Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPeranan Media Sosial
Media sosial mempercepat penyebaran makna baharu. Istilah yang dahulu bersifat rahsia kini menjadi tatapan umum melalui video, parodi dan jenaka maya. Dalam konteks “kacip”, pengguna Facebook, TikTok dan X sering menggunakan istilah ini dalam bentuk kapsyen, komen atau meme bagi menggambarkan reaksi luar biasa seseorang individu seperti penagih dadah. Dalam konteks ini, “kacip” berfungsi sebagai penanda humor dan ironi.
Istilah ini menimbulkan kesan jenaka yang segera difahami oleh komuniti dalam talian tanpa memerlukan penjelasan yang panjang. Dalam ruang maya yang serba pantas, makna tersirat seperti ini mudah difahami kerana bergantung pada pengetahuan bersama antara komuniti digital.
Penggunaan slanga seperti “kacip” dengan cara ini menunjukkan keupayaan bahasa membina solidariti linguistik, iaitu rasa kebersamaan dan kefahaman bersama yang mengikat pengguna melalui jenaka dan simbol bahasa yang sama. Namun begitu, normalisasi istilah yang berpunca daripada budaya penagihan dadah menimbulkan persoalan moral dan tanggungjawab sosial. Apabila perkataan yang berakar daripada konteks negatif dijadikan bahan gurauan, masyarakat berisiko untuk merendahkan kesedaran tentang penderitaan sebenar yang dialami oleh golongan penagih.
Fenomena “kacip” tidak dapat dipisahkan daripada budaya digital yang menjadi nadi komunikasi generasi muda pada hari ini. Pada era media sosial, bahasa bukan sekadar alat penyampaian maklumat, tetapi juga lambang status, keanggotaan sosial dan kreativiti.
Istilah “kacip” menjadi bukti cara pengguna Internet di Malaysia membentuk identiti linguistik baharu yang bersifat spontan, lucu dan ekspresif. Dalam ruang digital, sesuatu kata boleh berubah makna dengan sangat pantas. Istilah “kacip” lahir daripada konteks negatif dunia penagihan dadah, namun pada tangan pengguna media sosial, istilah ini dihidupkan semula dengan nuansa baharu yang menggambarkan keterujaan, tingkah laku pelik atau percakapan berlebihan oleh seseorang. Proses ini menggambarkan kedinamikan bahasa dalam ekosistem digital yang tidak terikat dengan autoriti tatabahasa tradisional.
Selain itu, budaya digital memberikan ruang kepada bahasa untuk menjadi alat hiburan dan solidariti. Video TikTok, hantaran X dan kapsyen Instagram yang menggunakan “kacip” berfungsi sebagai simbol kefahaman bersama dalam komuniti maya. Apabila pengguna menulis “Kacip betul budak ini!”, mesej tersebut bukan sekadar kritikan, tetapi juga satu bentuk humor kolektif yang menandakan kebersamaan generasi.
Namun begitu, di sebalik sisi kreatif ini, wujud keburukan yang tidak boleh dipandang ringan. Penggunaan slanga seperti “kacip” secara berlebihan boleh menimbulkan kekeliruan makna dan merendahkan nilai kesantunan bahasa. Apabila perkataan yang berasal daripada konteks penagihan dadah digunakan secara gurauan, hal ini berpotensi menormalisasi budaya negatif tanpa disedari.
Dalam jangka panjang, makna sebenar perkataan itu akan hilang dan masyarakat menjadi tidak peka terhadap asal usul istilah yang sebenarnya. Selain itu, penyebaran istilah ini melalui media sosial boleh memberikan kesan terhadap imej bahasa Melayu sebagai bahasa yang beradab dan berpaksikan nilai budi. Bahasa yang dahulu menjadi lambang ketertiban, kini mudah dicemari oleh penggunaan kata yang kasar, sinis atau bernada menghina. Sekiranya fenomena ini tidak dikawal melalui pendidikan bahasa dan kesedaran linguistik, generasi muda akan terbiasa menggunakan bahasa tanpa memikirkan nilai budaya di sebaliknya. Dalam konteks komunikasi digital, penggunaan slanga juga boleh menimbulkan jurang antara generasi. Golongan dewasa mungkin menganggap bahasa seperti “kacip” tidak sopan, manakala remaja pula melihatnya sebagai simbol kebebasan berekspresi.
Fenomena yang tidak dikawal ini boleh melemahkan kesinambungan nilai bahasa Melayu sebagai warisan bersama. Walau bagaimanapun, fenomena ini tidak harus ditolak sepenuhnya. Penggunaan “kacip” boleh dijadikan bahan didikan bagi memperkenalkan perubahan makna, kesedaran konteks dan tanggungjawab berbahasa dalam pendidikan moden. Masyarakat perlu memahami bahawa bahasa bukan sekadar hiburan atau gaya, tetapi cerminan pemikiran bangsa. Bahasa digital yang sihat memerlukan keseimbangan antara kreativiti dengan kesantunan. Bagi membina identiti generasi baharu, pengguna bahasa harus menyedari bahawa setiap perkataan membawa kesan tertentu, bukan sahaja terhadap cara berkomunikasi, tetapi juga imej bahasa Melayu.
Rajah 2 menunjukkan peluasan makna istilah “kacip”.

Rajah 2 Peluasan makna istilah “kacip”.
Rajah tersebut menggambarkan istilah “kacip” yang mengalami peluasan makna daripada konteks fizikal kepada sosial. Peluasan makna ini mencerminkan cara masyarakat mengubah tanda bahasa menjadi alat ekspresi identiti. Perjalanan istilah “kacip” daripada alat membelah pinang, kepada simptom ketagihan dadah hingga menjadi slanga popular dalam kalangan generasi muda menunjukkan keanjalan bahasa Melayu dalam usaha menghadapi perubahan budaya. Fenomena ini menunjukkan keindahan sistem bahasa yang dinamik, namun turut mengingatkan masyarakat tentang tanggungjawab moral terhadap pemilihan kata. Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi wadah nilai dan identiti bangsa. Memahami istilah seperti “kacip” bukan hanya mengetahui maksudnya, tetapi menyedari kisah sosial di sebalik kata tersebut.
Dr. Muhammad Faizul Abd Hamid merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.