Diterbitkan pada 13 Disember 2025, 12:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukti kewujudan sesuatu kaum itu ditandai dengan adanya bahasa yang dituturkan oleh anggota masyarakatnya. Bahasa berfungsi sebagai medium komunikasi, lambang perpaduan, keagamaan serta kekuasaan, seperti bahasa Melayu yang dituturkan oleh orang Melayu, begitu juga dengan bahasa yang lain. Malaysia merupakan negara yang kaya dengan budaya dan masyarakatnya yang multietnik. Berdasarkan kajian ilmiah yang dilakukan oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah binti Haji Omar tentang perihal bahasa Orang Asli, secara umumnya suku kaum Orang Asli terbahagi kepada tiga suku utama, iaitu Negrito, Senoi, dan Melayu–Proto yang terdapat di seluruh Malaysia.

Dalam kajiannya, penyelidik telah menumpukan kajian terhadap kelompok Orang Asli yang bermastautin di kawasan utara. Baling, Kedah – rantau yang terletak di utara tanah air menjadi pilihan penyelidik untuk menjalankan kajian yang berkaitan dengan bahasa Orang Asli di kawasan tersebut, iaitu bahasa Kentak Bong yang dituturkan oleh masyarakat Kentak Bong. Kajian ini dijalankan pada tahun 1963 seusai beliau tamat pengajian ijazah pertamanya di Universitas Indonesia dan menjadi penolong pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Berdasarkan data kajian beliau, Kampung Lalang yang terletak 10 batu dari pekan Baling menjadi pusat penempatan khas orang Semang, iaitu Orang Asli dalam loghat Kedah yang menjadi lubuk pengumpulan data dengan bantuan seorang guru di kampung tersebut, iaitu Encik Hashim bin Tamun. Menurut pengarang, kajian ini dijalankan untuk mendokumentasikan bahasa pertuturan Orang Asli Kentak Bong yang semakin berkurangan jumlah penuturnya kerana jumlah anggota masyarakat yang kian menurun.

Buku Bahasa Kentak Bong: Huraian Fonologi dan Nahu terbitan DBP.

Selain itu, tambah beliau, kebanyakan kajian tentang Orang Asli hanya berkaitan dengan perihal budaya dan cara hidup, serta masih belum ada yang menyentuh atau merakamkan kajian bahasa mereka, terutamanya masyarakat Kentak Bong. Bahkan hingga kini, hasil kajian atau penulisan tentang masyarakat Kentak Bong masih sedikit yang diterbitkan. Oleh itu, berkat usaha pengarang, kajian fonologi dan nahu bahasa etnik Kentak Bong berjaya didokumentasikan dalam bentuk naskhah buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan judul Bahasa Kentak Bong: Huraian Fonologi dan Nahu.

Buku yang diterbitkan pada tahun 2025 ini membincangkan dan menghuraikan tentang inti pati fonologi dan nahu bahasa Kentak Bong. Berdasarkan kajian pengarang, terbukti bahawa terdapat beberapa persamaan dari aspek fonologi dan nahu antara bahasa Kentak Bong dengan bahasa Melayu. Walaupun tidak 100 peratus sama, namun masih terdapat unsur bahasa Melayu yang mempengaruhi bahasa tersebut dari aspek linguistiknya.

Sehubungan dengan hal itu, dalam bahagian fonologi, pengarang menumpukan perhatian terhadap inventori bunyi konsonan, vokal, dan diftong dalam bahasa Kentak Bong. Beliau turut menyediakan jadual fonem konsonan dan vokal yang digunakan oleh penutur jati bahasa tersebut. Huraian ini disertakan dengan lambang fonetik berdasarkan International Phonetic Alphabet (IPA), sekali gus memudahkan pembaca untuk memahami sistem sebutan yang digunakan.

Selain inventori bunyi, penyelidik turut mengupas struktur suku kata yang membentuk perkataan. Antara perkara yang diperhatikan termasuklah kedudukan vokal dan konsonan bagi pembentukan suku kata terbuka dan tertutup. Hal ini  dijelaskan dalam buku Bahasa Kentak Bong: Huraian Fonologi dan Nahu yang berkaitan dengan pembentukan kata kompleks sisipan jenis D. Sisipan ini sama dengan sisipan jenis C dari segi jumlah suku kata yang terdapat pada kata akar dan juga distribusi yang merupakan tempat berlakunya sisipan, iaitu selepas konsonan awal dalam suku kata pertama. Dalam nahu jenis ini, vokal yang mengisi V pada suku kata pertama kata akar terdiri daripada /ə/ sahaja. Penyisipan /-ən-/ membawa kepada pengguguran /ə/ pada kata akar, seperti yang dapat dilihat dalam rumus. Terdapat dua rumus dalam pembentukan kata jenis ini.  Rumus pertama menunjukkan kata akar seperti dalam struktur (i) (KV-KVK). Contohnya, t∫ətəh yang bermaksud batuk.

Kata akar: t∫ətəh

Penyisipan: t∫ətəh > t∫ ən – ə – təh (pemisahan K [konsonan] dari V [vokal] pada suku kata pertama > K – VK V – KVK

Pengguguran /ə/: K- VK – ϴ – KVK

Penyusunan suku kata semula: KVK – KVK (t∫ən-təh)

Kata kompleks: t∫əntəh

Aspek tekanan suku kata dan intonasi turut dihuraikan oleh pengarang, terutamanya dalam konteks ujaran pernyataan, pertanyaan dan perintah. Dalam hal ini, huraian aspek penting dan menjadi asas dalam bahasa Kentak Bong diberikan penekanan bagi memudahkan para pembaca memahami konsep sistem bunyi. “Tiada bunyi tiada kata” Asmah (2025).

Seterusnya, pengarang menjelaskan tentang proses fonologi yang berlaku dalam bahasa Kentak Bong, antaranya termasuklah asimilasi bunyi, pengguguran vokal dalam beberapa suku kata, serta perubahan fonetik yang dipengaruhi oleh konteks sebutan bahasa itu tersendiri. Contoh yang diberikan merupakan contoh nyata daripada data lapangan yang diambil terus daripada penutur jati.

Ternyata bahasa Kentak Bong tidak mempunyai bunyi /r/ dalam bahasa Melayu atau dialek Melayu seperti frikatif uvular /R/ dalam dialek Kedah dan frikatif velar /ɣ/ yang terdapat dalam dialek Melayu yang lain. Perkataan yang dipinjam daripada bahasa Melayu mempunyai huruf /r/ akan diubah menjadi “y” sekiranya diikuti dengan huruf vokal seperti “berapa” menjadi “byapah”. Sementara itu, huruf /r/ yang berada di akhir perkataan pinjaman Melayu pula akan dihilangkan seperti “jemur” menjadi “jemu”. Melalui contoh nyata yang diturunkan oleh pengarang, pembaca dapat melihat bukti autentik tentang perbezaan sebutan antara bahasa Kentak Bong dengan bahasa Melayu standard.

Pada bahagian kedua, pengarang membincangkan tentang nahu, iaitu bahagian yang merangkumi aspek morfologi dan sintaksis. Dari sudut morfologi, penyelidik mengupas berkenaan dengan sistem imbuhan dalam bahasa Kentak Bong. Beliau menyatakan bahawa morfologi atau bentuk kata dalam bahasa ini menunjukkan kewujudan ciri-ciri aglutunatif tetapi terhad. Pada keseluruhan bahasa Kentak Bong hanya mempunyai lima penambah (affix), iaitu tiga awalan dan dua sisipan. Daripada jumlah ini, kata kerja mempunyai dua awalan dan satu sisipan. Penggandaan seluruh kata berlaku pada kata nama dan kata kerja, tetapi lebih kerap berlaku pada kata kerja. Kata adjektif atau kata sifat tidak mengalami penambahan atau penggandaan. Bahasa ini juga tidak mempunyai imbuhan akhiran. Walaupun kebanyakan imbuhan menyerupai bahasa Melayu standard, namun terdapat juga bentuk imbuhan yang memperlihatkan identiti Kentak Bong yang unik dan tersendiri.

Dari aspek sintaksis pula, pengarang meneliti struktur ayat asas. Beliau menerangkan tentang susunan subjek, predikat dan objek dalam ayat pernyataan. Ayat tanya dan ayat pasif turut dibincangkan berdasarkan contoh data lapangan daripada dialog perbualan masyarakat Kentak Bong. Yang menariknya, Asmah menunjukkan bahawa terdapat beberapa ciri khas etnik ini. Sebagai contoh, kecenderungan menggunakan partikel tertentu atau pengguguran unsur kata kerja dalam situasi tertentu.

Bahagian nahu ini juga membincangkan tentang ayat majmuk, iaitu ayat yang mengandungi lebih daripada satu klausa. Perbincangan ini penting untuk menunjukkan kelenturan bahasa Kentak Bong bagi menyampaikan makna kompleks. Penyelidik memberikan gambaran yang menyeluruh tentang sistem bunyi atau fonologi dan tatabahasa bahasa Kentak Bong. Hal ini sekali gus membuktikan bahawa bahasa etnik seperti bahasa Kentak Bong mempunyai struktur dan keunikan tersendiri yang wajar dititikberatkan oleh pakar dalam bidang linguistik untuk terus meneroka dan mengangkat bahasa etnik agar tidak ditelan zaman.

Kajian yang didokumentasikan dalam buku ini menjadi kelebihan kepada bidang bahasa dan linguistik kerana mencatatkan penemuan dalam penerokaan bidang bahasa etnik yang terdapat di Malaysia. Berikutan kepakaran pengarang dalam bidang ini, sesebuah bahasa yang mencerminkan sesebuah bangsa dapat didokumentasikan bagi manfaat masyarakat umum dan komuniti Kentak Bong sendiri. Daripada sebutan yang mudah sehingga pembentukan frasa yang kompleks, segala-galanya telah dikumpulkan dan dibukukan untuk panduan semua lapisan masyarakat. Buku ini juga dapat menjadi titik mula bagi sebuah penerokaan yang lebih luas dalam bidang linguistik bahasa Kentak Bong sebagai usaha untuk melestarikan bahasa yang merupakan satu daripada etnik di Malaysia.

Keterbatasan penggunaan teori linguistik moden serta ruang analisis perbandingan yang tidak diperluas secara mendalam dalam buku ini sama sekali tidak menjejaskan nilai ilmiahnya, terutamanya apabila mengambil kira bahawa karya tersebut berasaskan penyelidikan awal yang bermula sejak tahun 1963. Malah, aspek yang tidak dihuraikan secara menyeluruh itu wajar dilihat sebagai kesempatan yang berharga untuk mengembangkan lagi kajian terhadap bahasa Kentak Bong melalui pendekatan dan kerangka teori kontemporari. Ruang yang masih terbuka ini memberikan peluang kepada para penyelidik generasi seterusnya untuk mengaplikasikan teori fonologi dan nahu moden, menjalankan analisis perbandingan antara dialek, dan mengemukakan penjelasan yang lebih komprehensif tentang struktur dan sistem bahasa tersebut.

Tambahan lagi, kelompongan tertentu dalam perbincangan asal membuka jalan kepada penghasilan kajian lanjutan yang lebih bersifat multidisiplin. Hal ini termasuklah potensi kajian dalam bidang fonetik akustik, sosiolinguistik, dokumentasi bahasa, serta pemetaan dialektologi yang lebih terperinci. Menerusi penyelidikan lanjutan ini, para pengkaji berpeluang untuk mengemukakan persoalan baharu, menilai kembali data sedia ada dengan pendekatan analitis yang lebih canggih, selain menambah baik dokumentasi bahasa Kentak Bong dalam konteks ilmu linguistik kontemporari.

Huraian sistem dan struktur yang terdapat dalam buku ini memberikan gambaran berhubung tipologi bahasa Kentak Bong. Perbandingan kata leksikal juga dapat dilihat buktinya menerusi senarai Swadesh antara bahasa Kentak Bong dengan Kensiu yang berkongsi suku etnolinguistik yang sama. Oleh itu, buku ini wajar disarankan untuk dibaca oleh semua yang berminat untuk meneliti aspek fonologi dan nahu bahasa peribumi yang terdapat di Malaysia seperti bahasa Kentak Bong. Buku ini menjadi bukti bahawa setiap bahasa, tidak kira kecil atau besar mempunyai nilai ilmu dan budaya yang tinggi.

Secara keseluruhannya, buku Bahasa Kentak Bong: Huraian Fonologi dan Nahu oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah binti Haji Omar merupakan satu daripada karya vital dalam bidang linguistik Melayu di Malaysia. Buku ini berjaya mendokumentasikan sistem bunyi dan tatabahasa bahasa Kentak Bong dengan jelas dan sistematik. Sungguhpun kajian dan penulisan ini lebih bersifat deskriptif, usaha jitu ini amat bermakna sebagai usaha memperkenalkan variasi bahasa etnik yang jarang-jarang diketahui masyarakat umum.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi