Diterbitkan pada 19 Januari 2026, 17:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ketetapan secara perundangan untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, khususnya untuk peranannya sebagai bahasa rasmi seperti pada papan tanda premis perniagaan bukan sahaja perlu dipatuhi. Perkara ini juga perlu sentiasa dibanggakan dan dilindungi martabatnya pada setiap masa. Ketetapan tersebut tidak boleh diingkari sama sekali dalam apa-apa jua cara. Hal ini demikian kerana perbuatan tersebut bukan sahaja merupakan kesalahan di sisi undang-undang negara, malahan merupakan tindakan tidak patriotik yang tidak menggambarkan keterikatan emosi terhadap negara yang merupakan tanah air kita.

Umum mengetahui bahawa papan tanda premis perniagaan di negara ini tertakluk sepenuhnya pada Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang dalamnya turut termaktub Undang-undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan 1982.  Dalam pada ini, perundangan kecil iklan ini ialah satu-satunya kanun yang menentukan cara papan tanda iklan wajib menggunakan bahasa Melayu. Dalam konteks iklan ini, penggunaan bahasa Melayu dikanunkan secara jelas dan tegas. Oleh hal yang demikian, hal ini menjadi hukum untuk menggunakan bahasa Melayu bagi sebilangan segi yang ditentukan. Saiz huruf bagi bentuk bahasa Melayu mesti jauh lebih besar, kedudukan yang digunakan perlu berada di tempat yang lebih strategik, dan warna yang digunakan bagi bentuk bahasa Melayu tersebut wajar yang lebih signifikan.

Walaupun terdapat perundangan yang nyata dan cekal tentang penggunaan bahasa Melayu, penggunaan bentuk bahasa lain tidak sesekali dilarang. Begitu juga dengan bilangan bahasa yang tidak dihadkan. Maka itu, hal ini bermakna lebih daripada satu bahasa lain boleh digunakan untuk mempamerkan seberapa banyak bentuknya. Apa-apa pun jua dalam hal ini, penggunaan pelbagai bahasa lain itu tidak boleh sesekali wujud secara bersendirian. Bahasa tersebut hendaklah mempunyai padanannya dalam bahasa Melayu. Dengan kata lain, frasa tersebut mestilah diterjemahkan dalam bahasa Melayu pada papan iklan itu juga.

Dalam konteks papan iklan ini, perkara yang paling penting untuk dipatuhi ialah penggunaan bahasa Melayu yang bukan sahaja wajib, tetapi juga tiada kompromi bagi hal tersebut. Bahasa Melayu wajib digunakan pada setiap masa untuk menyampaikan mesej perniagaan, lebih-lebih lagi apabila terdapat penggunaan bahasa lain dalam mesej iklan tersebut. Nama dan logo perniagaan yang dipamerkan hendaklah mengambil bentuk yang didaftarkan untuk syarikat atau barangan perniagaan. Dalam hal ini, nama dan logo tersebut dibenarkan mengambil bentuk bahasa lain dan tidak semestinya dalam bahasa Melayu sahaja.

Perkara terpenting bagi isu penamaan ini ialah penetapan nama pada papan tanda premis tersebut tidak boleh terdiri daripada perkataan sensitif, selain tidak boleh sama dengan atau menyerupai nama dan logo lain yang sedia ada pada mana-mana perniagaan sebelumnya. Di samping unsur sensitiviti dan kesamaan ini, penamaan tersebut tidak boleh sama sekali bersifat mengelirukan, sama ada tentang jenis perniagaan atau status syarikat perniagaan itu. Walaupun nama dan logo dalam bahasa lain dibenarkan, hal ini hendaklah diperjelas maksudnya sewaktu pendaftaran. Sehubungan dengan itu, nama dan logo yang mendapat kelulusan itu tidak perlu diterjemahkan dalam bahasa Melayu. Penamaan syarikat dan logo ini hakikatnya memperlihatkan semangat patriotik rakyat apabila bahasa Melayu diguna pakai. Hal ini demikian kerana nama dan logo dalam bahasa Melayu bukanlah bersifat wajib. Namun begitu, sekiranya pemilik syarikat menjadikan penggunaan bahasa Melayu sebagai pilihan utama, hal ini dilihat sebagai semangat kebangsaan yang kental, selain jati diri kebangsaan yang utuh yang dipamerkan oleh pemilik syarikat tersebut.

Sebaliknya, perkara yang diwajibkan pada papan tanda premis perniagaan ialah mesej perniagaan yang ingin disampaikan. Sehubungan itu, hal tersebut wajib menggunakan bahasa Melayu mengikut setiap ketetapan pada perundangan iklan. Mesej perniagaan yang disampaikan dalam hanya satu bahasa lain atau sebilangan bahasa lain tanpa disertakan apa-apa maklumat perniagaan dalam bahasa Melayu sebagai padanannya adalah tidak dibenarkan dalam apa-apa cara sekalipun. Hal ini turut terpakai walaupun sesuatu produk itu hanya dikhususkan penjualannya kepada pelanggan daripada etnik tertentu.  Walaupun apa-apa pun alasannya, perkara tersebut masih tidak boleh dibenarkan bagi tujuan penyampaian mesej perniagaan yang dijalankan.

Larangan ini bukanlah bersifat sengaja, sebaliknya perlu diambil kira bahawa premis perniagaan terletak di ruang awam yang dapat dilihat oleh semua pihak, walaupun tidak akan dikunjungi oleh etnik yang tidak memerlukan produk tersebut. Namun begitu, dalam konteks faktor ruang awam ini juga, terdapat kewajaran dan kewajipan untuk dipastikan bahawa mesej perniagaan pada papan tanda premis perniagaan tersebut difahami dengan mudah oleh semua pihak untuk apa-apa jua tujuan. Natijahnya, semua rakyat Malaysia wajib dipastikan hak mereka untuk sama-sama memahami mesej yang ingin disampaikan bagi sesuatu pemakluman, waima hal tersebut mungkin tidak ada apa-apa perkaitan langsung dengan mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana perkara atau maklumat yang dipamerkan secara umum berhak diketahui maklumatnya oleh semua pihak. Oleh itu, hal tersebut mestilah disampaikan dalam bahasa yang dapat difahami dengan baik oleh semua golongan tanpa mengira kaum dan etnik. Bahasa yang wajar digunakan tidak lain dan tidak bukan ialah bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini, sama ada berfungsi sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi.

Pandangan sesetengah pihak dalam kalangan rakyat yang mahu terus bertegas dalam hal penggunaan bahasa tertentu sahaja, adalah tidak betul. Mereka berpendapat bahawa tiada keperluan langsung bagi penggunaan bahasa Melayu kerana mesej perniagaan yang ingin disampaikan sangat khusus sifatnya dan hanya melibatkan etnik tertentu. Pemikiran sebegini adalah tidak tepat sama sekali. Hal ini menggambarkan sikap mementingkan diri sendiri dengan hanya mengutamakan kepentingan etnik sendiri dalam negara yang sama-sama didiami oleh pelbagai etnik yang lain. Budaya individualistik ini pasti akan menyinggung perasaan pelbagai pihak lain. Tindakan ini bukan sahaja langsung tidak prihatin terhadap kepentingan masyarakat majoriti, malah turut  membelakangkan budaya kolektivisme yang merupakan cara hidup unggul lagi afdal untuk kependudukan yang bersifat majmuk seperti Malaysia.

Penelitian Semula Undang-undang Berkaitan dengan Bahasa dan Iklan

Sungguhpun demikian, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini penting seperti yang termaktub pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, namun cakupannya didapati amat terhad. Perlembagaan yang digubal pada tahun 1957 ini hanya dikaitkan semata-mata dengan urusan oleh dan dengan kerajaan pusat, negeri dan badan awam khususnya bagi urusan surat-menyurat dan dokumentasi semata-mata. Oleh hal yang demikian, sudah sampai masanya cakupan ini diperhalus untuk diperluas. Antara penambahbaikan yang diperlukan termasuklah tentang pemakluman yang ingin disampaikan di ruang awam. Pemakluman ini wajib dilaksanakan dengan menggunakan bahasa Melayu sahaja. Maka itu, sepanduk yang mengandungi bentuk bahasa tertentu, sama ada separa, apatah lagi sepenuhnya yang digantung di ruang awam tidak lagi dibenarkan. Hal ini berikutan bentuk bahasa lain tidak dapat difahami dengan mudah dan cepat oleh semua pihak yang melihat dan ingin mengetahui mesej yang ingin disampaikan.

Perundangan iklan yang digubal pada tahun 1982 itu juga perlu diteliti semula. Perkara ini penting agar sebarang kelompongan yang terdapat padanya dapat ditutupi demi mengangkat martabat bahasa Melayu selaku bahasa negara. Hal ini dikatakan demikian kerana paparan nama dan logo perniagaan semata-mata, walaupun dalam bahasa Melayu sepenuhnya tidak boleh sesekali dianggap sebagai sudah menggunakan bahasa Melayu seperti yang ditentukan oleh undang-undang tersebut. Dalam hal ini, perkara tersebut sebenarnya masih sangat jauh daripada memenuhi peruntukan yang terdapat dalam undang-undang iklan itu. Hal ini disebabkan dalam hal-hal lain khususnya penyampaian mesej perniagaan adalah bukan dalam bahasa Melayu yang sepatutnya diikuti dengan padanannya dalam bahasa Melayu.

Menyemai Sikap Positif terhadap Bahasa Negara

Selain meneliti semula peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan 1982, sikap rakyat terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang negatif hendaklah diubah serta-merta. Hal ini dapat dilaksanakan berdasarkan langkah-langkah yang berikut:

■ Menyemai kesedaran tentang norma bahasa Melayu. Langkah ini menunjukkan bahawa rakyat hendaklah diberi kesedaran tentang penggunaan bahasa Melayu yang tepat, iaitu bahasa yang baik dan betul. Dengan memberikan kesedaran tentang kewajipan menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa negara, bahasa Melayu bukan sahaja menjadi keutamaan, tetapi juga diletakkan di tempat yang sewajarnya sebagai bahasa negara agar sejajar dengan peruntukan perundangan yang ditetapkan. Sehubungan dengan kesedaran ini, bahasa Melayu hendaklah diperlakukan dengan penuh kebijaksanaan, yakni dengan ketertiban dan kerasionalan. Oleh itu, setiap rakyat pelbagai lapisan perlu memahami bahawa bahasa Melayu berperanan sebagai identiti nasional bagi negara dan identiti budaya bagi rakyat Malaysia.

■ Memupuk rasa cinta terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Rakyat hendaklah dididik untuk berasa bangga terhadap bahasa Melayu dengan pelbagai cara. Antaranya termasuklah dengan menggunakannya pada setiap masa sebagai lambang kenegaraan selain selaku identiti peribadi rakyat Malaysia. Sesungguhnya kebanggaan begini bukan sahaja memperlihatkan sentimen positif terhadap bahasa Melayu, malahan sentimen progresif daripada rakyat terhadap tanah air kepada mereka.

■ Membentuk pemikiran yang mendorong rakyat untuk memastikan kejayaan bahasa Melayu sebagai kesetiaan terhadapnya. Bahasa Melayu hendaklah dilindungi pada setiap masa daripada persepsi buruk dan bahaya akibat diancam oleh bahasa asing dari luar. Di samping ini, bahasa Melayu juga hendaklah dilindungi daripada apa-apa jua kesan negatif yang didatangkan oleh bahasa lain dari dalam. Sehubungan dengan kesetiaan ini, antara cara untuk memperlihatkan komitmen yang tidak berbelah bahagi rakyat terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa negara termasuklah dengan menggunakannya dalam semua keadaan, sama ada formal mahupun tidak formal pada setiap masa. Selain penggunaan secara konsisten ini yang patriotik sifatnya, rakyat juga perlu dididik untuk memastikan bahasa Melayu terus berjaya.

Sesungguhnya bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ialah cerminan negara dan rakyatnya sebagai imej di dalamnya. Melalui cermin inilah bahasa Melayu memperlihatkan keadaan sebenarnya yang berlaku terhadap negara dan rakyat Malaysia. Oleh sebab itu, pengertian yang diberikan terhadap bahasa Melayu oleh rakyat mencerminkan perkara yang sebenarnya sedang berlaku di Malaysia dan dalam kalangan rakyatnya. Apabila bahasa Melayu tidak disedari akan normanya, tidak dibanggakan dan ditaati oleh rakyatnya, hal ini memberikan gambaran penuh dan tepat tentang sifat negara dan sikap rakyat Malaysia khususnya dari segi sosiolinguistik yang jelas memperlihatkan hubungan bahasa Melayu dengan rakyat yang tidak selari.

Oleh itu, bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang merupakan lambang kebesaran negara hendaklah dipastikan selalu berkembang pesat, yakni positif dan progresif. Hal ini penting bukan sahaja untuk terus mendukung, tetapi juga menobatkan identiti nasional bagi negara dan identiti budaya bagi rakyat Malaysia. Kepentingan bahasa Melayu dalam konteks kedua-dua identiti ini bukan sahaja pada peringatan sejarah tanah air, tetapi juga terhadap pemikiran dan kelakuan rakyat yang selari dengan warisan tanah air.

 

Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong merupakan Felo Penyelidik  Utama di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi