Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMenurut Kamus Dewan Perdana, motivasi bermaksud keinginan yang keras atau semangat yang kuat pada diri seseorang yang mendorongnya untuk berusaha dan melakukan sesuatu dengan tujuan untuk mencapai kejayaan. Motivasi digerakkan oleh hati dan akal. Hal ini merupakan suatu usaha dalam bentuk tindakan dan gerakan yang baik menjurus ke arah tingkah laku seseorang menuju perkara yang diidamkan atau yang disasarkan.
Kekuatan motivasi bermula dari hati yang bersemangat waja untuk melakukan sesuatu sehingga mencapai kejayaan. Hal ini didorong oleh semangat luaran dan dalaman, yakni biasanya semangat luaran adalah upah dan imbuhan, manakala semangat dalaman ialah keseronokan kepada diri sendiri dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
Masyarakat Melayu dahulu mempunyai kebijaksanaan yang luar biasa dengan kekuatan renungan yang tajam terhadap alam dan keupayaan mentafsirnya selain mencipta pelbagai bentuk peribahasa sebagai panduan hidup. Melalui pengalaman, mereka mengambil iktibar dan pandangan terhadap alam yang dapat dijadikan pengajaran dalam kehidupan.
Pengalaman pahit getir, susah payah dan juga kesenangan hidup dijadikan panduan dalam hidup. Melalui pengalaman mereka mencipta peribahasa yang ringkas, padat dan bermakna. Peribahasa ini ditujukan kepada setiap ahli masyarakat pelbagai peringkat umur sebagai bekalan menjalani cabaran dalam hidup. Lantaran itu, bahasa motivasi dalam peribahasa Melayu berjaya memberikan rangsangan atau mendorong seseorang berusaha keras dan penuh minat untuk berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai matlamat yang diimpikan.
Orang Melayu dahulu terkenal dengan kerajinannya sebagai petani, pelaut, nelayan dan pembuka ladang, paya dan bendang. Mereka menanam padi dengan usaha dan semangat yang gigih. Banjir, hujan dan ribut menjadi pengalaman kepada mereka. Semasa bekerja mereka mencipta peribahasa berkaitan dengan kehidupan dan alam. Perjuangan memerlukan ketabahan dan kesabaran bagi menghadapinya.
Lahirlah peribahasa, “rajin dan usaha tangga kejayaan” yang membawa maksud orang yang rajin dan sentiasa berusaha akan mendapat kejayaan. Frasa bermotivasi ini sering diucapkan bagi memberikan galakan kepada masyarakat supaya berusaha bersungguh-sungguh apabila melaksanakan sesuatu pekerjaan dan hasilnya sudah pasti membuahkan kejayaan. Begitu juga dengan peribahasa “sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain” yang menjurus pada ketekunan dan ketelitian berterusan apabila melaksanakan sesuatu pekerjaan.
Orang malas dan tidak bersemangat perlu diberikan kata-kata motivasi supaya rajin. Peribahasa “malas bergarit perut perit” bermaksud sikap malas berusaha seseorang individu akan mengakibatkan perutnya kelaparan. Peribahasa “malu bertanya sesat jalan, malu berdayung perahu hanyut” pula menjelaskan bahawa orang yang tidak mahu bertanya tidak akan dapat menemukan jalan keluar, begitu juga jika seseorang malas berusaha, sudah pasti hasrat atau kejayaan gagal dicapai.
Peribahasa “sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit” pula menggalakkan masyarakat Melayu berusaha dan menyimpan hasil usaha meskipun sedikit, tetapi lama kelamaan akan menjadi banyak. Nilai kesabaran, kegigihan dan ketabahan diterapkan dalam bahasa motivasi ini.
Peribahasa “kalau hendak semua jadi” bermaksud jika kita berkeinginan terhadap sesuatu dan diusahakan dengan ilmu, daya usaha dan kerajinan, semua impian tersebut sudah pasti akan menjadi milik kita. Begitu juga dengan peribahasa “bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian” yang bermaksud walaupun terpaksa melalui kesusahan, seseorang itu pasti akan menerima hasilnya berupa sebuah kesenangan sama ada berbentuk upah, hadiah atau hasil daripada kerja keras yang dilalui sebelumnya.
Keazaman dan pegangan yang kuat juga merupakan motivasi diri bagi mencapai kejayaan. Peribahasa Melayu ada menyebut “genggam bara api biar sampai jadi arang”. Peribahasa ini menjadi perangsang kepada diri yang bermaksud sesuatu pekerjaan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh akhirnya akan mencapai kejayaan.
Melalui kata-kata motivasi akan menjadikan seseorang rajin dan gigih berusaha. Untuk mencari ilmu dan mencapai kejayaan seseorang memerlukan rangsangan, pujian dan galakan khususnya melalui kata-kata dan bahasa yang penuh motivasi serta semangat untuk belajar dan bekerja.
Motivasi sangat penting kepada diri seseorang. Jika seseorang itu sudah terbiasa dan sebati dengan bahasa atau kata-kata motivasi semua kerja akan mudah dibuat sendiri tidak perlu disuruh. Motivasi menggerakkan hati, akal dan semangat diri ke arah kejayaan hidup. Hati menggerakkan semangat akal berfikir untuk mencapai kejayaan.
Pada era digitalisasi kini, peribahasa dilihat masih relevan untuk digunakan sebagai pendorong semangat dan motivasi diri ke arah kejayaan. Begitulah kaedah bahasa Melayu yang disusun dan dicipta oleh orang Melayu dahulu mampu menggerakkan semangat untuk belajar, bekerja dan berusaha dalam apa-apa pekerjaan sekalipun.
Melalui semangat yang kuat dan motivasi yang tinggi melambangkan identiti budaya kehidupan orang Melayu terdahulu. Peribahasa juga mempamerkan kreativiti dan warisan bangsa Melayu. Keunikan susunan frasa dalam peribahasa menonjolkan kekuatan bahasa itu sendiri. Motivasi juga berjaya menjana ekonomi negara dalam bidang pertanian dan pekerjaan. Dengan kata-kata yang bermotivasi juga berjaya memupuk semangat yang kuat dan mengeratkan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Peribahasa Melayu berperanan sebagai panduan dan iktibar untuk kehidupan masa hadapan. Peribahasa Melayu dapat memperkenalkan dan mewariskan budaya bahasa kepada generasi masa ini dan akan datang. Budaya berbahasa juga dapat meluaskan pengetahuan dan menajamkan fikiran. Selain itu, peribahasa ini dapat membentuk jati diri bangsa serta mengekalkan budaya warisan.
Kesimpulannya, bahasa atau kata-kata yang bermakna yang menjurus pada motivasi diri sangat penting dalam kehidupan bermasyarakat. Lantaran itu, masyarakat yang maju dan berdaya saing dalam pekerjaan akan memacu negara seiring dengan kemajuan dunia pada masa ini. Falsafah daripada peribahasa Melayu telah mendidik generasi muda menjadi generasi yang bersemangat, bermotivasi dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan.