Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeberang Jaya – Program Ziarah Jawi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diteruskan lagi di Bazar Ramadan Jalan Tenggiri, Bandar Seberang Jaya Pulau Pinang pada petang tadi.
Penganjurannya pada kali ini menyaksikan kehadiran Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek bersama-sama dengan Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari meninjau gerai yang berada di bazar berkenaan.
Dalam program ini, YB Fadhlina Sidek turut menyampaikan cenderamata kepada para peniaga sebagai tanda kenang-kenangan kerana memartabatkan bahasa kebangsaan dalam perniagaan mereka.
Program berkenaan melibatkan inisiatif pemasangan papan tanda khas yang merangkumi ejaan bahasa Melayu yang betul, tulisan Jawi, istilah makanan dalam bahasa Melayu serta pantun Ramadan.

Pada masa yang sama, penganjurannya bertujuan untuk mendidik dan mempromosikan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dalam kalangan masyarakat serta memperkukuh penghayatan terhadap tulisan Jawi.
Sepanjang pemerhatian pihak DBP, para pengunjung turut teruja dengan kehadiran papan tanda tersebut di sekitar bazar Ramadan berkenaan.
Sementara itu, wartawan JendelaDBP berkesempatan menemu bual seorang peniaga di bazar berkenaan, iaitu Encik Azwan. Menurut beliau,
“DBP telah memulakan satu langkah yang baik dengan memperkenalkan semula tulisan jawi di sekitar bazar ini,
“Saya lihat anak muda yang datang dan baca papan tanda tersebut teruja untuk tahu cara ejaan sebenar dalam tulisan Jawi.”

Selain itu, Puan Aina yang merupakan peniaga daging bakar turut menyatakan reaksi terhadap pengunjung yang hadir melihat inisiatif DBP ini,
“Pertama kali orang (pengunjung) nampak papan tanda ni, mereka buat tak tahu. Tapi bila lalu setiap kedai, nampak papan tanda ni mereka ralit baca sambil tunggu pesanan makanan mereka siap,” katanya.
Program ini turut dimeriahkan lagi dengan pemberian air percuma oleh YB Fadhlina Sidek kepada para pengunjung yang hadir. DBP akan terus memperkukuh jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan negara.
Yang turut hadir dalam program ini termasuklah Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Shahrrul Rizal Hashim; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah Md Yunus; dan Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-Kanak dan Remaja, YBrs. Encik Mohd Azam Juhari; dan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Puan Norhasmanalinda Mustapha.