Diterbitkan pada 20 Disember 2025, 12:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Artikel ini ditulis dari sudut pandang seorang anak muda yang membesar pada era media sosial, mesej segera dan aliran kandungan digital yang tidak pernah terhenti. Dalam dunia anak muda hari ini, bahasa rojak dan slanga telah menjadi sebahagian daripada komunikasi harian, sama ada di platform WhatsApp, Instagram, TikTok mahupun perbualan santai di kampus dan kafe. Namun begitu, di sebalik kelaziman itu, fenomena ini turut menimbulkan keresahan dalam kalangan pencinta dan penggiat bahasa Melayu. Ada yang melihat bahasa rojak sebagai “musuh senyap” yang diam-diam menghakis keindahan dan ketelitian bahasa Melayu standard. Pada masa yang sama, wujud pandangan lain yang melihat bahasa rojak dan slanga anak muda sebenarnya boleh menjadi “nyawa baharu” yang menjadikan bahasa Melayu lebih hidup, kreatif, dekat dengan realiti emosi generasi muda.

Oleh sebab inilah bahasa rojak dan slanga anak muda tidak wajar hanya dihukum atau ditolak secara mentah-mentah. Sebaliknya, fenomena ini perlu difahami dan diurus secara bijaksana — dibenarkan dan difahami dalam ruang tidak formal, tetapi dibimbing dengan jelas dan tegas dalam ruang formal agar bahasa Melayu kekal bermaruah sebagai bahasa ilmu dan bahasa rasmi negara, tanpa menjauhkan anak muda daripadanya.

Bagi kebanyakan anak muda yang hidup dalam persekitaran bandar dan masyarakat multibahasa, percampuran bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan istilah media sosial berlaku secara spontan. Frasa seperti “stres gila weh”, “vibe tempat ni on point” atau “malu tapi nak juga, lowkey je” bukan sekadar gaya suka-suka, tetapi mencerminkan dunia yang mereka diami merupakan dunia yang terdedah dengan budaya global, kandungan antarabangsa dan jaringan sosial yang pelbagai. Slanga dan bahasa rojak berfungsi sebagai sejenis “kod rahsia” dalam komuniti anak muda; melaluinyalah mereka bergurau, melepaskan tekanan, mengusik rakan, berkongsi emosi dan membina rasa kekitaan. Dari sudut sosiolinguistik, hal ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu bukanlah bahasa yang beku atau kaku, sebaliknya bahasa yang masih hidup dan terus disesuaikan dalam bentuk yang lebih fleksibel dan kreatif. Persoalannya, bagaimanakah golongan dewasa dan institusi bahasa mahu membimbing mereka bagi proses penyesuaian ini?

Permasalahan utama yang timbul adalah apabila gaya bahasa rojak yang digunakan dalam konteks santai dibawa tanpa tapisan ke dalam domain formal. Di dalam bilik darjah, di universiti atau di tempat kerja, penggunaan bahasa rojak, singkatan tidak rasmi serta ayat yang tidak gramatis kerap ditemukan dalam karangan peperiksaan, laporan akademik, surat rasmi dan e-mel profesional. Keadaan ini bukan sekadar isu gaya, tetapi boleh menjejaskan imej bahasa Melayu serta melemahkan kedudukannya sebagai bahasa ilmu, bahasa pentadbiran dan bahasa rasmi negara. Penggunaannya yang berleluasa tanpa bimbingan yang betul boleh menjadi “musuh senyap” yang perlahan-lahan menurunkan standard bahasa Melayu itu sendiri. Tanpa garis panduan yang jelas tentang perbezaan konteks penggunaan bahasa, pelajar mungkin menganggap bahawa cara mereka menulis di media sosial boleh digunakan secara langsung dalam situasi rasmi.

Di sinilah peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan majalah Dewan Bahasa khususnya menjadi sangat penting. Bukan sekadar penjaga standard bahasa, tetapi sebagai pembimbing yang dekat dengan realiti generasi muda. Daripada hanya memberikan amaran tentang “kerosakan bahasa”, DBP berpotensi tampil sebagai rakan strategik yang membantu anak muda memahami perbezaan konteks penggunaan bahasa dengan cara yang mesra, jelas dan menarik.

Sebagai contoh, satu ruangan khas dalam majalah Dewan Bahasa yang mengupas slanga dan istilah rojak popular, disertai penjelasan makna, konteks penggunaan serta padanan bahasa Melayu baku dan memberikan contoh ayat dalam dua versi, iaitu ayat santai (tidak formal) dan ayat baku (formal) boleh menjadi pendekatan pendidikan yang berkesan dan mesra pembaca muda. Pendekatan ini bukanlah merendahkan standard bahasa Melayu, sebaliknya mengajar keupayaan menukar “mode bahasa” mengikut situasi, sama seperti menukar pakaian mengikut majlis  — suatu kemahiran penting dalam dunia akademik dan profesional.

Melalui bimbingan sedemikian, bahasa rojak dan slanga tidak lagi dilihat sebagai musuh yang mesti dihapuskan, tetapi sebagai pintu masuk pertama untuk mendekatkan generasi muda terhadap keindahan dan ketepatan bahasa Melayu standard. Bahasa Melayu akan kekal bermartabat dalam konteks rasmi, sambil kekal segar dan relevan dalam dunia digital, budaya global dan perubahan sosial yang pesat.

Tuntasnya, cadangan ini merupakan satu kaedah yang wajar dipertimbangkan sebagai titik tolak kepada satu perbincangan awam yang lebih seimbang tentang bahasa anak muda, khususnya dalam kalangan pembaca muda majalah dan portal terbitan DBP.

Usaha kecil seperti ini berpotensi memperkukuh hubungan antara institusi bahasa dengan generasi baharu, agar bahasa Melayu terus hidup bukan sahaja sebagai simbol identiti, tetapi juga sebagai alat pemikiran yang berfungsi dan dihormati.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi