Diterbitkan pada 2 April 2026, 18:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan menegaskan bahawa jati diri kebangsaan perlu dipasakkan dalam jiwa masyarakat bagi mendepani pelbagai polemik budaya dan sosial yang melanda di negara ini.

Dalam bual bicara yang bertajuk “Jati Diri dalam Sajak”, Pengarah DBP Wilayah Selatan, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Syaidul Azam Kamarudin memperkenalkan fungsi dan peranan strategik DBP Wilayah Selatan yang berpusat di Larkin Perdana sejak tahun 2001. DBP Wilayah Selatan mengemudi wilayah Johor serta Melaka melalui misi utama dengan merangka program khusus yang merangkumi aktiviti bahasa, sastera, dan penerbitan berteraskan pengembangan bahasa kebangsaan di zon selatan.

Beliau turut menekankan peranan cawangan tersebut dalam diplomasi kebahasaan dengan memanfaatkan kedudukan geografi yang berhampiran dengan Singapura bagi menjalin hubungan kebudayaan serta kesusasteraan pada peringkat antarabangsa. Hal ini sekali gus bertindak sebagai badan berautoriti bagi memastikan naratif jati diri kebangsaan dan pelestarian identiti relevan menerusi karya kreatif terbitan DBP.

Menurut YBrs. Dr. Syaidul Azam lagi, hasil kajian rujuk silang terhadap hampir 6000 ribu buah sajak terbitan DBP mendapati bahawa terdapat tiga komponen utama yang membentuk identiti nasional Malaysia, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan alat perpaduan yang menyatukan pelbagai kaum, kebudayaan kebangsaan yang merangkumi aspek tradisi serta adat yang dikongsi secara kolektif, dan agama Islam yang menjadi dasar utama sebagaimana yang termaktub dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan serta prinsip Rukun Negara

Jati diri ialah roh atau jiwa yang dikongsi bersama-sama. Melalui sajak, kita membawa penghayatan ini secara halus agar masyarakat menghayati kedaulatan raja, negara, dan kepelbagaian etnik Malaysia yang hidup dengan harmoni,” jelas beliau.

Mengulas tentang pemilihan genre sajak, YBrs.Dr. Syaidul Azam Kamarudin menjelaskan bahawa karya kreatif mempunyai kekuatan luar biasa yang membawa mesej kenegaraan secara halus dan mendalam. Melalui bait kata yang estetik, pembaca diajak menghayati ketaatan kepada raja dan negara sebagaimana yang diperuntukkan dalam prinsip Rukun Negara.

Tambah beliau lagi,

Penulis sastera di bawah naungan DBP sangat sensitif dan mengambil peduli terhadap isu negara bangsa. Kebanyakan penulis ini menganggap penulisan bukan sekadar seni, tetapi satu bentuk sumbangan besar terhadap kedaulatan tanah air.

Beliau turut menyentuh aspek sejarah penubuhan DBP pada tahun 1956, setahun sebelum kemerdekaan yang bermatlamat membawa semangat perjuangan melalui bahasa perpaduan.

Tambahan lagi, Pengarah DBP Wilayah Selatan ini turut memberikan peringatan tegas melalui Peristiwa 13 Mei sebagai iktibar tentang pelunturan jati diri masyarakat Malaysia.

Ketiadaan pegangan jati diri yang kukuh boleh membawa kepada perselisihan kaum dan pertumpahan darah yang akhirnya mengundang kerugian besar terhadap negara,” jelasnya lagi.

Sebagai badan yang berautoriti, DBP Wilayah Selatan yang merangkumi zon Johor dan Melaka giat memastikan kelestarian jati diri ini bukan sahaja dicapai pada peringkat domestik, malah ke persada antarabangsa.

Melalui pelibatan dalam Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), DBP membawakan citra jati diri Malaysia ke peringkat serantau menerusi pelbagai genre penulisan termasuk puisi, cerpen, dan novel selain menjalinkan hubungan erat dengan negara jiran seperti Singapura bagi memperkukuh diplomasi kebahasaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi