Diterbitkan pada 8 Disember 2025, 15:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Krisis pandemik COVID-19 lima tahun lalu telah mencetuskan perubahan besar dalam pelbagai aspek kehidupan manusia, termasuklah corak komunikasi antara kerajaan dengan rakyat. Ketika menghadapi krisis kesihatan ini, Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu sering tampil dengan teks perutusan khas bagi memaklumi rakyat tentang pelaksanaan Perintah Kawalan pergerakan (PKP), jumlah kes jangkitan, punca penularan, langkah keselamatan dan banyak lagi. Namun begitu, teks perutusan khas bukan sekadar berfungsi menyampaikan maklumat atau arahan rasmi, sebaliknya teks perutusan ini membawa makna tersirat yang lebih mendalam, mencerminkan strategi komunikasi, usaha mempengaruhi emosi khalayak, serta membentuk persepsi dan sikap rakyat terhadap situasi semasa.

Dalam teks perutusan khas yang disampaikan, penggunaan kata ganti nama diri “kita” mempunyai peranan yang signifikan. Pilihan linguistik ini bukan hanya berfungsi sebagai penanda ganti nama diri biasa, tetapi mempunyai implikasi wacana yang besar, khususnya dalam usaha membentuk hubungan antara pemimpin dengan rakyat, mewujudkan solidariti, serta membina identiti kolektif semasa bergolak dengan serangan wabak COVID-19. Oleh itu, pemilihan kata ganti nama diri “kita” bukanlah suatu kebetulan linguistik, tetapi merupakan strategi komunikasi yang terancang dan bersifat membujuk. Jika diteliti, penggunaan “kita” dalam teks perutusan khas menunjukkan teks ini mempunyai sifat inklusif yang tinggi.

Dari segi tatatabahasa, kata ganti nama diri ditakrifkan sebagai kata yang digunakan untuk menggantikan nama orang atau pihak yang dibicarakan dalam sesuatu ujaran. Kata ganti nama diri memainkan peranan penting dalam usaha menentukan hubungan antara penutur, pendengar dan orang yang dirujuk. Secara asasnya, kata ganti nama diri pertama seperti “saya”, “aku”, “kami”, “kita”, “beta”, “patik” dan “hamba” merujuk penutur. Kata ganti nama diri kedua seperti “engkau”, “kamu”, “anda”, “kalian”, “tuanku” dan “tuan hamba” pula merujuk orang yang disapa. Kata ganti nama diri ketiga seperti “dia”, “mereka” dan “baginda” merujuk orang yang dibicarakan. Namun begitu, dalam konteks wacana politik dan komunikasi strategik, kata ganti nama diri bukan hanya berfungsi sebagai unsur tatabahasa yang menggantikan nama, sebaliknya berperanan sebagai alat retorik dan ideologi.

Pemilihan kata ganti nama tertentu seperti “saya”, “kami” atau “kita” mencerminkan kedudukan sosial, nada, dan gaya kepemimpinan seseorang. Dalam erti kata lain, bentuk ganti nama diri yang digunakan mampu membentuk jarak atau kedekatan antara pemimpin dengan rakyat. Walaupun kedua-dua perkataan “kita” dan “kami” tergolong dalam kategori kata ganti nama diri pertama jamak, perbezaannya amat ketara dari segi fungsi semantik dan implikasi sosial. Kata “kita” bersifat inklusif kerana melibatkan penutur dan pendengar dalam kelompok yang sama. Apabila seorang pemimpin berkata, “Kita mesti terus berdisiplin,” beliau sebenarnya menyertakan dirinya bersama-sama rakyat dalam tanggungjawab kolektif tersebut. Sebaliknya, kata “kami” bersifat eksklusif kerana hanya merujuk penutur dan kelompoknya tanpa melibatkan pendengar.

Sebagai contoh, dalam ayat “Kerajaan (kami) telah memutuskan untuk melanjutkan PKP,” perkataan “kami” meletakkan sempadan antara kerajaan sebagai pembuat keputusan dan rakyat sebagai penerima keputusan. Dari sudut wacana, pemilihan antara “kita” dan “kami” akan memberikan kesan besar terhadap persepsi khalayak. Penggunaan “kami” menunjukkan kedudukan kuasa yang bersifat hierarki dan menggambarkan kerajaan sebagai entiti pengarah yang berautoriti. Sebaliknya, penggunaan “kita” menandakan kesepaduan, kebersamaan dan empati, serta menghapuskan jurang sosial antara pihak pemerintah dengan rakyat. Oleh sebab itu, dalam konteks komunikasi krisis seperti pandemik COVID-19, pemilihan kata “kita” amat berkesan kerana meletakkan pemimpin dan rakyat dalam usaha menghadapi ancaman wabak COVID-19 bersama-sama.

Kita bukan sedang berperang dengan musuh yang boleh dilihat, tetapi dengan virus yang halus dan cepat merebak. Kita mesti bersatu kerana hanya dengan perpaduan dan disiplin, kita mampu melawan ancaman ini. Ingatlah, setiap tindakan kita menentukan keselamatan negara.”

(Perutusan Khas Perintah Kawalan Pergerakan [PKP] Fasa 1

pada 16 Mac 2020)

Penggunaan “kita” dalam petikan tersebut mampu membangkitkan semangat kebersamaan pada saat rakyat berada dalam kebimbangan dan ketidaktentuan kerana ucapan tersebut disampaikan ketika rakyat baru memasuki fasa pertama PKP. Dalam keadaan ini, setiap perkataan daripada pemimpin memberikan kesan terhadap kestabilan emosi rakyat. Penggunaan “kita” dalam petikan ini berfungsi menanam rasa kebersamaan. Perkataan ini menunjukkan bahawa perjuangan melawan pandemik bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi usaha bersama-sama. Ungkapan “kita bukan sedang berperang dengan musuh yang boleh dilihat” memperkukuh semangat bahawa wabak ini ialah musuh bersama. Apabila pemimpin berkata “kita mesti bersatu”, rakyat berasa mereka tidak ditinggalkan sendirian, malah diletakkan dalam satu semangat perjuangan kolektif.

Kata “kita” dalam konteks ini berperanan menggantikan arahan yang biasanya tegas. Jika pemimpin berkata “rakyat mesti patuh”, mesej tersebut bersifat mendesak. Namun begitu, apabila pemimpin memilih “kita mesti bersatu”, mesej tersebut menjadi lembut, berbaur ajakan, dan menyentuh hati. Penggunaan “kita” menjadikan pemimpin bukan sekadar pemberi arahan, tetapi teman seperjuangan yang bersama-sama memikul masalah. Selain itu, kata “kita” juga memainkan peranan penting dalam usaha membentuk naratif kebangsaan. Setiap kali perkataan tersebut diulang dalam teks perutusan PKP, pendengar secara tidak sedar membayangkan dirinya sebagai sebahagian daripada kelompok yang sama. Kesan psikologi ini amat kuat kerana manusia cenderung berasa lebih tenang apabila berada dalam kelompok yang mempunyai tujuan dan nasib yang sama.

“Kita semua terkesan. Ada yang hilang pekerjaan, ada yang kehilangan orang tersayang. Namun kita mesti tabah dan kuat menghadapi dugaan ini. Jangan risau, kerajaan akan terus membantu sedaya upaya agar kita tidak dibiarkan berjuang seorang diri.”

(Perutusan Khas Perintah Kawalan Pergerakan [PKP] Fasa 3

pada 10 April 2020)

Kata “kita” dalam petikan di atas berfungsi sebagai alat pemujukan yang penuh empati. Pemimpin menempatkan dirinya dalam kelompok yang sama dengan rakyat, berkongsi perasaan, kesusahan dan harapan. Bahasa yang digunakan tidak bersifat menasihati dari jauh, sebaliknya mendekati jiwa pendengar dengan nada yang menenangkan. Ketika ramai rakyat kehilangan sumber pendapatan dan dilanda tekanan emosi, ungkapan seperti “kita semua terkesan” menimbulkan rasa difahami. Pemimpin tidak bercakap sebagai pihak yang tidak tersentuh oleh krisis, tetapi sebagai manusia yang turut merasai beban yang sama. Perasaan ini menjadikan mesej perutusan lebih jujur dan berkesan kerana rakyat tidak berasa dipujuk semata-mata. Penggunaan “kita” juga mengukuhkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat melalui kepercayaan. Dalam konteks ini, penggunaan “kita” merapatkan jurang antara penguasa dengan golongan yang dikuasai. Apabila pemimpin berkata “kerajaan akan terus membantu agar kita tidak berjuang seorang diri”, mesej yang disampaikan bukan hanya tentang bantuan material, tetapi jaminan moral bahawa rakyat tidak ditinggalkan.

“Sekiranya kita leka, usaha kita selama ini akan sia-sia. Kita tidak boleh lalai walaupun sedikit. Hanya dengan kerjasama semua pihak, kita dapat memutuskan rantaian jangkitan ini.”

(Perutusan Khas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat [PKPB]

pada 10 Mei 2020)

Kata “kita” dalam petikan tersebut berfungsi sebagai penegas bagi rasa tanggungjawab bersama-sama. Ungkapan seperti “usaha kita akan sia-sia” dan “kita tidak boleh lalai” menunjukkan bahawa kejayaan atau kegagalan bukan terletak pada tangan kerajaan semata-mata, tetapi pada tangan rakyat juga. Bahasa ini mengubah sudut pandang khalayak, iaitu daripada penerima arahan kepada pelaku aktif dalam perjuangan melawan wabak bersama-sama. Melalui penggunaan kata “kita” ini, setiap individu merasakan peranannya penting dalam usaha menjaga keselamatan negara daripada ancaman wabak COVID-19. Kata “kita” juga menjadi peringatan halus bahawa setiap tindakan individu memberikan kesan besar terhadap kesejahteraan semua pihak. Apabila pemimpin berkata “kita tidak boleh lalai walaupun sedikit”, mesejnya bukan sekadar larangan, tetapi ajakan yang mengingatkan rakyat supaya sentiasa berhati-hati. Pemilihan kata “kita” menjadikan teguran itu berlapik dan berhemah, mengekalkan maruah pendengar tanpa mengurangkan ketegasan mesej. Rakyat tidak berasa diperintah, sebaliknya berasa dipertanggungjawabkan. Bahasa seperti ini memperkukuh nilai kebertanggungjawaban sosial, iaitu sesuatu yang amat diperlukan dalam situasi genting seperti PKP.

Kita telah melalui perjalanan yang panjang dalam tempoh beberapa bulan yang lalu. Kita telah berjaya mengawal penularan wabak ini dengan tindakan yang tegas, kerjasama dan pengorbanan yang besar daripada semua pihak. Saya amat berbangga dengan disiplin yang ditunjukkan. Kita adalah wira-wira negara.”

(Perutusan Khas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan [PKPP]

pada 7 Jun 2020)

Petikan tersebut menunjukkan kata “kita” digunakan untuk membina identiti nasional yang kuat selepas berbulan-bulan rakyat berjuang menghadapi wabak COVID-19. Pemimpin mengiktiraf rakyat sebagai bahagian penting dalam kejayaan negara, bukan sekadar penerima dasar. Ungkapan “kita telah berjaya” dan “kita adalah wira-wira negara” menggambarkan pengiktirafan bagi menaikkan semangat. Bahasa yang digunakan bukan untuk menonjolkan kejayaan kerajaan semata-mata, tetapi kejayaan rakyat dalam masa yang sama. Dalam suasana pemulihan, kata “kita” berfungsi sebagai bahasa yang meneguhkan rasa bangga  dan menghidupkan semangat patriotik. Penggunaan kata “kita” juga berperanan sebagai simbol pemulihan moral dan psikologi rakyat. Setelah melalui tempoh panjang penutupan sektor ekonomi, sekatan sosial dan tekanan emosi, ungkapan seperti “kita adalah wira-wira negara” memberikan makna pengiktirafan terhadap kecekalan rakyat yang patuh, sabar dan berdisiplin. Dalam konteks wacana nasional, “kita” menjadi suara kebanggaan yang menyatukan seluruh lapisan masyarakat.

Penggunaan kata “kita” dalam teks perutusan khas membawa kesan yang mendalam terhadap pembentukan sikap rakyat dan strategi komunikasi kerajaan. Kata ganti nama diri ini menyemai semangat perpaduan sosial. Dalam keadaan rakyat hidup dalam ketakutan, tekanan ekonomi dan kekangan sosial, kata “kita” menjadi pengingat bahawa seluruh negara sedang menempuh ujian yang sama. Kata ganti nama diri tersebut meruntuhkan sempadan perbezaan bangsa, agama dan status sosial, menjadikan rakyat berasa terikat di bawah satu tekad kebangsaan, iaitu tekad untuk melindungi antara satu sama lain. Selain itu, penggunaan “kita” juga memperkukuh kepercayaan terhadap kepemimpinan negara. Bahasa yang lembut dan bersifat inklusif menjadikan pemimpin tampak empatik, memahami dan dekat di hati rakyat.

Komunikasi seperti ini mengubah persepsi rakyat daripada berasa diarahkan oleh pemimpin kepada berasa disertai oleh orang atasan. Pemimpin dilihat bukan sekadar pemberi arahan, tetapi rakan seperjuangan dalam usaha menghadapi cabaran bersama-sama. Di samping itu, kata ganti nama diri “kita” juga menegaskan nilai tanggungjawab kolektif. Dalam hal ini, setiap individu diseru untuk memainkan peranan masing-masing tanpa rasa terpinggir. Dalam konteks komunikasi strategik, penggunaan “kita” membentuk mesej yang berlapis, iaitu mesej rasional yang menjelaskan dasar dan mesej emosional yang menyentuh jiwa rakyat. Perpaduan antara kedua-dua lapisan ini menjadikan teks perutusan khas PKP ini bukan sekadar teks pentadbiran, tetapi juga teks penyatuan nasional yang menggerakkan semangat dan tindakan rakyat.

Kata ganti nama diri “kita” mungkin kecil dari segi bentuk, namun maknanya sangat besar dalam usaha membina semangat bangsa. Dalam teks perutusan khas PKP, perkataan ini menjadi penghubung antara pemimpin dengan rakyat, serta antara kuasa dengan kasih. Penggunaan kata ganti nama diri ini mengubah wacana rasmi yang selalunya kaku menjadi wacana kemanusiaan yang hidup dan menyentuh hati. Melalui “kita”, pemimpin berdiri sebaris dengan rakyat, bukan di atas mereka. Semangat ini menjadikan teks perutusan khas lebih daripada sekadar catatan sejarah pandemik, tetapi warisan komunikasi kebangsaan yang menunjukkan kekuatan bahasa dalam usaha menyatukan bangsa. Ketika dunia diuji dengan ketakutan dan kehilangan, Malaysia menemukan ketenangan melalui satu kata yang penuh makna.

 

Dr. Muhammad Faizul Abd Hamid merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi