Diterbitkan pada 22 Januari 2026, 12:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek atas keprihatinan terhadap usaha memartabatkan bahasa Melayu melalui pelaksanaan Sekolah Angkat DBP yang telah digariskan dalam Amanat Tahun Baharu 2026 yang disampaikan oleh beliau, baru-baru ini.

Menurut kenyataan media DBP, inisiatif ini akan melibatkan 20 buah sekolah terpilih bertujuan melahirkan generasi bakat bahasa sejak usia muda dalam kalangan pelajar pelbagai kaum, bangsa dan agama.

Tambahan lagi, DBP menyatakan bahawa Program Sekolah Angkat DBP ini merupakan satu pendekatan strategik bagi memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan wahana perpaduan.

Menerusi pelaksanaan program ini, DBP akan melaksanakan pelbagai inisiatif pemartabatan bahasa dan sastera termasuklah bimbingan penulisan kreatif dan akademik, pengucapan awam, kelab membaca DBP dan apresiasi kesusasteraan pemerkasaan profesionalisme guru. Program ini turut melibatkan khidmat pakar bahasa, penulis, sasterawan negara dan tokoh bahasa sebagai mentor kepada murid dan guru.

Sehubungan dengan itu, DBP beriltizam untuk memastikan program ini dilaksanakan secara berterusan dengan sokongan padu daripada Kementerian Pendidikan, pihak sekolah serta rakan strategik yang terlibat.

DBP menegaskan,

Usaha ini diharapkan dapat melahirkan penulis, ilmuwan dan pemimpin masa hadapan yang mampu memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi