, dalam kata alu-aluan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Azrul Azlen Abd Hamidb pula,  beliau menegaskan bahawa bahasa Melayu merupakan akar kepada jati diri bangsa. Tanpa akar yang kukuh, sayap kejayaan tidak akan mampu bertahan lama di langit kecemerlangan. Sehubungan dengan itu, setiap pelajar perlu berbangga dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai lambang identiti negara.

Sebanyak 200 orang pelajar tahun tiga dan empat jurusan Bahasa Melayu Untuk Komunikasi Antarabangsa (Malay for International Communication) bersama-sama dengan pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh hadir bagi menyokong usaha memperkasakan bahasa kebangsaan dalam konteks profesional dan kerjaya. Sesi interaktif antara para peserta dengan penceramah memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi pandangan serta membincangkan cabaran pengaplikasian bahasa Melayu dalam pelbagai bidang profesional. Melalui program seumpama ini, pendekatan yang dilaksanakan dapat memperkukuh pemikiran analitis pelajar serta meningkatkan kesedaran mereka terhadap peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa profesional dan lambang identiti nasional.

Penyampaian cenderamata kepada penceramah jemputan.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi