Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerkembangan teknologi di Malaysia memperlihatkan pelibatan masyarakat yang sangat ketara, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dalam pelbagai aspek kehidupan (Balakrishnan, 2015). Kebergantungan remaja terhadap Internet menyebabkan remaja mengalami gejala ketagihan Internet dan berisiko untuk menjadi mangsa buli siber. Daripada kenyataan ini, National Health and Morbidity Survey (NHMS), mendapati bahawa 85.6 peratus remaja menggunakan Internet dan 29 peratus daripadanya terjebak dalam ketagihan Internet.
Statistik daripada NHMS ini juga disokong oleh Laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada tahun 2017, penggunaan Internet yang paling tinggi dalam kalangan remaja adalah berdasarkan komunikasi secara dalam talian, iaitu sebanyak 96.3 peratus yang merangkumi 89.3 peratus menerusi media sosial; mendapatkan maklumat sebanyak 86.9 peratus; mendengar muzik dalam talian sebanyak 89.3 peratus; menonton dan muat turun video sebanyak 70 peratus; dan mencari bahan pembelajaran sebanyak 68.6 peratus. Berdasarkan kadar penggunaan Internet dan media sosial yang tinggi dalam kalangan remaja, sebahagian besar daripada mereka ini terdedah kepada jenayah buli siber.
Safiek Mokhlis (2019) mendapati bahawa buli siber merupakan antara bentuk gangguan yang paling kerap berlaku, khususnya dalam kalangan remaja masa ini yang lahir dalam dunia serba digital dan berteknologi. Berdasarkan Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2020, Malaysia berada pada kedudukan kedua di Asia bagi kes buli siber selepas India dan tiga daripada 10 remaja di Malaysia pernah menjadi mangsa buli melalui media sosial.
Balakrishnan (2015) menyatakan bahawa buli siber berlaku dalam pelbagai bentuk, misalnya menghantar kata-kata kesat melalui pesanan ringkas, e-mel atau laman rangkaian media sosial; menyebarkan berita yang tidak sahih dan menyebarkan gambar atau mesej berunsur lucah dengan niat untuk menakut-takutkan dan mengaibkan mangsa. Kenyataan ini ditambah melalui kajian Thai et al. (2022) yang mengatakan bahawa buli siber kini telah berkembang menjadi pelbagai bentuk seperti budaya batal (cancel culture), intai siber (cyberstalking), penyebaran berita berbentuk provokasi (flaming), hasutan maya (trolling), dan penyamaran.
Patchin dan Hinduja (2019) juga menyokong bahawa buli siber berbentuk hantaran berbaur lucah merupakan perbuatan yang semakin meningkat dalam kalangan pelajar sekolah menengah di Amerika Syarikat. Smith et al., (2008) juga mendefinisikan bahawa perlakuan buli siber sebagai tindakan agresif yang disengajakan dengan menggunakan bentuk hubungan elektronik seperti laman rangkaian sosial secara berulang kali dan dari masa ke masa terhadap mangsa yang tidak dapat mempertahankan diri dengan mudah.
Buli siber bermula dengan penggunaan ketidaksantunan dalam setiap suapan yang dibuat oleh pengguna media sosial. Azinura Hani dan Mohammad Rahim (2019) mendapati bahawa ketidaksantunan bahasa dan etika media sosial dalam kalangan remaja dilihat sebagai punca wujudnya perlakuan buli siber. Kebanyakan remaja tidak melihat penggunaan kata-kata kesat yang berunsur lucah dalam perbualan dalam talian sebagai satu kesalahan.
Perbuatan buli siber lebih dahsyat daripada perbuatan membuli yang lain. Dalam dunia siber yang tidak bersempadan, buli begitu mudah berlaku tanpa diketahui oleh pelakunya. Menurut Juvonen dan Gross (2008), buli siber terjadi apabila pelaku yang tidak dikenali dalam ruang siber mengirimkan kandungan mesej, gambar atau video dengan niat untuk mengganggu, memalukan, memfitnah, menyakitkan hati, mengugut atau menghina, sehingga akhirnya menjatuhkan maruah mangsa. Sehubungan dengan itu, artikel ini akan membincangkan kesan ketidaksantunan berbahasa dan perkaitannya dengan buli siber.
Kesan Psikologi
Penggunaan bahasa yang tidak santun secara tidak langsung memberikan kesan yang negatif terhadap kesihatan mental seseorang. Individu yang dibuli secara siber besar kemungkinan mengalami gangguan psikologi. Suriani dan Khadijah Alavi (2018) berpendapat bahawa kesan buli siber dapat dipecahkan kepada tiga, iaitu emosi, fizikal dan psikologi yang memperlihatkan kesan terhadap emosi merupakan kesan yang paling mendalam yang boleh mengakibatkan impak yang lebih besar terhadap fizikal dan psikologi.
Menurut Wan Hasan et al. (2015) juga, fenomena buli siber memberikan kesan yang sangat negatif kepada mangsa terutamanya dari sudut psikologi. Hal ini demikian kerana penggunaan bahasa yang digunakan di media sosial mempengaruhi emosi mangsa hingga menyebabkan mangsa mengalami kesedihan, kemurungan, ketakutan dan kemarahan. Selain itu, mangsa buli juga merasakan harga dirinya sangat rendah, tahap kemurungan yang tinggi, masalah tingkah laku, penyalahgunaan bahan dan mengalami masalah dalam kehidupan, malah mengakibatkan tingkah laku bunuh diri.
Selain itu, kesan psikologi daripada ketidaksantunan menyebabkan mangsa buli mengalami gangguan dan tekanan emosi seperti berasa sedih, kecewa dan marah sehingga menjejaskan kesihatan fizikal mangsa. Keadaan ini berpunca daripada aktiviti pembulian yang berlaku dalam dunia maya, terutamanya di media sosial. Isu buli siber seperti hasutan maya, gangguan seksual, pengantunan seksual dan penghinaan rupa fizikal mengakibatkan fenomena ketidaksantunan berbahasa di media sosial semakin berleluasa. Jelaslah bahawa penggunaan bahasa yang tidak santun akan mengakibatkan pelbagai impak negatif dalam sesuatu komunikasi di media sosial dan seterusnya menyebabkan kes buli siber terus berlaku dan sukar dibendung.
Kesan Fizikal
Kesan ketidaksantunan berbahasa terhadap fizikal seseorang boleh mengakibatkan aktiviti sehari-harian mangsa terjejas seperti kurang bersosial, mengalami masalah gangguan tidur, hilang selera makan dan seterusnya menyebabkan prestasi pembelajaran mangsa merosot. Mangsa buli siber juga cenderung untuk melakukan tindakan di luar kawalan hingga peringkat membunuh diri. Patchin dan Hinduja (2010) mengatakan bahawa mangsa buli atau buli siber dua kali ganda berkemungkinan memilih untuk membunuh diri berbanding dengan remaja yang tidak pernah mengalami kedua-dua bentuk pembulian tersebut. Tekanan yang dihadapi menyebabkan keinginan mangsa untuk melakukan tindakan bunuh diri semakin meningkat. Hal ini seperti yang terjadi di Malaysia, iaitu pempengaruh TikTok, Rajeswary atau Esha yang membunuh diri akibat daripada menjadi mangsa buli siber.
Selain kecenderungan membunuh diri, mangsa buli siber juga berkemungkinan mencederakan diri sendiri akibat daripada kesan penggunaan bahasa yang tidak santun terutamanya dalam media sosial. Penggunaan bahasa yang tidak santun seperti ejekan tubuh (body shaming), gangguan seksual, provokasi dan pengantunan seksual (sexual grooming) menyebabkan ramai mangsa buli siber berkecenderungan untuk mencederakan diri sendiri akibat tekanan perasaan dan emosi yang diterima. Penggunaan kata yang tidak santun amat memberikan kesan yang mendalam kepada individu terutamanya dari aspek kesan fizikal. Selain mencederakan diri, individu atau mangsa buli juga berkecenderungan untuk tidak menjaga kesihatan seperti mengabaikan pengambilan makanan yang berkhasiat, merokok, mengambil minuman keras dan penyalahgunaan bahan.
Kesan Sosial
Secara praktikalnya, kesan daripada penggunaan bahasa yang tidak santun akan menyebabkan mangsa tidak mempunyai keyakinan untuk bersosial, gagal meluahkan perasaan, kemerosotan hubungan sosial, peningkatan konflik, nilai murni dan pengasingan diri. Kesan ini memberikan implikasi yang buruk terhadap kehidupan mangsa kerana aktiviti harian mangsa akan terganggu seperti pendidikan, kesihatan dan sosial. Hal ini juga memberikan kesan sosial yang negatif kepada mangsa termasuklah ketakutan, kegelisahan, kemurungan dan gangguan tidur dan makan.
Selain memberikan kesan kepada masyarakat, terdapat juga faktor yang menyebabkan buli siber berlaku. Antara faktor tersebut ialah faktor normalisasi ketidaksantunan, hasutan maya (troll) dan gangguan seksual.
Faktor Normalisasi Ketidaksantunan Bahasa
Platform media sosial seperti Facebook, X, TikTok dan Instagram menjadi platform utama dalam komunikasi media popular kini. Kebebasan bersuara tanpa kawalan yang ketat menyebabkan pengguna berasa bebas untuk mengekspresikan pendapat tanpa memikirkan kesan terhadap orang lain. Fenomena ini memberikan dan menyumbang kepada normalisasi ketidaksantunan dalam komunikasi dalam talian. Dalam penormalisasian ketidaksantunan dalam komunikasi ini, terdapat tiga faktor utama, iaitu kebebasan tanpa sempadan, pengaruh budaya pop, media massa dan kurangnya pendidikan kesantunan berbahasa. Oleh sebab itu, penyebaran budaya ketidaksantunan akan menjadi lebih mudah dan meluas. Hal ini dapat dilihat dalam media sosial khususnya yang digunakan secara maksimum oleh pengguna yang menyalahgunakan media tersebut sehingga menyebabkan ketidaksantunan berlaku.
Pengaruh media sosial dan budaya digital seperti Facebook, X, TikTok dan Instagram menjadi platform utama komunikasi harian. Kebebasan bersuara tanpa kawalan yang ketat menyebabkan pengguna berasa bebas untuk mengekspresikan pendapat tanpa memikirkan kesan kepada orang lain. Fenomena ini menjadi penyumbang terhadap normalisasi ketidaksantunan berbahasa dalam komunikasi dalam talian.
Selain itu, budaya pop juga merupakan antara faktor normalisasi ketidaksantunan. Budaya pop sering memaparkan watak atau personaliti yang menggunakan bahasa kasar sebagai simbol kekuatan atau kejujuran. Pengaruh ini boleh menyebabkan penonton, terutamanya golongan muda, meniru gaya komunikasi tersebut dan menganggapnya sebagai norma sosial yang boleh diterima. Selain budaya pop dan media massa, faktor kurangnya pendidikan kesantunan berbahasa juga menjadi faktor utama dalam berlakunya normalisasi ketidaksantunan. Hal ini disebabkan oleh sistem pendidikan yang kurang menekankan aspek kesantunan dalam komunikasi boleh menyebabkan generasi muda tidak memahami pentingnya berbahasa dengan sopan. Tanpa pendidikan yang menekankan nilai-nilai kesopanan, individu tidak menyedari bahawa penggunaan bahasa yang kasar boleh menyinggung perasaan orang lain dan merosakkan hubungan sosial.
Faktor Hasutan Maya
Pada era digital yang serba pantas, media sosial menjadi platform utama untuk berkomunikasi dan berkongsi maklumat. Namun begitu, kebebasan yang ditawarkan oleh ruang maya ini sering disalahgunakan untuk menyebarkan hasutan dan ketidaksantunan berbahasa. Hasutan maya merujuk tindakan menghasut atau mempengaruhi orang lain melalui platform digital untuk melakukan sesuatu yang negatif, seperti menyebarkan kebencian, fitnah atau provokasi. Fenomena ini bukan sahaja mencemarkan kesantunan dalam komunikasi, tetapi juga mengancam keharmonian sosial.
Pengguna media sosial sering bersembunyi di sebalik identiti palsu atau tanpa nama sebenar, menjadikan mereka berani untuk mengeluarkan kenyataan yang tidak sopan atau menghasut tanpa rasa takut akan akibatnya. Ketiadaan akauntabiliti ini mendorong penyebaran hasutan dan ketidaksantunan berbahasa. Media sosial yang digunakan membolehkan penyebaran maklumat secara pantas dan meluas. Kandungan yang bersifat provokatif atau sensasi lebih mudah menarik perhatian, menyebabkan pengguna terdorong untuk menghasilkan atau berkongsi kandungan yang mengandungi hasutan atau bahasa yang tidak sopan.
Budaya pop dan media massa sering memaparkan watak atau personaliti yang menggunakan bahasa kasar sebagai simbol kekuatan dan kejujuran. Pengaruh ini boleh menyebabkan penonton, terutamanya golongan muda meniru gaya komunikasi tersebut dan menganggapnya sebagai norma sosial yang boleh diterima.
Faktor Gangguan Seksual
Umumnya, gangguan seksual kerap berlaku secara fizikal, namun kini segalanya mulai menular di alam maya. Ganguan seksual merupakan satu tindakan negatif yang boleh menyebabkan mangsa berasa tidak selesa dan marah atas perbuatan tersebut. Mohd. Azrin dan Nurul Fatihah (2020) turut mengatakan bahawa gangguan seksual di media sosial kebiasaannya berbentuk komen atau menerima mesej yang agak mengganggu pengguna. Mesej yang tidak sopan atau berunsur lucah mewujudkan rasa tidak selesa kepada pengguna media sosial yang menjadi mangsa kepada pelaku seksual ini. Oleh itu, penggunaan kata yang berunsur lucah dan penyebaran bahan lucah kepada orang lain turut menyumbang kepada gangguan seksual. Hal ini sering terjadi di laman rangkaian media sosial dan melalui permainan atas talian. Pembuli menggunakan mangsa sebagai tempat untuk melampiaskan nafsu dengan berbual menggunakan perkataan berunsur lucah.
Selain itu, mangsa juga diugut oleh pembuli untuk memutuskan persahabatan antara mereka sekiranya tidak menghantar gambar yang berunsurkan pornografi kepada pembuli. Mangsa bukan sahaja diugut memutuskan persahabatan, tetapi mangsa juga diugut secara seksual, iaitu merogol. Selain itu, aktiviti permainan atas talian juga tidak terkecuali daripada gangguan seksual. Menurut Fatim Alia Mohd. Noor (2022) terdapat mangsa mendakwa pembuli menyapa dan mengajaknya untuk berbual berkenaan perkara-perkara yang berunsur lucah serta melayani nafsunya semasa mereka melayari permainan dalam talian.
Ketidaksantunan berbahasa yang mencetuskan buli siber merupakan salah satu jenayah siber yang wujud seiring dengan perkembangan teknologi dan hal ini amat membimbangkan. Terdapat kepentingan bagi isu ini untuk ditelusuri bagi mengurangkan jenayah ini berlaku secara berterusan. Melalui penulisan ini, tindakan daripada diri sendiri amat penting seperti sentiasa menggunakan bahasa yang santun, elakkan penggunaan bahasa yang kasar, kesat dan lucah, dan sentiasa memilih rakan sebaya yang betul dan tepat.
Buli siber menjadi lebih parah apabila ledakan TMK dan penggunaan telefon pintar tanpa batasan memberikan ruang yang luas kepada masyarakat untuk melakukan pelbagai perkara termasuklah buli siber. Penggunaan telefon bimbit dan media sosial membuka ruang komunikasi tanpa sempadan, seterusnya perkara ini mendedahkan pelajar kepada buli siber. Mesej berunsurkan ketidaksantunan, foto, dan video berunsur gangguan, ancaman dan ugutan dengan mudah dapat dihantar oleh individu yang tidak dikenali melalui media massa. Kini, buli siber telah mula menjadi satu bentuk jenayah baru dalam kalangan remaja yang bakal mendatangkan implikasi yang negatif. Jika tidak diberikan perhatian yang sewajarnya, buli siber boleh mendatangkan masalah yang lebih besar dan kompleks kepada sistem dan nilai sosial masyarakat.