Diterbitkan pada 16 Disember 2025, 10:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam buku Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa yang disusun oleh Asraf pada tahun 1996, terdapat satu esei yang wajar dibaca kembali. Esei tersebut ditulis oleh Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan dengan judul “Fungsi Dinamika Bahasa Melayu dalam Menyalurkan Maklumat”.

Mengapakah esei ini sangat signifikan? Ketika pejuang bahasa kita bertungkus-lumus memartabatkan bahasa Melayu, kementerian pelajaran pula memperkenalkan dasar dwibahasa di sekolah-sekolah, hal ini membawa kita kepada satu persoalan, Adakah kita ragu-ragu akan kemampuan bahasa Melayu dalam mengungkapkan ilmu pengetahuan?

Hal ini bukanlah untuk merendahkan mahupun meremehkan taraf bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi global, tetapi dalam konteks pendidikan, seelok-eloknya kita mengutamakan bahasa kita sendiri kerana itulah wasilah yang paling berkesan untuk kita memperoleh pengetahuan.

Dalam esei berkenaan, Abdullah Hassan mengutip kata-kata daripada seorang sarjana terkenal yang mengkaji masa hadapan, iaitu Alvin Toffler. Toffler, melalui bukunya Future Shock mengatakan bahawa “The illiterate of the 21st century will not be those who cannot read and write, but those who cannot learn, unlearn, and relearn”, iaitu “Buta huruf pada abad ke-21 bukanlah mereka yang tidak boleh membaca dan menulis, tetapi mereka yang tidak boleh belajar, melupakan ilmu yang ketinggalan zaman dan belajar ilmu yang baharu.”

Jadi, apakah hubungannya dengan isu bahasa? Hubung kaitnya, bahasa pertama ialah bahasa yang paling berkesan dalam memperoleh pengetahuan. Semua sudah sedia maklum, majoriti rakyat Malaysia ialah penutur jati bahasa Melayu, tambah pula bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa kebangsaan, maka bahasa ini sewajarnya digunakan sebagai bahasa pengantar pendidikan.

Dalam buku Kami Bantah DLP, ada dibentangkan laporan PISA sekitar tahun 2012 dan 2015 yang memperlihatkan, apabila negara kita masih lagi mengamalkan dasar PPSMI, keputusan PISA kita merudum.

Sebahagian sarjana mengandaikan, antara punca hal ini berlaku ialah lemahnya penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan hal ini pula memberi kesan kepada kefahaman mereka terhadap konsep-konsep sains dan matematik.

Alangkah baiknya apabila mereka ini dibenarkan belajar dalam bahasa sendiri, dalam konteks ini, bahasa Melayu. Hal ini bukan sahaja dapat mempercepat proses pembelajaran, malah dapat juga melahirkan golongan cerdik pandai yang boleh kembali berkhidmat untuk masyarakat.

Kita hanya mewujudkan pelebaran jurang, khususnya antara golongan bandar (berbahasa Inggeris) dengan golongan luar bandar (berbahasa Melayu) jika sekiranya kita melahirkan golongan elit yang berbahasa Inggeris.

Menurut Jeniri Amir dalam Bahasa Melayu: Suara dari Bawah, jurang ini dapat dihapuskan melalui pengamalan dasar bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar pendidikan.

Memandaikan bangsa dengan bahasa sendiri juga ditegaskan oleh Abdullah Hassan dalam kertas kerjanya bertajuk “Bahasa Melayu di Persimpangan: Antara Jati Diri dengan Rempuhan Globalisasi”. Abdullah Hassan menceritakan tentang seorang ahli falsafah Jerman tersohor, iaitu Leibniz yang berusaha untuk mengangkat bahasa Jerman sebagai bahasa ilmu melalui konsep jati diri.

Pada zaman itu, bahasa ilmu atau boleh dikatakan “bahasa tinggi” di Jerman hanyalah bahasa Latin dan Perancis. Sekiranya seseorang itu tidak menguasai dua atau satu daripada bahasa ini, maka dia boleh dianggap sebagai tidak berpendidikan. Leibniz tidak bersetuju dengan tanggapan tersebut.

Cerita ini disampaikan dengan lebih terperinci dalam pengenalan buku Terminology and Language Planning: An Alternative Framework of Practice and Discourse oleh Bassey Edem Antia. Menurut beliau, Leibniz ialah seorang perancang bahasa Jerman yang terkemuka sejak awal abad ke-17, meskipun konsep “perancangan bahasa” itu sendiri belum ada. Leibniz tidak bersetuju apabila golongan atasan hanya bertutur dalam bahasa Perancis, manakala golongan bawahan bertutur dalam bahasa Jerman. Beliau mencadangkan agar pengayaan istilah bahasa Jerman segera dilaksanakan.

Beliau berasa sangat aneh, kenapa kita tidak boleh menjadi golongan cerdik pandai melalui bahasa kita sendiri? Hal ini berbeza sama sekali dengan situasi yang berlaku di England, Perancis dan Itali pada ketika itu apabila “the splendor of wisdom is not reserved to learned men only but has trickled down to the mother tongue” yang membawa maksud “keagungan ilmu tidak hanya tersimpan untuk para cendekiawan, bahkan telah meresap ke dalam bahasa ibunda”.

Golongan yang memperjuangkan dasar dwibahasa akan cuba mempertahankan betapa pentingnya bahasa Inggeris di tempat kerja. Hal ini merupakan kenyataan yang tidak boleh dinafikan, namun penulis bukanlah menolak kepentingan bahasa global kerana penulis sendiri bekerja di luar negara, tetapi langkah mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris merupakan langkah yang tidak tepat kerana akan menyusahkan bangsa kita secara berganda.

Pertama, susahnya mereka dalam menggunakan bahasa asing untuk belajar Sains dan Matematik. Kedua, susahnya mereka untuk menguasai konsep sains dan matematik itu sendiri disebabkan kesusahan yang pertama.

Ironinya, Malaysia yang pernah mengamalkan PPSMI dan sekarang DLP tidak pernah pun muncul sebagai negara teratas paling fasih dalam berbahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Namun, negara yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar sekolah pula yang muncul sebagai negara yang paling fasih seperti di Sweden.

Sweden menggunakan bahasa Sweden sebagai bahasa pengantar sekolah, tetapi subjek Bahasa Inggeris ialah subjek wajib. Hal ini menunjukkan bahawa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan tidak menjamin kefasihan dalam berbahasa berkenaan. Kita tidak mahu pelajar-pelajar kita menjadi umpama yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran, kefasihan berbahasa Inggeris tidak tercapai, penguasaan Sains dan Matematik pun mengalami nasib yang sama.

Akhir kata, lebih baik kita mengutamakan bahasa peribumi untuk mendidik bangsa ini. Penguasaan bahasa Inggeris adalah penting, tetapi jangan disebabkan kita mahu rakyat kita fasih berbahasa Inggeris, kita menggadaikan keupayaan mereka untuk menguasai sains dan matematik melalui bahasa ibunda mereka sendiri.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi