Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBahasa merupakan cerminan masyarakat. Bahasa hidup, berubah dan berkembang seiring dengan peredaran masa. Dalam masyarakat moden, muncul pelbagai bentuk bahasa baharu termasuk bahasa slanga yang menggambarkan keakraban, kreativiti dan keinginan untuk menolak kebakuan. Satu daripada istilah yang kini menjadi sebutan dalam kalangan anak muda di Malaysia termasuklah istilah “kacip”. Dahulu, “kacip” dikenali sebagai alat untuk membelah pinang atau nama sejenis gigi manusia, namun kini istilah itu telah berubah wajah menjadi lambang budaya komunikasi remaja yang mempunyai makna lain.
Dalam bidang linguistik, slanga ditakrifkan sebagai variasi bahasa tidak rasmi yang digunakan oleh kelompok tertentu, lazimnya remaja, golongan profesional atau komuniti dalam talian. Slanga merupakan bentuk bahasa yang bersifat tidak formal, digunakan dalam konteks santai dan sering berubah mengikut masa serta kumpulan sosial. Slanga memainkan peranan penting dalam pembinaan identiti sosial. Pengguna slanga ingin dilihat sebagai sebahagian daripada kelompok yang memahami kod bahasa tersebut. Sebagai contoh, istilah seperti “payung”, “sidai”, atau “kena kencing” menjadi penanda solidariti antara remaja urban. Dalam konteks ini, “kacip” muncul sebagai satu kata yang menandakan pemahaman dalaman terhadap dunia maya anak muda, terutamanya di platform seperti Facebook, TikTok dan X (dahulu dikenali sebagai Twitter).
Slanga juga menjadi medan kreativiti linguistik yang menolak sempadan bahasa baku dengan menghasilkan makna baharu yang unik. Namun begitu, bahasa slanga sering mencabar nilai normatif bahasa Melayu kerana penggunaannya boleh membawa implikasi terhadap kesantunan dan imej bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menurut Kamus Dewan Perdana, perkataan “kacip” merujuk alat seperti gunting yang digunakan untuk membelah pinang atau bahan lain. Kata “mengacip” juga bermaksud merapatkan gigi atas dan gigi bawah atau kedua-dua bibir dengan kuat. Dalam bidang sains perubatan pula, “kacip” boleh merujuk gigi kacip, iaitu gigi yang terletak di bahagian paling hadapan pada rahang atas dan rahang bawah. Dalam istilah saintifik, gigi ini dikenali sebagai incisor teeth atau dalam bahasa Latin disebut dens incisivus.
Gigi kacip berfungsi memotong dan mencencang makanan sebelum dihantar ke gigi geraham untuk dikunyah dengan lebih halus. Setiap manusia dewasa biasanya mempunyai lapan batang gigi kacip, iaitu empat pada rahang atas yang dikenali sebagai maxillary incisors dan empat pada rahang bawah yang disebut mandibular incisors. Gigi kacip mempunyai permukaan yang rata dan tajam bagi memudahkan proses menggigit makanan. Jika dibandingkan dengan istilah yang dimuatkan dalam Kamus Dewan Perdana dan istilah sains perubatan secara literal, “kacip” membawa makna sesuatu yang bersifat memotong, membelah atau menggigit. Namun begitu, istilah “kacip” telah diperluas untuk merujuk perkara lain. Perubahan ini menunjukkan bahasa sentiasa berkembang seiring dengan kreativiti penuturnya, lebih-lebih lagi generasi muda.
Menariknya, istilah “kacip” bukanlah ciptaan generasi muda semata-mata. Sebelum menjadi fenomena slanga dalam kalangan remaja hari ini, perkataan ini sebenarnya telah lama berakar dalam budaya jalanan, khususnya dalam kelompok penagih dadah. Dalam hal ini, istilah “kacip” sering digunakan bagi menggambarkan keadaan fizikal seseorang yang berada bawah pengaruh bahan perangsang seperti methamphetamine (ais atau syabu), ecstasy (MDMA) dan kokain. Bahan-bahan ini bertindak secara langsung terhadap sistem saraf pusat. Tindakan ini menyebabkan peningkatan kadar dopamin dan aktiviti saraf yang luar biasa. Kesan rangsangan yang terlalu tinggi ini mencetuskan tindak balas otot yang tidak terkawal, termasuk bruxism, iaitu perbuatan mengetap atau melagakan gigi secara berterusan tanpa disedari.
Dalam kalangan penagih dadah, perbuatan mengetap gigi ini sering dianggap sebagai tanda seseorang sedang “kacip” atau berada dalam keadaan khayal yang aktif. Gigi atas dan bawah yang digigit rapat menimbulkan bunyi geseran yang kuat. Geseran ini boleh menyebabkan haus pada permukaan gigi atau kesakitan pada sendi rahang. Dari sudut klinikal, keadaan ini berpunca daripada rangsangan yang berlebihan pada sistem saraf simpatetik yang mengawal otot kecil di sekitar rahang dan muka. Oleh sebab itu, “kacip” bukan sekadar istilah sembarangan, tetapi mencerminkan satu fenomena fisiologi yang nyata, iaitu tanda tubuh seseorang sedang bertindak balas dengan bahan kimia berbahaya dalam sistem tubuh. Dari sinilah, muncul istilah sosial baharu yang kemudian dipinjam oleh generasi muda kini. Rajah 1 di bawah menunjukkan ilustrasi gigi kacip.

Rajah 1 Ilustrasi gigi kacip ketika dilagakan.
Rajah 1 menunjukkan anatomi mulut dengan bahagian gigi kacip yang dilagakan kuat ketika “kacip” atau berada dalam keadaan khayal yang aktif. Rajah 1 ini menerangkan cara istilah “kacip” pada asalnya mempunyai kaitan langsung dengan reaksi fisiologi penagih dadah yang mengetap gigi hadapan kerana tekanan otot rahang. Fenomena ini menjadi asas terhadap peluasan makna “kacip” dalam bahasa slanga remaja.
Apabila istilah “kacip” dibawa keluar dari konteks asal dan dipindahkan ke ruang maya anak muda, maknanya mengalami peluasan. Istilah ini tidak lagi merujuk tindakan mengetap gigi, tetapi merujuk perilaku seseorang yang tidak rasional atau berlebihan semasa bercakap. Contoh penggunaan istilah “kacip” di media sosial adalah seperti yang berikut:
“Eh, dia ini kacipkah?”
“Tadi masa live, nampak betul dia borak kacip.”
Ungkapan “kacip” menggambarkan keadaan seseorang yang berkelakuan pelik, bercakap tidak tentu arah atau berlebihan dalam ekspresi emosi. Dalam erti kata lain, “kacip” menjadi metafora sosial bagi menggambarkan kelakuan luar norma. Fenomena ini menunjukkan cara masyarakat menggunakan bahasa sebagai alat penjenamaan sosial untuk mentertawakan, mengkritik atau menjarakkan diri daripada sesuatu tingkah laku.
Dr. Muhammad Faizul Abd Hamid merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.