Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada era globalisasi, penggunaan nama Inggeris semakin ketara dalam pelbagai aspek kehidupan, daripada menjenamakan program kerajaan, acara kebudayaan, bangunan, hingga kawasan komersial. Fenomena ini berlaku merentas pelbagai sektor seperti pendidikan, kebudayaan, pelancongan, dan keusahawanan, bahkan sektor awam menamakan program kerajaan menggunakan bahasa Inggeris. Pada satu sisi, penggunaan nama Inggeris dilihat sebagai strategi global, namun pada sisi lain, fenomena itu menimbulkan persoalan tentang kedudukan, martabat dan masa hadapan bahasa Melayu. Harus disedari juga, fenomena ini bukan sekadar memenuhi selera gaya semasa, tetapi melibatkan pertimbangan identiti, pemasaran, dasar bahasa nasional serta persepsi masyarakat.
Tarikan Global dan Strategi Penjenamaan
Dalam dunia yang penghuninya berhimpun melalui teknologi dan media sosial, bahasa Inggeris menjadi saluran yang cepat dan universal. Lantaran itu, banyak penganjur program memilih nama Inggeris untuk memberikan imej moden, profesional dan “antarabangsa”. Nama seperti Youth Innovation Expo, Culture Connect atau Green Heritage Trail dianggap lebih mudah menembusi pasaran global dan menarik perhatian khalayak yang lebih luas. Sebagai contoh, bagi sektor pelancongan dan komersial, nama Inggeris sering digunakan sebagai strategi pemasaran. Nama kawasan seperti Sky Avenue, Tech Valley atau Digital Hub menggunakan bahasa Inggeris untuk mencipta persepsi kemodenan, kecanggihan dan nilai pasaran yang lebih tinggi.
Selain itu, penggunaan nama Inggeris juga didorong kuat oleh faktor daya tarikan antarabangsa. Umum mengetahui bahawa bahasa Inggeris berperanan sebagai lingua franca dunia. Maka itu, program yang disasarkan kepada khalayak dari pelbagai negara cenderung menggunakan nama Inggeris untuk memudahkan aktiviti promosi oleh pihak penganjur, khususnya bagi sektor teknologi dan inovasi, pelancongan, pendidikan tinggi, serta acara seni dan budaya berimpak global. Sebagai contoh, nama seperti Innovation Summit, Creative Week atau Heritage Trail lebih mudah difahami oleh pelawat asing dan memberikan imej moden serta bergerak seiring dengan perkembangan global.
Dalam konteks pemasaran, nama Inggeris sering dianggap lebih komersial, menarik dan bernada antarabangsa. Banyak organisasi memilih nama Inggeris untuk memberikan kesan profesional dan kompetitif. Fenomena ini lazimnya berlaku dalam penjenamaan tempat seperti Central Park, Sky Avenue, South City, Tech Valley dan Digital Hub. Nama sedemikian melahirkan persepsi maju, moden dan glamor yang dikatakan dapat meningkatkan nilai komersial.
Pengaruh Budaya Pop dan Aspirasi Generasi Muda
Penggunaan nama Inggeris turut dipacu oleh dominasi budaya popular, termasuk filem, muzik, media sosial dan permainan video yang mempengaruhi imaginasi dan gaya hidup generasi muda. Generasi muda yang akrab dengan media global lazimnya melihat nama Inggeris sebagai lebih segar, kreatif dan kontemporari, malah dianggap lebih relevan dengan gaya hidup moden. Program seni anak muda misalnya, lebih cenderung memilih jenama seperti Urban Art Festival, Campus Vibes atau Local Creatives Meet-Up. Di sinilah muncul kecenderungan bahawa bahasa Inggeris menjadi bahasa “gaya”, manakala bahasa Melayu dipinggirkan dalam konteks acara yang ingin dilihat moden.
Pendedahan yang berterusan terhadap kandungan berbahasa Inggeris menjadikan bahasa tersebut kelihatan sebagai bahasa moden, antarabangsa dan kosmopolitan. Keadaan ini juga dikaitkan dengan trend semasa, kreativiti dan kebebasan ekspresi dalam kalangan generasi muda, termasuk golongan eksekutif, pemaju dan pencipta kandungan zaman moden yang menganggap bahasa Inggeris lebih “ringkas” dan “sedap didengar” untuk tujuan penjenamaan. Kesannya, banyak produk, tempat dan program dinamakan dengan istilah Inggeris untuk kelihatan sejajar dengan arus moden dan global.
Komentar: Antara Keperluan dengan Gaya
Tidak dinafikan bahawa bagi sesetengah konteks, terutamanya acara antarabangsa atau program profesional, penggunaan bahasa Inggeris ada rasionalnya. Namun begitu, hal yang perlu dilihat dengan lebih kritis ialah kecenderungan menggunakan bahasa Inggeris walaupun konteksnya bersifat tempatan dan sasaran audiensnya dalam kalangan domestik. Fenomena ini kadangkala bukan lagi strategi, tetapi sekadar mengikut gaya dan trend semasa. Dalam beberapa situasi, nama Inggeris digunakan hanya kerana nama sebegitu dianggap “lebih sedap” didengar, ada kelas, atau lebih dekat dengan estetika komersial. Namun begitu, penjenamaan yang terlalu bergantung pada bahasa Inggeris mencerminkan satu bentuk linguistik inferioriti kompleks, yakni seolah-olah bahasa Melayu “kurang layak” mengangkat sebuah acara berprestij atau produk berkualiti.
Kesan terhadap Bahasa Melayu
Fenomena menamakan tempat, bangunan, produk dan program menggunakan bahasa Inggeris membawa beberapa implikasi terhadap bahasa Melayu. Apabila program, produk dan tempat tempatan lebih banyak diberikan nama Inggeris, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar budaya, ilmu dan identiti semakin mengecil. Bahasa yang jarang-jarang digunakan akan perlahan-lahan hilang peranannya dalam domain tertentu. Bahasa Melayu juga mengalami risiko dianggap sebagai “bahasa kedua” dalam hal-hal yang dianggap moden atau berprestij. Senario ini secara tidak langsung menghakis rasa bangga masyarakat terhadap martabat bahasa negara sendiri yang memegang status bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Nama Melayu biasanya membawa makna yang indah, berunsur alam, serta berisi falsafah dan nilai budaya. Apabila semuanya dilabelkan dengan nama Inggeris, kita kehilangan lapisan makna ini. Sebagai contoh, Taman Warisan membawa nuansa budaya yang tidak sama jika diterjemahkan menjadi Heritage Garden. Generasi baharu juga berkemungkinan kurang pengetahuan atau tidak cakna dengan kosa kata bahasa Melayu yang indah dan kaya kerana ruang awam mereka dipenuhi istilah dan nama Inggeris. Hal ini akan menjauhkan generasi baharu daripada bahasa sendiri sebagai kesan jangka panjang.
Pendekatan Seimbang: Memelihara Identiti, Menembusi Dunia
Penggunaan nama Inggeris tidak perlu ditolak sepenuhnya. Yang diperlukan ialah kesedaran dan keseimbangan. Beberapa pendekatan boleh dipertimbangkan, misalnya mengetengahkan nama dalam dwibahasa, contohnya Festival Sastera Nusantara – Nusantara Literary Festival. Yang harus dipegang juga ialah mengutamakan konteks. Hal ini bermaksud jika khalayak bersifat tempatan, maka nama Melayu lebih wajar diutamakan atau ditonjolkan, dan jika bertaraf antarabangsa, maka itu nama Inggeris boleh digunakan. Namun begitu, sebaik-baiknya disekalikan dengan nama bahasa Melayu. Usaha memperkasakan kreativiti dalam bahasa Melayu juga harus diketengahkan. Banyak nama Melayu boleh dicipta secara moden dan menarik tanpa kehilangan identiti tempatan. Yang paling penting, penamaan tempat, bangunan, program dan produk haruslah konsisten dengan dasar bahasa kebangsaan. Program kerajaan khususnya perlu memartabatkan bahasa Melayu.
Bahasa Jiwa Bangsa
Nama bukan sekadar label tetapi berperanan memikul identiti, makna dan nilai. Penggunaan nama Inggeris untuk program, produk dan tempat bukanlah suatu kesalahan, malah ada kalanya sangat strategik. Tidak dinafikan bahawa penggunaan bahasa Inggeris bagi penamaan program, produk dan tempat merupakan fenomena yang tidak dapat dielakkan dalam dunia serba global hari ini. Keadaan sedemikian juga mempunyai nilai positif dari segi pemasaran dan keterbukaan antarabangsa.
Namun begitu, kita perlu peka tentang kesannya terhadap bahasa Melayu. Jika tidak dikawal secara bijaksana, kita mungkin berakhir dengan ruang sosial, budaya dan pendidikan yang semakin jauh daripada bahasa kebangsaan sendiri. Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi merupakan jiwa bangsanya. Jika nama pun semakin menjauhinya, maka apakah yang tinggal untuk memaknakan identiti kita? Maka itu, pendekatan paling sesuai ialah bijaksana, seimbang dan menghormati konteks agar bahasa Melayu terus menjadi tunjang identiti, manakala bahasa Inggeris digunakan sebagai jambatan global.
Beberapa contoh nama program dan nama tempat dalam bahasa Inggeris yang terdapat di Malaysia di tunjukkan dalam jadual di bawah. Senarai ini merangkumi sektor kerajaan, pendidikan, komersial, pelancongan dan acara budaya.
| Program/Tempat/Kawasan | Nama Bahasa Inggeris |
| Program Kerajaan | Malaysia Tech Month |
| Digital Economy Forum | |
| National Innovation and Creativity Expo | |
| Smart City International Conference | |
| Global Entrepreneurship Movement | |
| Malaysia Urban Forum | |
| National STEM Showcase | |
| Program Pendidikan dan Universiti | Career and Internship Fair |
| Research and Innovation Week | |
| International Cultural Festival | |
| Global Outreach Programme | |
| Student Entrepreneurship Summit | |
| Green Campus Day | |
| Program Seni, Budaya dan Media | Kuala Lumpur International Film Festival |
| Penang Art Week | |
| Creative Youth Lab | |
| Urban Arts Festival | |
| Contemporary Craft Expo | |
| Startup Weekend Malaysia | |
| Creative Industry Bootcamp | |
| Digital Content Masterclass | |
| Business Accelerator Programme | |
| Fashion Forward Showcase | |
| Pusat Komersial dan Kompleks Beli-Belah | Mid Valley Megamall |
| The Garden Mall | |
| Sunway Pyramid | |
| The Curve | |
| 1Utama Shopping Centre | |
| Cyberjaya Tech Hub | |
| MSC Malaysia Cybercity | |
| Penang Science Cluster | |
| Iskandar Malaysia Studios | |
| Digital Hub Bangsar South | |
| SkyAvenue Genting Highlands | |
| South Key Megacity |