Diterbitkan pada 27 Oktober 2025, 12:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada zaman ini, manusia makin mengharapkan pujian dan komen yang baik-baik, terutamanya dalam media sosial. Komen membina dan teguran positif ini menjadi penghargaan terhadap usaha keras yang dilakukan. Biasanya, pujian terdiri daripada dua jenis, iaitu pujian bersifat ikhlas, bijak dan membina, serta pujian bersifat dengki, yang menunjukkan kebodohan dan bersifat menjatuhkan orang lain.

Apabila dipuji, seseorang itu perlu mengetahui cara membalas pujian tersebut. Cara itu menunjukkan keinginannya untuk menjadi manusia yang lebih baik, berlapang dada dan tidak berbangga diri. Penerima pujian perlu menghargai pujian tersebut dan mengekalkan sebab pujian itu pada masa hadapan.

Menurut Robert C. Herbert dalam artikelnya yang bertajuk “Sex-based Differences in Compliment Behavior”, terdapat 12 kategori balasan pujian. Kategori pertama ialah tanda penghargaan. Hal ini dilakukan dengan cara memberikan maklum balas secara lisan yang menunjukkan bahawa penutur menerima pujian tersebut, tetapi tidak secara langsung bersetuju tentangnya.

Contoh paling mudah untuk kategori ini ialah ucapan terima kasih. Ucapan ini meningkatkan hubungan interpersonal dan memberikan kesan positif terhadap persepsi penerimanya. Penggunaan emoji yang positif memberikan dimensi emosi terhadap mesej teks yang cenderung bersifat neutral atau kaku.

Selain itu, emoji menjadikan balasan pujian lebih mesra, meskipun dalam bentuk digital dan membantu penyampaian nada dan perasaan dengan lebih jelas. Hal ini menunjukkan penghargaan dan pengiktirafan terhadap pujian yang diterima. Secara tidak langsung, keadaan ini memberikan gambaran bahawa seseorang itu tidak angkuh, sebaliknya menghormati pandangan orang lain.

Kategori kedua ialah penerimaan komen. Kaedah ini dilakukan dengan cara menerima pujian dan memberikan komen tambahan.  Penerimaan komen merupakan cara yang positif dan sopan untuk menunjukkan bahawa pujian itu dihargai, sambil mengekalkan interaksi yang bersahaja. Pada masa yang sama, cara ini membina hubungan positif dengan pengikut atau rakan.

Kategori ketiga ialah peningkatan pujian. Kaedah ini dilakukan dengan cara menerima dan memberikan komen yang menunjukkan bahawa pujian tersebut memang layak diterima.  Komen yang menunjukkan orang tersebut layak menerima pujian perlulah kelihatan jujur dan tidak keterlaluan. Ayat yang digunakan pula tidak menunjukkan rasa untuk membesarkan atau membanggakan diri, dan dalam masa yang sama tidak menolak pujian.

Kategori keempat ialah sejarah komen. Kaedah ini dilakukan dengan cara mengalihkan perhatian daripada pujian kepada objek yang dipuji dengan memberikan maklumat mengenainya. Balasan pujian diberikan dengan memberikan penjelasan atau latar belakang objek yang dipuji, sama ada mengenai diri penerima pujian atau bukan.

Perhatian ini dialihkan dalam bentuk menambah maklumat secara deskriptif dan santai, yang biasanya bersifat fakta atau sejarah ringkas. Tujuannya adalah untuk mengalihkan tumpuan daripada diri sendiri kepada objek secara sopan dan tidak mendabik diri.

Kategori kelima ialah mengalihkan pujian kepada orang lain. Kaedah ini dilakukan dengan cara menerima pujian, tetapi mengalihkannya kepada orang lain atau objek yang dimaksudkan. Strategi ini merupakan pendekatan merendah diri, bersifat kolektif dan menunjukkan seseorang itu beradab kerana cuba mengalihkan perhatian kepada perkara lain agar tidak terfokus pada pujian sahaja.

Kategori keenam ialah membalas pujian. Kaedah ini dilakukan dengan cara menerima pujian, kemudian memberikan pujian balas. Individu yang menggunakan strategi ini tidak mengambil kredit sepenuhnya untuk diri sendiri, sebaliknya mengiktiraf sumbangan pihak lain atau asal usul sesuatu objek yang dipuji. Cara ini menggalakkan penghargaan bersama dalam konteks kerja berpasukan atau kolektif. Kaedah ini sesuai diaplikasikan dalam budaya komuniti dan kekitaan seperti dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara.

Kategori ketujuh ialah merendahkan pujian. Kaedah ini dilakukan dengan cara menolak pujian dengan memberikan komen bahawa pujian itu tidak layak untuknya.  Dalam kaedah ini, individu yang dipuji menolak pujian secara halus sambil menunjukkan penghargaan, sesuai dengan budaya Timur yang bertutur secara berkhemah.

Kategori kelapan ialah soalan. Kaedah ini dilakukan dengan cara meminta kepastian daripada pemberi pujian. Seterusnya, kategori kesembilan ialah tidak bersetuju. Kaedah ini dilakukan dengan cara menolak pujian dengan memberikan komen yang menunjukkan ketidaksetujuan terhadap pujian tersebut.

Cara penolakan yang dianggap tidak terlalu keras dapat dianggap sebagai masih menghargai atau profesional. Kadangkala, penggunaan humor yang sopan dapat menukarkan suasana menjadi lebih santai dan tidak terlalu formal.

Kategori kesepuluh ialah penolakan dengan pengecualian. Kaedah ini dilakukan dengan cara menolak pujian dengan memberikan pengecualian.  Cara ini menggambarkan keadaan penerima pujian secara sopan, tetapi mengalihkan pujian itu kepada orang lain atau objek yang turut terlibat atau dianggap lebih layak mendapat pujian tersebut. Penolakan ini menunjukkan bahawa pencapaian itu bukan sesuatu yang luar biasa, tetapi suatu tanggungjawab.

Kategori kesebelas ialah tiada pengakuan. Kaedah ini dilakukan dengan cara tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap pujian. Ada individu yang bimbang bahawa penerimaan pujian secara terbuka menyebabkan orang lain menyangka dirinya membanggakan diri, sombong atau riak, dan terlalu yakin terhadap diri sendiri. Oleh itu, cara yang paling selamat ialah tidak memberikan sebarang maklum balas dan membiarkan orang lain yang memberikan maklum balas.

Kategori kedua belas ialah permintaan penjelasan. Kaedah ini dilakukan dengan cara menerima pujian dengan menganggapnya sebagai suatu permintaan.  Cara ini menunjukkan reaksi penerima pujian yang beranggapan bahawa pujian yang diberikan ialah suatu bentuk permintaan atau ajakan, lalu membalasnya dengan meneruskan tindakan tersebut atau memintanya diulangi atau ditambah.

Kesimpulannya, cara seseorang itu memberikan balasan pujian mengangkat nilai kerjasama, etika kerja dan kesederhanaan jika ditangani dengan penuh adab, berhati-hati dan strategik. Cara menerima dan menolak pujian ini memperlihatkan dan menambah nilai terhadap interaksi sosial dan memupuk hubungan komunikasi yang positif dalam kehidupan, terutamanya dalam media sosial.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi