Diterbitkan pada 13 Februari 2026, 12:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada era teknologi pendigitalan dan penstriman hari ini, tidak dinafikan sedikit banyak menggugat peranan radio. Namun begitu, pada hakikatnya radio masih kekal relevan dan menjadi pilihan masyarakat negara kita untuk mendapatkan maklumat semasa atau pun sekadar melayan celoteh penyampai radio sambil mendengar lagu kegemaran, terutamanya ketika seseorang berada di dalam kereta. Oleh sebab itulah, radio walaupun dilabel sebagai media konvensional yang kurang menjadi pilihan generasi muda sebenarnya tetap mempunyai peranan yang besar dalam usaha menyalurkan maklumat dan memberikan kesedaran kepada masyarakat.

Satu daripada peranan radio yang perlu diberi perhatian ialah fungsinya untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Sejarah penciptaan radio di dunia bermula pada tahun 1896 apabila radio telah dicipta oleh saintis terkemuka Guglielmo Marconi. Di negara kita pula, sejarah radio bermula apabila seorang jurutera elektrik kerajaan Johor, Al Birch membawa set radio pertama ke negara ini yang kemudiannya menubuhkan Persatuan Wireless Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Penyiaran radio secara profesional di negara kita bermula apabila Sir Shenton Thomas mengikuti usaha untuk membuka Studio Perbadanan Penyiaran British dengan menggunakan pemancarnya di Caldecott Hill, Singapura pada 11 Mac 1937. Pada 1 April 1946, Jabatan Penyiaran ditubuhkan di Singapura dan pembangunan perkhidmatan radio dilihat bertambah penting apabila darurat diisytiharkan pada 1948. Bidang penyiaran di negara kita semakin berkembang dan beberapa stesen radio kemudian diwujudkan di seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

Dengan berkembangnya stesen penyiaran radio negara kita, peranan radio dilihat sebagai antara medium penyampaian maklumat utama kepada masyarakat yang tidak dapat dinafikan. Bukan itu sahaja, sebanyak 33 rangkaian stesen radio berbahasa Melayu di negara ini, tidak termasuk jumlah radio secara dalam talian yang tidak berdaftar sebenarnya mampu menggalas tanggungjawab memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 19 stesen radio berada di bawah kendalian Radio Televisyen Malaysia (RTM), 12 stesen milik Astro Radio dan selebihnya sebanyak dua rangkaian merupakan radio separa kerajaan. Masyarakat Malaysia juga tidak sewajarnya memberikan alasan tidak mendengar stesen radio berbahasa Melayu kerana mereka mempunyai sebanyak 33 pilihan siaran untuk didengar.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan yang menjadi penggerak dalam usaha pemartabatan bahasa Melayu di negara ini juga mengiktiraf radio sebagai antara media massa yang mampu memartabatkan bahasa Melayu. Dalam usaha tersebut, DBP telah menjalin kerjasama dengan RTM, Astro Radio News dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) untuk terus memperkukuh penggunaan dan pemartabatan bahasa Melayu.

Rancangan “Cakna Bahasa” yang bersiaran pada setiap hari Khamis pukul 2.30 petang melalui Bernama Radio merupakan kerjasama pihak DBP dengan Bernama. Melalui rancangan tersebut, pendengar disajikan dengan topik yang berbeza-beza setiap minggu, berkaitan dengan bahasa Melayu, sastera dan program terkini anjuran DBP.

Topik menarik yang pernah disiarkan antaranya termasuklah “Kamus: Sahabat Setia Pengguna”, “Penggunaan Bahasa Melayu dalam Media Penyiaran” dan “Teori Asal Usul Bahasa”. Topik berbeza yang ditampilkan dalam rancangan tersebut bukan sahaja menarik malah mampu memberikan pelbagai maklumat berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat. Kerjasama DBP sebagai organisasi yang dipertanggungjawabkan untuk memartabatkan bahasa Melayu dengan Bernama Radio melalui segmen “Cakna Bahasa” ini merupakan langkah terbaik untuk terus mendidik masyarakat menggunakan bahasa Melayu yang betul, seterusnya memartabatkannya sebagai bahasa kebangsaan di negara kita.

Sementara itu, radio di negara kita juga memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan menyebarluaskan dialek atau longat tempatan agar warisan ini terus hidup subur dalam kalangan rakyat terutamanya generasi muda hari ini.

Dialek yang berbeza antara satu kawasan dengan kawasan yang lain walaupun berada dalam satu negeri yang sama adalah unik dan bukanlah bahasa standard yang diguna pakai secara meluas terutamanya dalam urusan rasmi. Radio Kelantan FM dan Radio Kedah FM contohnya mempunyai rancangan khas berkaitan dengan dialek. Segmen “Kayanya Bahasa Kita” terbitan radio Kelantan FM yang ke udara pada setiap hari Rabu, pukul 8.10 pagi kini mendapat sambutan hangat daripada pendengar. Para pendengar diperkenalkan dengan kosa kata dalam dialek Kelantan yang agak asing agar dapat menghidupkan semula kosa kata dialek itu yang telah lama tidak didengari atau digunakan oleh penutur dialek tersebut. Segmen ini mulai diperkenalkan pada tahun 2016 yang pada awal pengenalannya ke udara pada setiap hari Khamis, pukul 5.30 petang. Segmen ini bukan sahaja membolehkan masyarakat negeri Kelantan semata-mata, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia untuk mempelajari kosa kata dialek tersebut. Selain radio Kelantan FM, radio Kedah FM juga mempunyai segmen atau rancangan khas yang mengetengahkan loghat Kedah. Rancangan “Loghat Kedah” yang ke udara pada setiap hari Sabtu, pukul 9.15 pagi ini menampilkan penulis tersohor Kedah, Puan Amelia Hashim. Melalui rancangan ini, para pendengar disajikan dengan pelbagai kosa kata loghat Kedah seterusnya memastikan warisan budaya ini kekal terpelihara. Kedua-dua rancangan ini juga merupakan kerjasama radio berkenaan bersama-sama DBP Wilayah Timur dan DBP Wilayah Utara.

Di samping slot rancangan, terdapat juga stesen radio yang mengajurkan kuiz yang berkaitan dengan bahasa dalam usahanya memartabatkan bahasa Melayu di negara kita. Radio Pahang FM dan stesen radio KLfm dengan kerjasama DBP Wilayah Tengah contohnya menganjurkan kuiz “Indahnya Bahasa”. Para pendengar di dua stesen radio tersebut perlu mendengar istilah yang diberikan oleh penyampai radio dalam kapsul “Indahnya Bahasa” dan seterusnya menjawab soalan yang diberikan. Pemenang kuiz berpeluang memenangai hadiah wang tunai sebanyak RM100.00 bagi jawapan yang tepat. Kuiz secara santai dengan tawaran hadiah wang tunai sudah semestinya mampu menarik minat masyarakat untuk mendengar dan mempelajari istilah yang tepat dan sesuai berkaitan dengan bahasa Melayu. Dalam dunia moden kini, kebanyakan daripada kita masih kurang mahir menggunakan istilah bahasa Melayu dengan betul dan tepat.

Bukan sahaja memartabatkan penggunaan bahasa Melayu, radio juga berperanan melestarikan warisan Melayu yang membuktikan ketinggian akal pemikiran orang Melayu, iaitu pantun. Antara stesen radio yang pernah menganjurkan pertandingan Pantun Teka-Teki di negara ini termasuklah radio JohorFM dan radio Suria FM. Radio JohorFM dengan kerjasama DBP Wilayah Selatan pernah menganjurkan Pertandingan Pantun Teka-Teki sebanyak 40 episod pada tahun 2023. Para pendengar perlu menjawab pantun teka-teki yang diutarakan oleh penyampai radio dalam segmen tersebut dalam bentuk pantun. Setiap pemenang yang menjawab dengan betul akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM50.00.

Selain rancangan, peranan radio dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu juga dapat dilihat pada gaya penyampai radio berkenaan. Penyampai radio walaupun dianggap sebagai pekerjaan glamor, tetapi sebenarnya kerjaya ini memikul tanggungjawab besar. Penyampai radio bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan kepada masyarakat, bahkan mereka juga mempunyai peranan besar untuk memartabatkan bahasa Melayu setiap kali ke udara di radio. Kini, penggunaan bahasa rojak yang merupakan bahasa campuran lebih daripada satu bahasa semakin berleluasa dalam masyarakat.

Penyampai radio sebagai antara individu berpengaruh berupaya mempengaruhi masyarakat dengan memperlihatkan teladan melalui penggunaan bahasa Melayu yang betul dan menggunakan campuran bahasa asing semasa ke udara seminimum yang boleh.

Menurut Profesor Adjung di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dato’ Haji Chuari Selamat, penyampai radio bertanggungjawab dalam usaha memartabatkan bahasa dan tidak salah bagi mereka untuk mengikut trend. Walau bagaimanapun, penyampai radio tidak boleh mengikut trend secara melulu sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kesimpulannya, radio sebagai media massa konvensional mampu menjadi antara media efektif yang memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia. Melalui kandungan rancangan yang berkualiti, pendekatan interaktif seperti kuiz dan penggunaan bahasa Melayu yang tepat oleh penyampainya, radio mampu memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat negara kita. Tambahan pula, capaian radio yang meluas dalam masyarakat Malaysia dan sering menjadi pilihan utama para pendengar dalam kenderaan membolehkan radio terus memainkan peranan aktif untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi