Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPeribahasa merupakan warisan kesusasteraan Melayu yang indah dan sarat dengan falsafah hidup. Peribahasa dicipta melalui pengalaman kolektif masyarakat tradisional yang menekuni kehidupan dengan penuh kehalusan dan pengamatan. Orang Melayu dahulu menjadikan alam, budaya dan adat resam sebagai sumber ilham bagi membentuk ungkapan kiasan yang padat, berirama dan mudah diingat.
Setiap peribahasa bukan sahaja berfungsi sebagai bahasa perhiasan, malah sebagai medium mendidik, menyindir, menasihati dan menyatukan masyarakat. Namun begitu, dalam arus pemodenan yang serba pantas, kita dapat melihat bahawa proses penciptaan peribahasa baharu seakan-akan terhenti. Tidak banyak peribahasa kontemporari yang muncul pada abad ini. Masyarakat lebih cenderung menggunakan peribahasa lama sebagai rujukan. Persoalan yang timbul adalah mengapakah peribahasa baharu tidak lagi dicipta sedangkan kehidupan moden menawarkan pelbagai pengalaman, simbol dan fenomena baharu yang boleh dijadikan sumber kiasan?
Perubahan Konteks Kehidupan Masyarakat
Menurut Harun Mat Piah (2006), untuk memahami keadaan ini, kita perlu melihat perubahan landskap sosial, budaya dan bahasa yang berlaku dalam masyarakat moden. Pertama sekali, peribahasa lahir daripada pengalaman kolektif masyarakat tradisional yang hidup dalam persekitaran yang hampir seragam. Mereka hidup dalam suasana desa, bergantung pada hasil pertanian, sungai, hutan dan laut. Alam menjadi guru yang sentiasa mengajar, lalu diolah menjadi simbol yang kemudiannya dijadikan perumpamaan.
Apabila masyarakat melihat aur yang tumbuh di tebing sungai, lalu mereka mengungkapkan “bagai aur dengan tebing” untuk menggambarkan hubungan tolong-menolong. Mereka melihat telur yang rapuh di hujung tanduk lalu terlahirlah ungkapan “bagai telur di hujung tanduk” untuk menggambarkan keadaan berbahaya. Alam menjadi rujukan bersama yang mudah difahami oleh setiap anggota masyarakat kerana kehidupan mereka berkaitan rapat dengan persekitaran tersebut.
Dalam konteks masyarakat moden, situasi sudah jauh berubah. Kehidupan tidak lagi berpusat pada alam, sebaliknya pada kota, teknologi, dan gaya hidup global yang penuh dengan kepelbagaian. Simbol moden seperti komputer, telefon pintar, Internet dan media sosial tidak mempunyai kedudukan yang sama dalam kesedaran kolektif masyarakat. Ungkapan kiasan berasaskan simbol moden mungkin difahami oleh sesetengah pihak, tetapi tidak menembusi seluruh lapisan masyarakat sebagaimana peribahasa tradisional yang berakar daripada pengalaman bersama. Oleh sebab itu, Asmah Haji Omar (2012) menegaskan bahawa penciptaan peribahasa baharu menjadi sukar kerana memerlukan simbol yang benar-benar dikongsi dan difahami oleh masyarakat secara menyeluruh.
Perubahan Fungsi Bahasa
Faktor kedua ialah perubahan fungsi bahasa dalam masyarakat. Jika dahulu bahasa digunakan bukan sahaja sebagai alat komunikasi, tetapi juga sebagai alat seni. Za’ba (1965) menyatakan bahawa orang Melayu terkenal dengan penggunaan bahasa yang halus, indah, dan penuh kiasan. Teguran atau sindiran tidak dilakukan secara langsung, sebaliknya melalui peribahasa atau pantun. Bahasa kiasan menjadi medium utama untuk berinteraksi kerana masyarakat menekankan nilai sopan dan kesantunan.
Namun, dalam era moden, bahasa cenderung digunakan dalam bentuk yang lebih langsung, ringkas, dan praktikal. Media sosial, mesej segera, dan komunikasi digital menggalakkan gaya bahasa yang cepat, singkat, malah sering bercampur aduk dengan bahasa asing (Nik Safiah Karim et al., 2010). Kecenderungan ini menyebabkan bahasa kiasan tidak lagi mendapat tempat utama. Peribahasa, yang memerlukan pengolahan estetik dan penghayatan mendalam, menjadi kurang praktikal dalam komunikasi harian. Malah, usaha untuk mencipta peribahasa baharu dianggap tidak sesuai dengan tuntutan komunikasi moden yang menekankan kecepatan berbanding keindahan.
Yang lebih menarik, fenomena komunikasi digital hari ini menunjukkan bahawa masyarakat telah menggantikan sebahagian fungsi peribahasa dengan penggunaan “emoji”. Jika peribahasa dahulu berperanan menyampaikan maksud secara kiasan melalui simbol alam dan kehidupan, emoji kini menjadi medium simbolik yang lebih ringkas, visual, dan segera difahami. Sebagai contoh, simbol “hati” digunakan untuk menggambarkan kasih sayang atau penghargaan, tanda “ibu jari ke atas” digunakan untuk menunjukkan persetujuan, manakala lambang “api” digunakan untuk merujuk semangat atau kejayaan. Fungsi kiasan ini hampir menyerupai cara peribahasa bekerja, iaitu menyampaikan makna yang lebih dalam berbanding dengan ungkapan literal. Hal ini berbeza dengan peribahasa yang lahir daripada pengamatan budaya dan diwarisi turun-temurun. Emoji hanya berfungsi sebagai isyarat global yang ringkas tanpa falsafah hidup yang mendalam. Kebergantungan masyarakat moden terhadap emoji sekali gus melemahkan keperluan mencipta peribahasa baharu kerana mesej dapat disampaikan dengan lebih cepat melalui visual simbolik. Fenomena ini menunjukkan bahawa budaya digital telah mengambil alih peranan bahasa kiasan tradisional dalam komunikasi seharian.
Pendidikan dan Kaedah Pengajaran
Selain itu, perubahan sistem pendidikan turut menyumbang ke arah ketiadaan penciptaan peribahasa baharu. Dalam sistem pendidikan moden, peribahasa diajar lebih banyak melalui hafalan dan latihan objektif berbanding dengan penghayatan kontekstual. Pelajar diajar untuk menghafal maksud peribahasa dan menggunakannya dalam karangan, tetapi jarang sekali didedahkan tentang memahami proses penciptaan peribahasa, dari manakah datangnya ilham, dan mengapakah simbol tertentu dipilih untuk menghasilkan sesuatu peribahasa.
Hal ini menyebabkan peribahasa dilihat sebagai bahan untuk peperiksaan semata-mata, bukan sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian. Kesannya, generasi muda mungkin tahu menggunakan peribahasa lama, tetapi tidak terfikir untuk mencipta peribahasa yang baharu kerana tidak memahami falsafah penciptaannya. Keadaan ini berbeza dengan masyarakat tradisional yang secara kolektif mencipta peribahasa melalui perbualan, cerita rakyat, dan pengalaman hidup bersama. Pendidikan moden yang terlalu berstruktur tidak memberikan ruang terhadap kreativiti kolektif sebegitu.
Dominasi Bahasa Asing
Satu lagi faktor yang penting ialah kedudukan bahasa Melayu itu sendiri dalam masyarakat moden. Walaupun bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, kedudukannya sering tersaing dengan bahasa Inggeris yang semakin dominan sebagai bidang pendidikan tinggi, perniagaan, dan teknologi. Generasi muda yang lebih terdedah terhadap budaya global lebih selesa menggunakan ungkapan berbahasa Inggeris dalam komunikasi seharian, termasuklah bagi menyatakan kiasan atau metafora.
Sebagai contoh, ungkapan Inggeris yang sering digunakan seperti time is money, no pain, no gain, atau thinking outside the box yang lebih kerap digunakan berbanding dengan mencari padanannya dalam peribahasa Melayu. Dominasi bahasa asing ini secara tidak langsung menghalang perkembangan semula peribahasa Melayu kerana masyarakat lebih cenderung meniru simbol dan ungkapan global berbanding dengan mencipta yang baharu dalam bahasa ibunda.
Perubahan Nilai dan Budaya Hidup
Masyarakat moden juga semakin bersifat individualistik berbanding dengan masyarakat tradisional yang lebih kolektif. Penciptaan peribahasa menuntut pengalaman bersama yang dikongsi oleh seluruh masyarakat kerana hanya dengan cara tersebut sesuatu peribahasa dapat difahami, diterima, dan digunakan secara meluas. Dalam dunia yang individualistik, pengalaman masyarakat lebih bersifat peribadi dan tidak lagi dikongsi oleh komuniti secara keseluruhan. Harun Mat Piah (2006) menyatakan bahawa pengalaman tentang media sosial, kerjaya moden atau teknologi mungkin hanya difahami oleh kelompok tertentu, sedangkan kelompok lain tidak berkongsi pengalaman itu. Akibatnya, penciptaan peribahasa baharu yang berakar daripada pengalaman moden sukar mendapat penerimaan kolektif.
Perubahan nilai budaya turut memberikan kesan terhadap penciptaan peribahasa yang baharu. Orang Melayu terdahulu menitikberatkan tentang kesopanan dan kehalusan budi, maka bahasa kiasan menjadi pilihan utama. Kini, nilai berterus terang lebih dihargai kerana dianggap praktikal dan jujur. Masyarakat lebih gemar menyatakan pandangan secara langsung daripada berselindung di sebalik kiasan. Oleh itu, keperluan untuk mencipta peribahasa baharu menjadi semakin berkurangan kerana masyarakat lebih memilih ungkapan literal berbanding dengan kiasan.
Relevansi Peribahasa Lama
Walaupun begitu, hal ini tidak bermaksud peribahasa tidak lagi relevan. Peribahasa lama masih terus digunakan dalam wacana rasmi, pendidikan dan karya sastera. Namun, kita harus mengakui bahawa penciptaan peribahasa baharu tidak lagi berlaku disebabkan perubahan zaman yang mengubah cara manusia berbahasa, berfikir, dan berinteraksi. Menurut Asmah Haji Omar (2012), jika diteliti peribahasa yang ada kini sebenarnya sudah cukup luas bagi menggambarkan pelbagai aspek kehidupan sehingga masyarakat merasakan tidak perlu menambah ungkapan baharu.
Hampir setiap situasi kehidupan boleh dijelaskan melalui peribahasa lama, misalnya tentang usaha, sifat manusia, atau perhubungan sosial. Hal ini menyebabkan masyarakat tidak terdorong untuk mencipta peribahasa yang baharu kerana peribahasa lama dianggap sudah lengkap dan mencukupi.
Namun begitu, terdapat juga kemungkinan bahawa penciptaan kiasan moden berlaku, tetapi tidak dikategorikan sebagai peribahasa. Dalam media sosial, misalnya, kita sering menemukan ungkapan ringkas yang berbentuk sindiran, nasihat, atau motivasi yang jika dinilai secara akademik hampir menyerupai sifat peribahasa. Bezanya, ungkapan tersebut bersifat sementara, digunakan dalam ruang digital tertentu, dan tidak disebarluaskan dalam masyarakat secara turun-temurun. Oleh sebab itu, hal tersebut gagal mencapai status peribahasa yang sebenar. Hal ini menunjukkan bahawa manusia tetap berusaha mencipta ungkapan baharu, tetapi ekosistem sosial hari ini tidak lagi membolehkan ungkapan tersebut berkembang menjadi peribahasa yang mapan.
Sebagai kesimpulan, ketiadaan penciptaan peribahasa baharu berpunca daripada perubahan konteks sosial, budaya, pendidikan, dan bahasa dalam masyarakat moden. Kehidupan yang tidak lagi berakar pada alam, perubahan fungsi bahasa kepada gaya komunikasi langsung, dominasi bahasa asing, sifat individualistik masyarakat, serta perubahan nilai budaya telah menjadikan penciptaan peribahasa tidak lagi berlaku. Bahkan, kemunculan emoji dalam komunikasi digital turut menggantikan fungsi peribahasa sebagai bahasa kiasan, meskipun tanpa kedalaman falsafah. Walaupun demikian, peribahasa lama masih terus hidup kerana kekayaan maknanya yang tidak lapuk ditelan zaman. Seperti peribahasa yang berbunyi “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”, warisan ini akan terus relevan walaupun tanpa penciptaan baharu, selagi mana dipelihara, difahami, dan digunakan dalam kehidupan masyarakat moden.