Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu ke-12 (SALPBM XII) melabuhkan tirainya hari ini dengan mengemukakan 10 resolusi utama yang memberikan penekanan terhadap usaha memperkasakan bahasa, sastera dan budaya Melayu pada era digital masa ini.
Seminar yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada 15 April dan 16 April 2026 itu menghimpunkan lebih 100 kertas pembentangan daripada ahli akademik serta pakar bahasa dari dalam dan luar negara.
Sesi pembentangan resolusi yang berlangsung di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dikendalikan oleh Pengerusi SALPBM XII, YBrs. Prof. Madya Dr. Norazlina Mohd Kiram.
10 resolusi SALPBM XII yang digagaskan adalah seperti yang berikut:
YBrs. Prof. Madya Dr. Norazlina Mohd Kiram menegaskan bahawa penganjuran kali ini berjaya menjadi wadah perkongsian ilmu dan perbincangan ilmiah yang menyentuh pelbagai aspek perkembangan bahasa Melayu, termasuk peranan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Sementara itu, dalam Majlis Penangguhan SALPBM XII, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, YBrs. Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa semua peserta perlu meneruskan usaha penyelidikan dan pembudayaan bahasa walaupun seminar sudah berakhir.
Hal ini bagi memastikan setiap resolusi yang dibentangkan tidak hanya bersifat simbolik tetapi dilaksanakan secara berimpak.

Pada masa yang sama, beliau turut menyifatkan seminar tersebut sebagai landasan akademik penting yang bukan sahaja memperkaya penyelidikan linguistik Melayu, malah menjadi manifestasi komitmen berterusan dalam memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat global.
“Penemuan yang dibentangkan bukan sekadar data, tetapi input berharga yang menyumbang kepada kemajuan peradaban bangsa,” ujar beliau.
Beliau turut menekankan tentang kepentingan penerbitan hasil kajian tidak hanya terhenti di ruang seminar semata-mata. Usaha penerbitan dan pendokumentasian hasil penyelidikan, termasuk penerbitan jurnal berindeks seperti pangkalan data (scopus) akan dapat memastikan kesinambungan ilmu serta memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang dinamik.