Diterbitkan pada 31 Oktober 2025, 10:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dialek ialah variasi bahasa tempatan yang unik lagi pelbagai. Walaupun sering dilihat “kurang baku”, dialek mengandungi sejarah, budaya dan jati diri sesuatu komuniti. Dalam konteks masyarakat Melayu yang kaya dengan pelbagai latar etnik dan wilayah, dialek menjadi nadi penting yang membentuk identiti tempatan dan membezakan antara satu komuniti dengan komuniti yang lain.

Bahasa Melayu memiliki pelbagai dialek yang tersebar luas, seperti dialek Kelantan, dialek Terengganu, dialek Kedah, dialek Perlis, dialek Negeri Sembilan, dialek Melaka, dialek Johor-Riau dan dialek Sarawak. Setiap dialek ini berkembang hasil daripada faktor geografi, sejarah migrasi, interaksi antara etnik dan penjajahan.

Misalnya, dialek Kedah dikenali kerana keunikan sebutan dan kosa katanya yang tersendiri yang menjadikan identitinya begitu kukuh dalam kalangan penduduknya. Seseorang yang fasih berdialek Kedah bukan sahaja menunjukkan kecekapan linguistik, malah mengisyaratkan keterikatan hubungan dan budaya dengan negeri asalnya. Hal yang sama berlaku pada dialek Kelantan yang mempunyai pengaruh Siam yang memperlihatkan akar sejarah migrasi yang mempunyai ciri keterikatan yang tersendiri.

Kata yang digunakan oleh masyarakat setempat kadangkala mempunyai perbezaan dengan negeri lain di Malaysia. Ada perbezaan yang mirip dan ada yang jauh berbeza daripada bahasa baku. Misalnya, “pitih’ dan “gewe” dituturkan di Kelantan, manakala “duit” dan “awek/marka/kekasih” dituturkan oleh masyarakat tempatan semenanjung yang lain.

Bagi dialek Borneo pula, terdapat lebih banyak variasi dialek mengikut etniknya. Misalnya, “kitak”, “kamek”, “nuan”, “kati” dan “sina” merujuk kata ganti nama diri, “belon” merujuk kapal terbang, dan “babas” merujuk rumput. Kewujudan kepelbagaian kata ini menunjukkan keunikan dialek di Borneo.

Dalam bidang sosiolinguistik, dialek bukan sekadar alat komunikasi, malah berperanan sebagai simbol sosial. Perkara ini mengisyaratkan asal usul penutur, kedudukan geografi dan status sosial. Penggunaan dialek di tempat asal biasanya mencerminkan solidariti, manakala penggunaan bahasa baku menandakan adaptasi terhadap situasi formal.

Peranan dialek dalam pembentukan identiti tempatan amat jelas ketika berlangsungnya acara budaya, perayaan atau pertuturan harian dalam masyarakat. Dalam kebanyakan kes, dialek menjadi penanda keaslian yang membolehkan orang lain mengenal pasti negeri asal orang tersebut. Contohnya, “hang nak pi mana” [kamu hendak pergi ke mana], “awat lagutu”[kenapa begitu], “hang pasaipa” [kamu kenapa] dan “segak marka hang” [cantik kekasih(perempuan) kamu]. Contoh ayat dalam dialek Kelantan pula ialah “kawe banyak pitih” [saya banyak duit] dan “hambo tak se gi” [saya tidak mahu pergi]. Hal ini membentuk rasa kebanggaan terhadap dialek sendiri yang secara tidak langsung mengekalkan warisan lisan tempatan.

Namun begitu, dalam arus globalisasi dan standardisasi bahasa, dialek sering berhadapan dengan dilema, sama ada dikekalkan atau ditinggalkan. Di sekolah, bahasa Melayu baku diajar dan menjadi keutamaan dalam sistem pendidikan. Melalui media arus perdana, dialek jarang-jarang diberikan tempat, melainkan dalam program tertentu, seperti drama atau rancangan komedi.

Lebih membimbangkan, dalam kalangan generasi muda di bandar, kadar penggunaan dialek tempatan makin menurun. Faktor, seperti migrasi, perkahwinan campur antara negeri dan tekanan untuk bertutur dalam bahasa yang difahami umum menyebabkan dialek ditinggalkan sedikit demi sedikit. Akibatnya, identiti tempatan terhakis tanpa disedari.

Walaupun bahasa baku penting untuk perpaduan nasional, usaha pelestarian dialek wajar diberikan perhatian. Hal ini termasuklah mendokumentasikan dialek, menggalakkan penggunaannya dalam sastera lisan dan menjadikannya sebahagian daripada warisan budaya tidak ketara yang dipelihara.

Beberapa inisiatif, seperti kamus dialek Melayu, penerbitan puisi dan cerpen berunsur dialek, serta rakaman video warisan pertuturan orang lama perlu diperluas. Selain itu, pelibatan institusi pendidikan dan kebudayaan dalam aktiviti pengayaan bahasa dapat menyemai rasa cinta terhadap dialek dalam kalangan remaja.

Kesimpulannya, dialek bukan sekadar variasi bahasa, tetapi cerminan sejarah, cerminan jiwa kolektif dan penanda identiti tempatan yang unik. Dalam dunia yang makin seragam, dialek Melayu harus terus dipelihara sebagai suatu bentuk kekayaan linguistik dan warisan budaya. Usaha pengguna bahasa pada hari inilah yang menentukan, sama ada dialek ini terus hidup dalam memori anak cucu atau hanya tinggal sebagai fragmen sejarah dalam buku lama.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi