Diterbitkan pada 19 Disember 2025, 11:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penghayatan dan pemerkasaan bahasa Melayu melalui seni persembahan terus diperkukuh menerusi Pertandingan Pentaskan Ceritamu peringkat Pertubuhan Bukan Kerajaan (PBK) bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2025, yang berlangsung di Stor Teater, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam.

Pertandingan tersebut menyaksikan penyertaan tujuh kumpulan mewakili pelbagai persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan, masing-masing berentap mempersembahkan pementasan kreatif berasaskan karya terbitan DBP.

Kumpulan Aksara yang merupakan johan pertandingan Pentaskan Ceritamu membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500.00,  sijil dan buku terbitan DBP.

Johan disandang oleh kumpulan Aksara dari Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) dengan markah 364, menerusi pementasan Pewaris Muda daripada karya “Wadah Ilmu Remaja” terbitan Dewan Siswa

Naib johan dimenangi oleh kumpulan Koloni Anak Seni Malaysia dari Persatuan Koloni Anak Seni Malaysia yang meraih 355 markah melalui pementasan Pengiring Akhir 152 daripada karya “Salam Benua”.

Tempat ketiga pula menjadi milik kumpulan Mitra dari Pemuisi Nasional Malaysia dengan 349 markah, membawakan cerita Pasar Perasaan daripada Antologi Dirgahayu Bahasaku.

Sementara itu, hadiah sagu hati dimenangi oleh Triluna dari Persatuan Makara Seni, serta Satria Pujangga, Penggerak Tamadun Melayu dan Laskar Bahasa dari Persatuan Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM).

Semua peserta diwajibkan membawakan cerita bertemakan “Bahasa Jiwa Bangsa” dengan menggunakan bahasa Melayu baku, berasaskan naskhah terbitan DBP. 

Penilaian juri merangkumi aspek penggunaan bahasa, kreativiti, gaya penyampaian, penghayatan watak, persembahan pentas serta kualiti kandungan cerita.

Majlis perasmian serta penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin bin Dato Paduka Mohamed dan Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi DBP, YBhg. Encik Mohd Fadzli Tajuid.

Panel juri pertandingan terdiri daripada Encik Noor Hashimi Hasan dari Persatuan Teater Malaysia selaku Ketua Juri, Encik Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub dari Persatuan Karyawan Perak, Puan Siti Jasmina Ibrahim dari Persatuan Opera Malaysia dan Timbalan Ketua Akademi DBP, YBrs. Dr. Faezah Muhayat yang memberikan penilaian serta ulasan sepanjang pertandingan berlangsung.

Sebagai rekod, pertandingan ini bukan sahaja berjaya mencapai matlamatnya untuk menyemarakkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam bentuk seni yang kreatif dan dinamik, malah turut menjadi platform berimpak tinggi kepada penggiat bahasa dan sastera daripada pertubuhan bukan kerajaan untuk berkarya serta berdaya saing.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi